Siakap Keli

‘Jum Berambeh Seni Awam’ Sempena Bintulu Eco Carnival 2023

‘Jum Berambeh Seni Awam’ Sempena Bintulu Eco Carnival 2023

2 DISEMBER 2023 – Balai Seni Negara dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bersama Kelab Guru-Guru Seni Bintulu, seniman tempatan dan komuniti setempat mengadakan Program Seni Awam dan Pembangunan Lestari: ‘Jum berambeh Seni Awam” sempena Bintulu Eco Carnival 2023. Majlis perasmian disempurnakan hari ini oleh YB Dato Sri Tiong King Sing, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC). Turut hadir adalah YBrs. Datu Haji Muhamad Yakup Bin Kari, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) dan YBrs. Encik Amerrudin Ahmad, Ketua Pengarah Balai Seni Negara.  

Program berlangsung selama 12 hari bermula pada 21 November 2023 diadakan di Pantai Tanjung Batu dan beberapa bangunan di Bandaraya Bintulu, Sarawak. Matlamat utama program ini adalah untuk membudayakan kesedaran masyarakat terhadap kelestarian alam sekitar melalui seni. Program ini merupakan sebahagian daripada 44 penyaluran Tabung  Bantuan Seni berjumlah RM1,344,650.00 dan kesinambungan menerusi Program Penggalakan Pemasaran ,Promosi dan Acara juga segmen Festival Merakyatkan Seni Budaya Warisan Akar Umbi dibawah Sektor Kebudayaan MOTAC.

Bintulu Eco Carnival

“Jum Berambeh” bermaksud “Jom Berkumpul” dimana dalam konteks pelaksanaan program ini, ia memberi maksud sebagai satu aktiviti berhimpun untuk berkongsi ilmu atau knowledge transfer kepada para pelukis tempatan dan pemain industri yang terdiri daripada pelukis profesional jemputan Balai Seni Negara sepanjang penghasilan seni awam yang memberi impak tinggi. 

Fokus utama pelaksanaan program ini adalah penciptaan seni awam selaras dengan konsep Malaysia Madani yang turut memberi penekanan terhadap kelestarian dan tanggungjawab alam sekitar. Menerusi program ini, sebanyak empat buah seni arca awam dihasilkan menggunakan kayu hanyut yang ditemui di sekitar Pantai Tanjung Batu. Antara seniman yang terlibat ialah Low Chee Peng, Jepson Wong dan Syahril Azwan. Penghasilan arca awam ini turut melibatkan Lembaga Kemajuan Bintulu dan Kelab Guru-Guru Seni Bintulu.

Bintulu Eco Carnival

Selain itu, keindahan Bintulu, Sarawak turut diserikan dengan penghasilan tiga mural berskala besar oleh Yaul Acap, Abdul Rashid Abdul Raman dan Amey Sheikh Ali. Lukisan mural ini mengetengahkan warisan dan budaya di Sarawak yang dilihat mampu menjadi daya tarikan baharu pelancongan di kawasan berkenaan.

Balai Seni Negara turut mengadakan sesi perkongsian iaitu ”Artist Talk / Demonstration: Art as hobby or profession?” bersama pelajar-pelajar Pendidikan Seni Visual sekitar Bintulu, Pameran Lukisan Alam oleh Pelukis-pelukis Bintulu dan Kumpulan Semarak Seni serta Pameran “Waste to Art” oleh Jepson Wong dan Mazlan Samawi. Infografik Jejak Seni Sarawak juga dipamerkan di tapak perasmian. 

Dalam pada itu, Balai Seni Negara sentiasa cakna dalam memastikan hasil karya seni awam sentiasa terjaga. Karya seni awam yang dihasilkan menerusi program ini didaftarkan di aplikasi Jejak Seni Malaysia yang dikendalikan Balai Seni Negara. Inisiatif ini bagi memelihara nilai hasil karya seni selain mengangkat lokasi seni sebagai tarikan pelancongan.

Bintulu Eco Carnival

Untuk maklumat lanjut mengenai program ini, ikuti media sosial rasmi Balai Seni Negara atau layari laman sesawang www.artgallery.gov.my.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.