Siakap Keli
hukum Sapu Dahi Beri Salam
Gambar: Bernama

Apa Hukum Sapu Dahi dan Muka Selepas Beri Salam? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Apa Hukum Sapu Dahi dan Muka Selepas Beri Salam? Ini Penjelasan Dr Zulkifli

Solat merupakan satu tuntutan kepada mereka yang beragama Islam. Terdapat lima waktu solat yang wajib dikerjakan oleh umat Islam dan ia juga tersenarai dalam Rukun Islam yang kedua selepas mengucapkan kalimah syahadah.

Seperti yang diketahui, solat mempunyai panduannya tersendiri dalam Islam. Walau bagaimanapun, timbul persoalan mengenai hukum menyapu dahi dan muka selepas memberi salam?

Sehubungan itu, SK hari ini akan berkongsikan pencerahan topik ini yang disampaikan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri di bawah. Semoga bermanfaat. 

Hukum Sapu Dahi dan Muka Selepas Beri Salam

Gambar: Maktabah Al-Bakri

Hukum Sapu Dahi dan Muka Selepas Beri Salam

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana hukum jika seseorang menyapu dahi dan mukanya, sejurus selepas memberi salam ketika solat? Adakah terdapat sebarang panduan dan hadis berhubung perkara ini. Mohon pencerahan.

BACA JUGA: Hukum Bergurau Senda Bersama Keluarga Dan Orang Ramai

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seperti berikut:

Amalan ini disebut dalam kitab-kitab ulama mazhab al-Syafi’i, bahawa apabila seseorang itu selesai solat, disunatkan baginya untuk menyapu dahi dan wajahnya sambil membaca doa:

أَشْهَدُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ (هُوَ) الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Maksudnya: “Aku bersaksi tiada tuhan yang disembah melainkan Allah. Dialah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Ya Allah! Aku mohon agar Engkau buangkan dari diriku kegelisahan dan kesedihan.”

Antara para ulama’ yang menyebutnya:

  • Imam al-Nawawi dalam al-Azkar(no. 193), daripada Ibn Sunni, daripada Anas bin Malik R.A.
  • Syeikh Abu Bakar al-Dimyati dalam I`anah al-Talibin (1/215), daripada Ibn Sunni.
  • Sayyid ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Husin bin ‘Umar Ba ‘Alawi yang merupakan Mufti negara-negara Hadramaut menyebutnya dalam Bughyatu al-Mustarsyidin (hlm. 49), daripada Ibn Mansur.

Beliau berkata: “Ibn Mansur telah meriwayatkan bahawa Nabi SAW, apabila telah menyelesaikan solatnya, dia menyapu dahinya dengan tapak tangan kanannya, kemudian dilalukan di atas wajahnya, sehingga sampai ke atas janggut Baginda yang mulia.” (Lihat Bughyatu al-Mustarsyidin, hlm. 49)

BACA JUGA: Apa Hukum “Cash Out” Kredit eMadani? Ini Penjelasan Mufti Wilayah

Riwayat yang dimaksudkan adalah berdasarkan jalur daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا قَضَى صَلاتَهُ يَعْنِي وَسَلَّمَ مَسَحَ جَبْهَتَهُ بِيَدِهِ الْيُمْنَى ثُمَّ يَقُولُ بِسْمِ اللهِ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ

Maksudnya: “Adalah Rasulullah SAW, apabila selesai daripada solatnya – yakni memberi salam – Baginda akan menyapu dahinya dengan tangan kanannya, kemudian menyebut: ‘بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الرَّحْمَنُ الرَّحِيمُ، اللَّهُمَّ أَذْهِبْ عَنِّي الْهَمَّ وَالْحَزَنَ’ (Dengan nama Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ya Allah, hilangkanlah daripadaku segala keluh-kesah dan dukacita).”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ibn al-Sunni dalam `Amal al-Yaum wa al-Lailah (no.122) dan Imam al-Tabarani dalam al-Mu`jam al-Awsat (no.3178) dan al-Du’a (658), Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu’afa’ (6/64) dan al-Khatib dalam Tarikh Baghdad (12/470).

Hadis ini disepakati kedha’ifan oleh para ulama, antaranya seperti yang dinukilkan Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Nataij al-Afkar (2/285). Sebahagian ulama lain pula menilainya sebagai daif jiddan (lemah yang bersangatan) dan maudhu’ (palsu). (Lihat al-`Ajalah al-Raghib, no. 113; al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 3/57; al-Silsilah al-Dha’ifah, no. 660)

Penutup

Kami cenderung kepada pendapat bahawa amalan ini tidak bermasalah untuk diamalkan seperti mana yang difatwakan oleh para ulama mazhab al-Syafie. Walaupun begitu, barangsiapa yang meninggalkan kerana berhati-hati, maka hukumnya tidak makruh dan tidak wajar dijadikan polemik.

Wallahu a’lam

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan 

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.