Putrajaya, 9 Disember – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah melancarkan Agrikomoditi Walk yang merupakan aktiviti susulan bersempena Hari Agrikomoditi Negara 2023 di Persiaran Perdana Putrajaya pada hari ini.
Objektif utama Agrikomoditi Walk adalah untuk mendedahkan kepada masyarakat umum tentang peranan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di samping keutamaan komoditi dan produk komoditi negara iaitu sawit, getah, kayu kayan, koko, lada dan kenaf.
Program ini telah berjaya mengumpulkan lebih 2,000 orang peserta dengan pengisian utama program adalah briskwalk sejauh lima (5) kilometer sepanjang Laluan Persiaran Perdana, Putrajaya.
Program ini dimeriahkan lagi dengan beberapa aktiviti riadah seperti senam robik dan zumba, persembahan daripada buskers oleh Suka Buka, pameran oleh agensi di bawah KPK dan pelbagai cabutan bertuah menarik.
Kementerian akan meneruskan komitmen untuk memastikan sektor agrikomoditi kekal relevan sebagai tunjang utama ekonomi negara di samping menghargai dan mengiktiraf semua pihak yang terlibat dalam sektor agrikomoditi negara.