Skor Rendah Daripada Purata, Kedudukan Malaysia Dalam PISA 2022 Merosot
Kedudukan Malaysia dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 bagi skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dilapor merosot.
Laporan berkenaan mengukur tahap literasi dalam tiga domain iaitu Saintifik, Matematik dan Bacaan.
Dalam penilaian domain Saintifik, Malaysia sekadar berada di kedudukan ke-52 dunia selepas mencatatkan sebanyak 416 markah. Skor berkenaan merosot sebanyak 22 mata berbanding PISA 2018.
Manakala dalam domain Matematik pula, negara mencatatkan sebanyak 409 markah, turun sebanyak 31 mata untuk sekadar berada di kedudukan ke-54 dunia.
Seterusnya, dalam domain Bacaan, markah yang dicatat merosot sebanyak 27 mata kepada 388 markah dalam PISA 2022. Markah itu meletakkan Malaysia di kedudukan ke-60 dunia.
Keciciran pembelajaran sepanjang musim pandemik dilihat sebagai faktor utama kemerosotan kedudukan Malaysia dalam laporan terbaharu tersebut.
Sementara itu, negara jiran terdekat Malaysia iaitu Singapura seakan tiada pencabar selepas menduduki tangga pertama dalam ketiga-tiga kategori tersebut. Kedudukan itu diikuti oleh beberapa negara Asia lain yang dilihat mendominasi senarai lima teratas laporan berkenaan.
Selain Singapura, negara-negara Asia lain yang turut mencatatkan markah tertinggi dalam ketiga-tiga domain adalah Jepun, Macau, Korea Selatan, Taiwan dan Hong Kong.
Negara-negara itu merupakan antara 17 negara yang menunjukkan prestasi baik dan mencatatkan markah prestasi di atas purata minima OECD sebanyak 471 markah.
Program OECD untuk PISA telah mengkaji pengetahuan bagi tiga teras utama dalam Matematik, membaca dan Sains.
PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa melibatkan pelajar berusia 15 tahun dalam tiga domain literasi yang dijalankan oleh OECD.
Ia dianggap sebagai penilaian peringkat antarabangsa yang paling ketat dan komprehensif untuk mengukur pencapaian pelajar di sesebuah negara.
Laporan PISA dikeluarkan setiap tiga tahun, kecuali pada 2021 sehingga 2022 yang ditangguh akibat pandemik. Menurut Astro Awani, ini merupakan kali kelima Malaysia menyertai laporan PISA selepas 2009, 2012, 2015 dan 2018.
Untuk PISA 2022, seramai 7,069 murid yang terdiri daripada 199 buah sekolah dan institusi pendidikan diseluruh negara termasuk di kawasan luar bandar dan jenis sekolah swasta dinilai
Jumlah berkenaan sebagai sampel mewakili 390,400 murid berusia 15 tahun di Malaysia.
Sumber: OECD, Astro Awani