Pelanggan Dakwa Jumpa ‘Kaki Haiwan’ Dalam Hidangan Kari Ayam
Seorang pelanggan di sebuah restoran terpaksa berdepan dengan situasi mengerikan apabila mendakwa menemui kaki haiwan kecil dalam hidangan yang dinikmati di sebuah restoran.
Menurut Daily Star, pelanggan wanita berusia 33 tahun itu menemui kaki haiwan kecil itu dalam hidangan ayam tikka masala yang dipesannya di restoran berkenaan.
Ketika kejadian, dia singgah di restoran tersebut bersama anak, ibu dan abangnya untuk menjamu selera.
Selepas membuat penemuan mengejutkan itu, pelanggan itu kemudian bertindak membunyikan penggera di restoran berkenaan.
Suasana terus bertukar kecoh sehingga memaksa seorang tukang masak untuk campur tangan bagi meredakan keadaan.
Jumpa kaki haiwan dalam hidangan dimakan
Tukang masak itu mendakwa objek yang ditemui dalam hidangan tersebut adalah rempah ratus buah pelaga hitam.
Katanya, rempah berkenaan boleh berubah bentuk menjadi objek aneh apabila dikisar.
Bagaimanapun, penjelasan yang dibuat nyata tidak dapat memuaskan hati pelanggan tersebut.
Pelanggan itu dikatakan meluahkan rasa kecewa dengan pengalaman mengerikan yang terpaksa ditempuhi dia dan keluarganya.
“Saya berasa sangat kecewa. Terasa seperti tidak lagi mahu makan sejak kejadian itu berlaku. Sangat sukar untuk terima (kejadian yang berlaku), perut rasa mual.
“Saya suka restoran ini. Saya datang ke sini sekurang-kurangnya sekali sebulan. Abang saya tinggal di kawasan lain pun tak sabar nak berjumpa di sini kerana dia rindukan masakan di restoran ini,” katanya.
Dia juga merasa kecewa kerana restoran tersebut tidak memulangkan semula semua bayaran makanan yang dibuat.
“Saya berharap mereka dapat pulangkan semula bayaran empat pesanan ayam tikka masala yang dibuat.
“Tetapi tidak, mereka hanya pulangkan semula bayaran untuk satu pesanan sahaja (yang didakwa mengandungi kaki haiwan kecil),” katanya kecewa.
Perkara berkenaan turut dilaporkan kepada Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, pelanggan itu mendakwa bahawa jabatan tersebut tidak dapat berbuat apa kerana kekurangan bukti.
“Mereka beritahu mereka akan membuat laporan tetapi sukar untuk menyiasat kecuali jika kami dapat memberikan sampel makanan tersebut.
“Bukti gambar tidak mencukupi untuk sebarang tindakan boleh diambil,” katanya lagi.
Sementara itu, pengurus restoran tersebut dikatakan telah mengeluarkan satu kenyataan pada 20 Disember berkenaan kekecohan tersebut.
Pengurus restoran itu menegaskan bahawa objek yang ditemui oleh pelanggan tersebut ialah hanya buah pelaga dan bukannya kaki haiwan yang seperti didakwa.
BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: Daily Star