Alor Setar, 26 Disember 2023 – Seorang setiausaha syarikat telah mengaku tidak bersalah selepas dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Alor Setar dengan satu pertuduhan di bawah Seksyen 593 (b) Akta Syarikat 2016 (Akta 777) bagi kesalahan menyerahsimpan laporan juruaudit yang palsu bagi syarikat Bersatu Eramaju Sdn Bhd.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh dikatakan telah memberikan satu laporan juruaudit yang palsu iaitu “Independent Auditors’ Report to the Members of Bersatu Eramaju Sdn Bhd” yang dilampirkan bersama Reports and Financial Statements For The Financial Year Ended 30 September 2016.
Seksyen 593(b) Akta Syarikat 2016 memperuntukkan bahawa seseorang yang membuat atau memberikan laporan, maklumat atau pernyataan yang diketahuinya adalah palsu kepada pendaftar mengenai hal ehwal syarikat atau apa-apa perkara atau benda yang dikehendaki oleh Pendaftar bagi pelaksanaan Akta Syarikat 2016 telah melakukan suatu kesalahan dan boleh dihukum dengan hukuman penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta ringgit di bawah peruntukan seksyen yang sama yang dipertuduhkan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amir Sharifuddin Hashim manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Dr Aswandi Haji Mohd Hashim daripada Tetuan Aswandi Hashim & Co. Hakim Jean Sharmila Jesudason membenarkan ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah kemudiannya telah menetapkan tarikh 11 Januari 2024 untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
SSM ingin memberi peringatan kepada orang awam dan pegawai syarikat terutamanya setiausaha syarikat yang berlesen yang telah diberikan tauliah oleh badan-badan professional bahawa kesalahan seumpama ini adalah sangat serius kerana ia menjejaskan integriti maklumat yang disimpan di SSM. Tindakan perundangan yang tegas akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran kepada mana-mana peruntukan undang-undang di bawah Akta yang dikawalselia oleh SSM.