Dubai, UAE, 9 Disember 2023 – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, YB Nga Kor Ming, telah mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri mengenai Perbandaran dan Perubahan Iklim dan menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Persidangan ke-28 Negara Ahli kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (The 28th Conference of Parties to the United Nations Framework Convention on Climate Change – UNFCCC COP28) pada Rabu lalu.
Malaysia telah diberi penghormatan bagi mempengerusikan mesyuarat ini bersama-sama UAE, Brazil, Mesir, Kenya, dan Papua New Guinea. Malaysia turut menekankan agar semua negara bekerjasama ke arah mewujudkan perbandaran mampan dengan sasaran pelepasan karbon rendah kepada sifar.
Bagi merealisasikan matlamat ini, negara membangun memerlukan pembiayaan iklim dengan kadar segera untuk memperkasakan kerajaan tempatan melaksanakan inisiatif mitigasi. Dalam ucapan alu-aluan, beliau telah menegaskan peranan warga global mengenai keperluan untuk bertindak segera dalam menangani krisis perubahan iklim bagi mencapai pembangunan bandar yang mampan.
Di samping itu, Malaysia telah berkongsi mengenai komitmen Kerajaan Malaysia dalam menangani perubahan iklim seperti berikut:
1. Malaysia komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijaunya sebanyak 45% menjelang 2030 seterusnya mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
2. Malaysia secara proaktif melaksanakan langkah-langkah besar dan inisiatif kerjasama untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim. Dasar Tenaga Negara 2022-2040 yang transformatif akan mewujudkan asas bagi peralihan tenaga yang adil dan inklusif manakala Aspirasi Negara Rendah Karbon yang progresif membolehkan ekonomi Malaysia memanfaatkan peralihan tenaga untuk kekal berdaya tahan dan mampan.
3. Malaysia telah memperkenalkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara untuk mewujudkan laluan tenaga mampan dan ekonomi hijau bernilai tinggi, memupuk pertumbuhan mampan dan mencipta peluang pekerjaan. Infrastruktur kenderaan elektrik (EV) sedang dikembangkan untuk menggalakkan penggunaan EV yang lebih meluas.
Menjelang 2025, 10,000 ruang pengecas kenderaan elektrik akan disediakan untuk memudahkan pengguna EV seterusnya menyumbang kepada usaha pengurangan pelepasan sifar karbon.
4. Malaysia menekankan kepentingan untuk beralih daripada ekonomi linear kepada ekonomi kitaran. Selaras dengan itu, Malaysia telah menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal untuk menyelia pelaksanaan dan kemajuan sektor ekonomi kitaran yang sedang pesat membangun.