MBSA Dah Bagi Kebenaran Roboh Stadium Shah Alam
Proses perobohan Stadium Shah Alam bagi pembangunan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang baharu dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memberi kebenaran untuk projek pembangunan KSSA pada Jumaat lepas.
“Baru dapat kebenaran MBSA semalam (Jumaat),” katanya ketika menjawab pertanyaan salah seorang pengguna media sosial yang ingin tahu perkembangan pembangunan semula KSSA menerusi aplikasi X.
Terdahulu, kerajaan Selangor dilaporkan telah menghantar pelan Kebenaran Merancang (KM) bagi projek KSSA pada 15 Nov lepas dengan proses perobohan Stadium Shah Alam melibatkan kos RM35.5 juta, lapor Bernama.
Pada Ogos lalu, media melaporkan kerja pembangunan kompleks tersebut menelan kos kira-kira RM800 juta hingga 900 juta dan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) telah dilantik sebagai pemaju membentangkan reka bentuk KKSA itu.
BACA: “Cuba Sibukkan Diri Tapi Tak Kuat,” Nukilan Ibu Zaharif Buat Ramai Sebak
Difahamkan, pembinaan stadium baharu itu nanti mampu menampung 35,000 kapasiti penonton.
Walaupun stadium berkenaan bakal dirobohkan, namun ia masih mengekalkan simbolik seni bina Stadium Shah Alam sedia ada.
Maklum pemaju, projek berkenaan dijangka menelan masa antara tiga hingga empat tahun untuk siap sepenuhnya.
KKSA itu juga merangkumi pembinaan fasiliti komersial dan kemudahan awam lain seperti hotel dan taman-taman di atas tanah seluas 80 ekar.
Pembinaan semua kemudahan tersebut secara langsung akan memberi pulangan kepada pihak pengurusan stadium.
Sumber: @AmirudinShari/X