Kes Mayat Ditemui Disimen Dalam Kolah, Mangsa Mungkin Dibunuh Lebih Setahun Lalu – Polis
Polis Diraja Malayasia (PDRM) tidak menolak kemungkinan mayat yang ditemui disimen dalam kolah disyaki dibunuh lebih setahun yang lalu, lapor Sinar Harian.
Terdahulu, mayat mangsa yang merupakan seorang wanita ditemui ditanam dalam simen di sebuah rumah sewa di Klang, pada Ahad lepas.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sehingga kini kes itu masih lagi dalam siasatan oleh pihaknya.
“Ya betul (kemungkinan dibunuh lebih setahun), dua suspek lelaki yang sedang diburu disyaki menyimen kolah mandi di rumah terbabit.
“Dua suspek yang diburu ini menyewa rumah berkenaan dari 2019 sehingga 2021, kita masih mengenal pasti motif pembunuhan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Semalam, beliau berkata bahawa dua lelaki warga asing sedang dikesan bagi membantu siasatan penemuan mayat wanita tersebut.
Penemuan itu berjaya dibuat selepas pemilik rumah berkenaan telah melaporkan kejadian tersebut kepada polis pada Ahad lalu.
Polis juga dikatakan telah meminta bantuan pihak bomba bagi memecahkan simen dan mengeluarkan mayat berkenaan.
Sementara itu, menurut Hussein lagi, identiti mayat wanita itu masih belum diketahui dan proses bedah siasat seterusnya akan dijalankan di Hospital Shah Alam.
“Tunggu keputusan bedah siasat,” katanya.
Sehingga kini, polis telah merakam keterangan daripada tiga individu termasuk pemilik rumah sewa di Kampung Pendamar tersebut.
Selain itu, seorang suspek lelaki warga asing berusia 53 tahun juga telah ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.
BACA: Mayat Dipercayai Wanita Warga Asing Ditemui Dalam Simen
Sumber: Sinar Harian