Syarikat Di China Boleh Hidupkan Orang Mati Guna AI
Sebuah syarikat berpangkalan di China menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan avatar individu yang telah meninggal dunia dengan hanya sekeping gambar, video dan rakaman suara, lapor CNN Indonesia.
Khidmat tersebut membolehkan orang tersayang berkomunikasi dengan individu yang sudah meninggal dunia dengan bayaran yang dikenakan antara RM6,000 hingga RM13,000.
Pengasas Super Brain, Zhang Zewei berkata syarikatnya hanya memerlukan sekurang-kurangnya 20 hari untuk mencipta avatar ringkas bagi mereka yang sangat merindukan kewujudan orang tersayang di atas muka bumi.
Tidak hanya itu, mereka juga boleh melakukan panggilan video untuk menatap wajah dan mendengar suara individu yang meninggal dunia secara digital.
Menurut Zhang industri AI yang boleh menghidupkan semula orang meninggal dunia dipercayai sedang berkembang pesat di China.
Malah, beberapa syarikat di China mendakwa pihak mereka telah mencipta ribuan manusia digital dengan hanya menggunakan 30 saat bahan audio dan visual si mati.
“Dari segi teknologi AI, China berada di puncak di seluruh dunia.
“Dan terdapat ramai orang di China yang memerlukan keperluan emosi sekali gus memberikan kami kelebihan dari segi permintaan pasaran,” dakwanya.
BACA: Canggih, China Perkenal Penyampai Berita ‘AI’, Langsung Tak Ubah Macam Manusia
Sepasang suami isteri gigih guna AI, klonkan anaknya yang meninggal dunia
Sementara itu, sepasang suami isteri telah menggunakan AI untuk ‘menghidupkan’ kembali anaknya, Xuanmo yang meninggal dunia untuk mengubati kesedihan mereka.
Seakoo Wu dan isterinya, mempelajari kaedah menggunakan AI dengan menyertai orang awam yang lain dalam menghasilkan avatar individu yang sudah meninggal dunia.
Wu yang berhasil ‘mengembalikan’ anaknya yang telah mati telah mencipta avatar yang benar-benar menyerupai dan berkelakuan seperti anaknya dalam maya.
“Selepas kami menyelaraskan realiti dan metaverse, saya membawa anak saya semula di bumi,” kata Wu memetik AFP.
Selepas ledakan teknologi seperti ChatGPT di China, Wu mula meneliti cara untuk menghidupkan semula Xuanmo daripada kematian.
Dia mula mengumpul foto, video dan rakaman audio anaknya dan turut membelanjakan ribuan dolar untuk mengupah syarikat AI yang mampu menghasilkan avatar seperti anaknya.
Bagaimanapun, setakat ini hasilnya belum sempurna tetapi dia telah membentuk pasukan kerja untuk mencipta pangkalan data yang mengandungi sejumlah besar maklumat mengenai anaknya.
Wu berharap dapat memasukkannya ke dalam algoritma yang berkuasa untuk mencipta avatar, yang juga mampu meniru corak pemikiran dan pertuturan anaknya dengan tepat.
Sumber: CNN Indonesia