PPZ-MAIWP Sasar Lebih Ramai Ahli Koperasi Terlibat Dalam Skim Wakalah
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) — Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) berharap lebih ramai ahli koperasi tampil dalam penglibatan untuk membuat pembayaran zakat melalui perkhidmatan Skim Wakalah.
Pengerusinya Datuk Seri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman berkata skim ini adalah dasar pengembalian semula wang zakat bagi mendapat pulangan wang zakat lebih banyak dan terus diagihkan kepada golongan asnaf yang layak.
Menjelaskan perkara itu, Abdul Aziz berkata koperasi yang membayar zakat perniagaan melebihi RM1 juta setahun dan ke atas, layak mendapat 50 peratus pengembalian wang zakat manakala majikan yang mewajibkan potongan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan membuat potongan zakat dan melebihi RM100,000 setahun, layak menerima 37.5 peratus daripada zakat yang diberikan.
Beliau berkata skim ini juga dapat memberi peluang kepada koperasi yang terlibat untuk mengagihkan sendiri zakat tersebut kepada golongan itu, secara tidak langsung ia dapat meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap koperasi berkenaan.
“Sehingga hari ini, jumlah hasil kutipan zakat bermula Januari telah meningkat kepada RM746 juta berbanding RM635.8 juta pada tahun lepas.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM109 juta adalah kutipan zakat perniagaan juga meningkat sebanyak 16 peratus berbanding tahun lepas iaitu RM94 juta,” katanya pada Majlis Zakat Perniagaan Koperasi 2023, di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata daripada jumlah kutipan zakat perniagaan tersebut juga, sebanyak lebih RM4 juta berjaya dikutip daripada perniagaan jenis koperasi dengan jumlah pembayar sebanyak 40 koperasi.
Beliau berkata peningkatan kutipan zakat ini memberi gambaran jelas terhadap kepercayaan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan terhadap PPZ-MAIWP.
Menurutnya, peningkatan ini juga melambangkan semakin meluasnya kesedaran orang Islam terhadap pembayaran zakat di negara kita.
Abdul Aziz berkata PPZ-MAIWP yakin sasaran kutipan zakat RM1 bilion mampu dicapai sebelum hujung tahun ini.
Sementara itu, PPZ-MAIWP hari ini telah menerima zakat berjumlah RM5,058,136 daripada 19 koperasi dalam majlis tersebut.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada koperasi-koperasi yang terlibat khususnya Ahli Lembaga Pengarah Koperasi kerana menunaikan zakat perniagaan di PPZ-MAIWP.
“Sesungguhnya, zakat ini akan diagihkan kepada asnaf yang memerlukan ekoran kos sara hidup yang meningkat terutama kepada mereka yang berada di bandar,” katanya.
Sumber: BERNAMA