Lebih 1 Juta Guna Perkhidmatan Kereta Api Laju Indonesia Dalam 2 Bulan
Lebih satu juta penumpang dilapor menggunakan perkhidmatan kereta api laju Waktu Hemat, Operasi Optimal, Sistem Hebat (Whoosh) Indonesia dalam tempoh dua bulan selepas beroperasi.
Perkara berkenaan didedahkan oleh pengendali perkhidmatan tersebut, PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC) dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Menurut KCIC, seramai 1,028,216 penumpang direkod menggunakan Whoosh dari 17 Oktober sehingga 23 Disember 2023.
Difahamkan, jumlah penumpang tertinggi yang dicatatkan adalah 21,500 penumpang sehari, termasuk dalam tempoh percutian akhir tahun ketika ini.
Presiden PT KCIC, Dwiyana Slamet Riyadi berkata, angka itu menunjukkan orang ramai lebih memilih menggunakan perkhidmatan awam untuk bergerak.
Lebih 1 juta guna perkhidmatan kereta api laju Indonesia
Lebih-lebih lagi perkhidmatan awam yang memiliki kecepatan dan menawarkan keselesaan dalam perjalanan.
“KCIC mengucapkan terima kasih kepada semua penumpang Whoosh.
“Ia menjadi motivasi untuk kami terus memberikan layanan terbaik kepada anda semua,” kata Dwiyana.
Menurut CNBC Indonesia, sebanyak 48 peratus penumpang Whoosh merupakan pengguna kenderaan peribadi sebelum ini.
Malah, kewujudan Whoosh juga didapati banyak membantu kempen kerajaan terutamanya dalam menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan awam.
“Dengan adanya kemudahan yang baik dan perkhidmatan yang cekap, orang ramai semakin memilih pengangkutan awam seperti Whoosh.
“Ia sekali gus menyumbang kepada pengurangan kebergantungan kepada kereta peribadi,” tambah Dwiyana lagi.
Menurut Dwiyana, kejayaan merekodkan lebih 1 juta penumpang dalam tempoh yang singkat juga menjadi bukti perkhidmatan tersebut mendapat kepercayaan warga Indonesia.
Sejak mula beroperasi pada Oktober lalu sehingga kini, operasi Whoosh telah berjalan lancar dan mencatatkan sifar kemalangan.
KCIC juga berbangga dengan prestasi ditunjukkan kakitangannya terutama dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh syarikat.
Malah, semua kakitangan syarikat tersebut juga sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan bermutu tinggi kepada para penumpang.
Terdahulu, Presiden Indonesia, Joko Widodo merasmikan perkhidmatan Whoosh pada 2 Oktober 2023.
Dengan pelancaran itu, Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi.
Untuk makluman pembaca, Whoosh menghubungkan kawasan antara Jakarta dengan Bandung.
BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu
Sumber: CNBC Indonesia