Siakap Keli
buskers penghibur jalanan peminta sedekah

Selalu Disalah Anggap Meminta Sedekah, Busker Mahu Ubah Persepsi, “Kami Penghibur Jalanan”

Selalu Disalah Anggap Meminta Sedekah, Busker Mahu Ubah Persepsi, “Kami Penghibur Jalanan”

Setiap kali anda berjalan-jalan di kawasan kaki lima, ada iringan muzik yang bakal singgah ke dalam gegendang telinga anda.

Iringan muzik berkenaan bukanlah lagu biasa yang dimainkan melalui corong pembesar suara, sebaliknya datang dari hasil artikulasi suara manusia sebenar serta iringan alat muzik yang autentik.

Gabungan suara manusia dan iringan alat muzik yang memberikan nafas pada suasana persekitaran anda merupakan hasil seni dari golongan ‘buskers‘.

Busker‘ secara literalnya bermaksud individu atau sekumpulan manusia yang memberikan hiburan, biasanya dalam bentuk muzik di jalanan.

Dengan erti kata lain, busker adalah penghibur jalanan yang sering menyajikan lagu yang enak didengar pada telinga orang ramai.

Sungguhpun begitu, kumpulan ini sering dianggap sebagai ‘peminta sedekah’ dan menerima persepsi negatif dari golongan masyarakat.

Berkemungkinan penerimaan masyarakat terhadap golongan pencinta muzik ini masih kurang.

Namun, dengan kehadiran komuniti yang stabil dalam media sosial, pengurusan buskers yang baik di Malaysia, khususnya di kawasan Lembah Klang, ada sinar untuk insan-insan seni ini terus berkarya dan diterima.

Inilah apa yang diujarkan oleh Azwan, pemain dram bagi kumpulan Four Tune Buskers ketika ditemu bual dalam slot Ini Kisah Aku baru-baru ini.

Beliau bersama ahli kumpulannya yang majoritinya berasal dari Gombak, Selangor dan kini menjalani kegiatan busking di sekitar Putrajaya.

Difahamkan, Azwan merupakan lepasan Diploma Kejuruteraan Elektrik dan menjadi kegiatan busking ini sebagai satu hobi.

buskers penghibur jalanan peminta sedekah

Kegiatan busking ibarat serampang dua mata

“Setiap orang ada kepuasan masing-masing. Bagi saya, kepuasan saya adalah muzik. Sama ada dengar ataupun bermain muzik, kedua-dua boleh (memberikan kepuasan kepada saya),” ujar Azwan.

Menurutnya, beliau dan kumpulannnya telah menjadikan hobi bermain muzik sebagai satu cara untuk mendapat pendapatan sampingan.

Melalui kegiatan busking ini, sekurang-kurangnya mereka dapat menambah sumber pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Menariknya, semua ahli dalam kumpulan ini telah pun berkecimpung dalam dunia muzik seawal 16 tahun.

Mereka telah mengasah bakat mereka dengan membuat persembahan di sekolah dan kini membuat persembahan berdekatan foodcourt di sekitar Putrajaya.

Azwan dan rakannya telah menjalani kegiatan busking pada waktu malam selepas selesai menjalani tugasan hakiki pada waktu siang.

Difahamkan, beliau telah menjalani perniagaan kecil dengan membuka kedai yang menawarkan perkhidmatan percetakan. Sehingga ke hari ini, perniagaan kecilnya masih berjalan seperti biasa.

Secara purata, setiap ahli dalam kumpulannya akan mendapat kira-kira hingga RM500 hingga RM700 setiap bulan.

Jumlah ini dianggap membantu dalam meringankan beban dan komitmen sedia ada, selain dapat memberikan kepuasan dan peluang untuk melepaskan tekanan.

Kami mahu buskers dianggap sebagai penghibur jalanan, bukannya peminta sedekah

Kebanyakan masyarakat menganggap bahawa orang muda merupakan golongan yang memiliki banyak masa dan sering membuang masa dengan melakukan perkara yang sia-sia.

Golongan muda dianggap terlalu menghabiskan banyak masa untuk hobi mereka, yang mana dianggap tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Sungguhpun begitu, Azwan melihat hobinya yang dianggap satu ‘perkara yang sia-sia’ dari sudut pandang yang berbeza.

Bukan itu sahaja, realiti kegiatan busking pada masa sekarang sudahpun berubah, tidak lagi seperti dahulu. Azwan berkata, buskers pada masa kini sudah memiliki komuniti sendiri dengan pengurusan yang sistematik.

“Dahulu, busking ini dianggap sebagai peminta sedekah. Tetapi, busker kini sudah memiliki komuniti yang tersendiri.”

Kehadiran komuniti ini dapat membantu golongan buskers untuk mengatur jadual dengan kumpulan yang lain agar tidak bertindan dan bermain di lokasi yang sama secara serentak.

Selain itu, penubuhan komuniti ini dapat memberi garis panduan kepada penghibur untuk mematuhi peraturan dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

Untuk mengetahui cabaran dan halangan yang dihadapi oleh Azwan dan rakan-rakannya, anda boleh menonton video di bawah:

BACA: Suami Isteri Gigih Hantar Sendiri Makanan Dijual, Jalin Keakraban Dengan Pelanggan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.