Siakap Keli
Gambar via Health Shots

Cara Mengatasi Orang Toksik Dalam Hidup Anda

Cara Mengatasi Orang Yang Toksik Dalam Hidup Anda

Cuba anda perhatikan orang disekeliling anda. Antara mereka semua, tak kiralah keluarga, rakan-rakan, atau rakan sekerja, ada tak yang mempunyai perangai negatif yang boleh dianggap sebagai toksik kepada anda?

Mungkin mereka terlalu berfikiran negatif sehingga anda tidak dapat untuk berfikiran positif. Mungkin juga mereka hanya mahu bercakap mengenai diri mereka dan tidak peduli mengenai diri anda. Mesti anda akan rasa mentally exhausted, kan? Tapi, nak atau tidak, anda perlu juga berkomunikasi dengan mereka.

Jadi, anda perlu tahu cara untuk mengawal perbualan dan pengalaman anda bersama mereka dengan bijak. Ia boleh dilakukan sekiranya anda boleh mengenalpasti tanda-tanda orang yang toksik dan tahu cara-cara untuk mengatasi mereka dengan perkongsian dari Health Shots ini.

Apakah Punca Seseorang Menjadi Toksik?

Menurut Dr. Chandni Tugnait, seorang psychotherapist, sebab seseorang itu menjadi toksik berbeza dari seorang individu ke individu yang lain. Kadang-kadang, seseorang menjadi toksik kerana mereka mempunyai pengalaman yang menyebabkan mereka menjadi begitu.

Terdapat beberapa sebab kenapa mereka menjadi seorang yang toksik. Antaranya adalah trauma, kurang keyakinan diri, personality disorders dan juga mereka mempunyai isu yang tidak diselesaikan.

Untuk penjelasan lanjut, seseorang yang mengalami trauma yang susah untuk dilupakan akan menjadi toksik sebagai coping mechanism mereka supaya mereka tidak akan mengalami perkara yang sama. Bagi individu yang kurang keyakinan diri pula, mereka akan menjadi toksik dengan menjatuhkan orang lain untuk membuat diri mereka rasa lebih baik.

Seterusnya menurut pakar, seseorang yang mengalami personality disorders seperti masalah personaliti narsisistik dan boderline personality disorder, akan mempunyai kelakuan toksik yang menyukarkan mereka untuk mempunyai hubungan yang sihat dengan orang lain. Seseorang yang mempunyai isu yang tidak diselesaikan pula akan mempunyai rasa marah yang dilepaskan kepada orang disekelilingnya.

Tanda-Tanda Orang Toksik

Terdapat pelbagai tanda yang anda boleh perhatikan untuk mengetahui sekiranya seseorang itu adalah toksik atau tidak. Kebiasaannya, mereka akan menjadikan semua perkara mengenai diri mereka. Apabila anda berkongsi masalah anda, mereka akan turut berkata mereka mempunyai masalah yang sama dan mengalaminya dengan lebih teruk. Kesudahannya, anda pula yang mendengar masalah mereka.

Selain itu, mereka tidak akan sesekali mengaku kesalahan mereka. Jika ada yang menuduhnya sesuatu, mereka akan berpura-pura menjadi mangsa. Mesti anda pernah mempunyai kenalan yang begini, kan? Bukan itu sahaja, mereka pasti akan cuba guilt trip anda untuk buatkan anda rasa bersalah.

Kadang-kadang mesti ada antara mereka yang gemar menganggap perasaan anda itu adalah perkara yang remeh dan anda tidak sepatutnya rasa sebegitu. Mereka tidak mempunyai perasaan empati terhadap orang lain. Mereka suka memperlekehkan orang lain, ibarat mereka saja yang sempurna.

Cara Untuk Mengatasi Mereka

Pertama, ia amat penting untuk anda menetapkan satu ‘sempadan’ dengan mereka. Sekiranya mereka lakukan sesuatu yang melanggar ‘sempadan’ itu, anda boleh tinggalkan mereka atau kenakan hukuman terhadap mereka.

Kedua, hadkan pergaulan anda bersama mereka. Kurangkan menceritakan kisah hidup anda kepada mereka dan hanya berbual jika perlu sahaja.

Ketiga, cuba untuk tidak terasa dengan apa yang mereka kata. Menurut Dr. Tugnait, mereka mempunyai masalah dalaman yang membuatkan mereka bersikap toksik. Jadi, anda perlu cuba untuk tidak termakan dengan kata-kata mereka.

Keempat, anda perlu bertegas dengan mereka. Jangan takut untuk pertahankan diri anda. Jangan benarkan mereka untuk menggunakan anda. Anda perlu tahu untuk bercakap “tak nak” kepada mereka.

Kemudian, anda harus menyayangi diri anda. Apabila bergaul dengan seseorang yang gemar mencemuh anda, anda harus ingat bahawa hidup anda mempunyai makna. Abaikan kata cemuhan mereka dan ingat kata-kata yang positif dari orang lain dalam hidup anda.

Selain itu, anda juga digalakkan untuk bergaul dengan orang yang lebih positif. Anda memerlukan seseorang yang ceria dan positif dalam hidup anda. Jangan takut untuk bergaul, tetapi berhati-hati dalam memilih rakan.

Seterusnya, anda perlu mempunyai sifat empati yang strategik. Anda boleh bersimpati dengan masalah mereka, tetapi jangan biarkan mereka menggunakan masalah itu sebagai satu alasan untuk menjadi orang yang toksik kepada anda.

Anda juga tak boleh mengharapkan mereka untuk berubah. Seseorang yang toksik susah untuk berubah. Sebaliknya, anda boleh mengawal reaksi anda apabila perlu bergaul dengan mereka.

Yang terakhir, jangan terukkan sesuatu keadaan itu. Apabila anda berinteraksi dengan individu yang toksik, mereka akan bercerita atau mengatakan sesuatu yang boleh menaikkan darah anda. Jangan termakan dengan kata-kata mereka. Sekiranya anda membalas apa yang mereka lakukan, keadaan hanya akan menjadi lebih teruk.

Apa yang boleh dilakukan pada ketika itu ialah menjauhkan diri anda daripada situasi itu. Abaikan kata-kata mereka dan berlalu pergi. Berinteraksi dengan orang yang toksik amat memenatkan. Jadi, anda perlu pentingkan kesihatan mental dan emosi anda. Kurangkan pergaulan dengan mereka, dan cuba untuk tidak menambah sikap toksik itu dalam hidup anda.

Sumber: Health Shots

BACA JUGA: Hidangan Untuk Minum Petang, Ini Resipi Kek Pisang

Nurul Alya

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.