Siakap Keli
Gambar via Wikipedia

26 Disember, Mengenang Kembali Tragedi Tsunami Aceh 2004

26 Disember, Mengenang Kembali Tragedi Tsunami Aceh 2004

Pada tarikh 26 Disember, 19 tahun yang lalu, satu tragedi telah menimpa bumi Aceh, Indonesia. Pada waktu itu, satu tsunami yang besar telah melanda wilayah itu dan meragut kira-kira 132,000 nyawa serta 37,000 dilaporkan hilang.

Insiden menyayat hati ini dikatakan sebagai tragedi bencana alam terbesar yang melanda Indonesia. Tidak dapat dibayangkan perasaan mangsa-mangsa tsunami itu. Tidak dapat digambarkan juga bagaimana mereka cuba menyelamatkan diri daripada ‘dibaham’ ombak besar tersebut.

Tragedi ini telah berlaku selepas Aceh dilanda gempa bumi yang amat kuat. Gempa itu berskala 9.1 hingga 9.3 skala Ritcher dan ia telah berlaku kira-kira 20 hingga 25 kilometer barat daya Sumatera.

Selepas gempa bumi berlaku, air di lautan mula surut secara mendadak sehinggakan ia menampakkan kawasan berpasir yang luas. Tiba-tiba, sebuah ombak setinggi 30 meter dapat dilihat dan ombak itu dihempaskan ke pantai barat Sumatera dan kepulauan kecil di sekelilingnya.

Dalam waktu yang singkat, bangunan-bangunan di Aceh yang pada mulanya berdiri megah, menjadi timbuhan runtuhan. Manakala, orang ramai yang berada di situ telah terkorban akibat bencana itu.

Pada tanggal 27 Disember 2004, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan bahawa tragedi tsunami di Aceh merupakan satu bencana terbesar dalam sejarah Indonesia.

Tragedi tsunami Aceh ini juga telah menjadikan Indonesia sebagai negara yang mempunyai kesan yang paling buruk berbanding dengan negara-negara lain. Ini kerana, selain Aceh, gempa bumi yang besar juga pernah melanda Sri Lanka, Thailand dan India.

Punca Tsunami Berlaku

Tsunami yang melanda Acheh ini berpunca daripada interaksi antara plat Indo-Australia dan Eurasia yang membawa kepada berlakunya gempa bumi yang kuat.

Seperti yang telah dinyatakan, gempa itu berskala 9.1 hingga 9.3 Ritcher dan ia berlaku kira-kira 10 meter di dasar laut. Geseran antara plat yang berlaku secara tiba-tiba itu telah mengakibatkan berlakunya gempa bumi dan juga tsunami.

Geseran itulah yang menjadi pemicu kepada gempa bumi yang menggegarkan batu-batu di bawah pulau dan di dasar laut. Ini telah mengakibatkan paras air laut yang menurun secara mendadak dan mengakibatkan berlakunya ombak yang besar yang dipanggil tsunami.

Akibat tragedi yang berlaku itu, sepanjang tahun 2004 hinggalah 2009, Aceh melalui proses pembinaan dan pembinaan semula untuk memulihkan semula muka bumi dan infrastruktur wilayah itu.

Ketika proses itu dijalankan, terdapat banyak rumah bantuan ditubuhkan, termasuk pelbagai infrastruktur dan kemudahan umum.

Kini, walaupun sudah 19 tahun berlalu, namun tragedi yang menimpa itu masih diingati oleh orang ramai. Rasa kehilangan, tidak berdaya, kesedihan yang tidak terhingga dan rasa lemah mungkin masih dirasai oleh mereka yang pernah menjadi mangsa.

Biarlah tarikh ini, iaitu 26 Disember, sentiasa diingati oleh orang ramai supaya tragedi yang berlaku itu tidak dilupakan.

Sumber: Kompas

BACA JUGA: Gunung Berapi Iceland, Amaran Pencemaran Pelepasan Gas

BACA JUGA: Ini Satu Lagi Kenderaan Paling ‘Berkuasa’ Di Sabah, Trak Pikap Pun Kalah

Nurul Alya