Ini Senarai Ubat Perlu Dibawa Ketika Travel, Memudahkan Jika Sakit Nanti
Ketika musim cuti sekolah ataupun sekiranya ada kelapangan waktu, pasti akan ramai orang yang pergi bercuti, kan? Ada yang travel bersama keluarga, ada yang pergi dengan kawan-kawan dan ada juga yang akan travel seorang diri.
Biasanya kalau yang travel sendiri ni, kata orang tengah me time ataupun healing seorang diri. Kalau dah selalu sangat dikelilingi orang ramai, masa nak bercuti mesti nak luangkan masa seorang diri, kan? Tapi, ada juga yang mahu meluangkan masa travel dengan kawan-kawan atau keluarga. Senang cerita, nak travel ni memang kena ikut kehendak masing-masing.
Haa, travel memanglah seronok. Lagi-lagi sebab boleh hilangkan rasa tertekan yang dah menggunung tu. Tapi, masa tengah travel ada tak anda bawa ubat-ubatan? Mana tau, tiba-tiba pula anda rasa tak sihat ketika sedang seronok travel sana sini.
Kalau nak tahu, ada beberapa ubat yang anda perlu bawa ketika sedang travel. Tak kisahlah travel di dalam, mahupun di luar negara. Perkongsian ini telah dikongsi oleh Shazril Shaharuddin di laman Facebook miliknya.
Ubat-Ubatan Perlu Dibawa Ketika Travel
Sebelum anda pack ubat-ubatan ini, jangan lupa, anda perlukan nasihat doktor ataupun pegawai farmasi. Anda harus pastikan ubat dan dos yang sesuai untuk anda. Ini supaya anda tidak salah ubat dan tidak terlebih atau terkurang dos ubat yang diperlukan.
Ubat pertama yang perlu dibawa adalah ubat demam atau sakit-sakit ringan yang dikenali sebagai paracetamol. Dalam ruangan caption video yang dimuat naik, Shazril telah memberitahu dia membawa dua papan paracetamol itu.
Menurutnya, kuantiti ubat yang perlu dibawa bergantung kepada penyakit-penyakit yang biasa anda kena. Sekiranya anda tidak memerlukan ubat itu, tidak perlulah dibawa. Tetapi, jika anda mahu membawanya untuk berjaga-jaga, juga tidak mengapa.
Seterusnya, ubat cirit-birit iaitu loperamide dan diikuti pula dengan ubat selsema atau alahan iaitu, antihistamine. Ubat selsema ini mempunyai dua jenis iaitu yang mengantuk dan juga yang tidak mengantuk.
Sekiranya anda yang memandu ketika travel, anda dinasihatkan untuk tidak mengambil ubat selsema yang mengantuk itu. Ini supaya anda boleh mengelakkan daripada rasa mengantuk ketika memandu.
Kemudian, bawa juga ubat untuk cairkan kahak, mucolytics. Manalah tahu, tiba-tiba anda batuk berkahak dan rasa susah nak buangkan kahak. Anda bolehlah ambil ubat ini.
Bila dah jalan-jalan, anda mungkin terlupa untuk makan atau tidak sempat untuk makan. Kebiasannya ini akan menyebabkan berlakunya gastrik. Jadi, anda bawalah ubat gastrik iaitu ubat Antacids. Ubat ini selain daripada versi pil, ia juga mempunyai versi cecair.
Jika paracetamol tidak berkesan, anda mungkin perlukan ubat tahan sakit yang kuat sikit seperti diclofenac ataupun mefenamic acid. Anda boleh bawa ubat ini ketika sedang travel.
BACA JUGA: Kebaikan Peluk Orang Tersayang, Ada Banyak Kebaikannya Tau!
Apabila anda mengalami cirit-birit ataupun muntah-muntah, anda bukan saja perlukan ubat loperamide, anda juga memerlukan air garam untuk menggantikan air dan garam yang hilang. Air garam ini juga dikenali sebagai oral rehydration salt ataupun ORS.
Ketika travel, tak kiralah anda berjalan ataupun memandu, anda pasti akan rasa sengal-sengal pada badan anda, kan? Rasa lenguh satu badan apabila seharian berjalan ke sana ke sini. Jadi, bawalah ubat untuk melegakan rasa sengal pada badan itu. Ubat ini dikenali sebagai LMS cream.
Yang terakhir, ubat sakit tekak ataupun lozenges. Bolehlah anda bawa ubat ini untuk melegakan rasa sakit tekak anda.
Dah ada ubat-ubat ini, barulah anda boleh travel tanpa risau. Penyakit ini kadang-kadang datang tak diundang, jadi eloklah anda sediakan payung sebelum hujan supaya anda tidak kalut waktu travel nanti.
Untuk penjelasan lebih lanjut boleh tonton video beliau di bawah: