Siakap Keli
pasir laut tak boleh digunakan
Kredit AFP

Pasir Laut Banyak, Tapi Kenapa Tak Guna Dalam Pembinaan? Ini Jawapannya

Pasir Laut Banyak, Tapi Kenapa Tak Guna Dalam Pembinaan? Ini Jawapannya

Pasir merupakan salah satu bahan atau komponen utama dalam pembinaan. Tanpa pasir, bangunan yang berdiri megah dan kelihatan di mana-mana pada hari ini mungkin tidak wujud.

Di Malaysia, pasir yang digunakan untuk pembinaan biasanya diperolehi daripada sungai ataupun kawasan lombong.

Namun begitu, pernah tak anda terfikir kenapa pasir halus laut tidak pernah digunakan dalam industri pembinaan?

Padahal, sumber pasir dari kawasan laut sebenarnya sangat banyak dan mampu menampung operasi industri tersebut untuk tempoh yang lama.

Kredit AFP

Kenapa pasir laut tidak boleh digunakan dalam pembinaan, ada sebab tertentu ke?

Justeru, SK pada hari ini ingin berkongsi serba sedikit info menarik mengapa pasir laut tidak menjadi pilihan untuk digunakan dalam pembinaan.

Mempunyai bentuk yang bulat

Menurut We Civil Engineers, pasir laut cenderung untuk berbentuk sangat halus dan bulat. Sifat ini akan membuatkan ia menjadi kurang mencengkam berbanding pasir-pasir lain yang berbentuk panjang dan mempunyai permukaan kasar.

Permukaan yang licin

Menurut Engineering Infinity pula, permukaan pasir dalam pembinaan harus kasar untuk menghasilkan cengkaman yang baik dengan simen.

Justeru, permukaan pasir laut yang licin dan halus pula tidak memenuhi kriteria ini. Selain itu, pasir laut juga tidak mempunyai kekuatan mampatan dan tegangan yang tinggi.

Pasir yang digunakan dalam pembinaan perlu mampu membentuk sifat padat dan ‘memegang’ antara satu sama lain supaya struktur yang dibina kukuh.

Kredit AFP

Beralkali kepada alam semula jadi

Menurut We Civil Engineers lagi, kandungan klorida dalam pasir laut sangat tinggi. Kehadiran bahan kimia ini akan memberi kesan hakisan kepada struktur keluli bangunan dalam jangka panjang.

Lama kelamaan, keupayaan struktur berkenaan untuk menampung beban akan berkurangan seiring peredaran waktu.

Garam juga cenderung untuk menyerap lembapan yang mana sudah tentu tidak baik untuk mana-mana infrastruktur yang dibina.

Dalam kes pasir sungai, garam dan kekotoran kimia lain biasanya dihanyutkan oleh air yang mengalir.

Itulah antara beberapa sebab mengapa pasir halus laut tidak menjadi pilihan banyak syarikat pembinaan.

Bagaimanapun, pasir laut bukanlah tidak digunakan sepenuhnya dalam pembinaan. Menurut kajian yang diterbitkan di Science Direct, banyak negara sudah menggunakan pasir laut dalam pembinaan.

Namun, banyak proses yang perlu dilakukan sebelum pasir laut boleh digunakan. Antaranya proses untuk menyingkirkan partikel garam dan partikel-partikel asing yang lain.

Tetapi proses ini akan menelan kos dan sumber yang banyak. Antara kaedah biasa menyingkirkan garam dari pasir laut adalah dengan dibasuh dengan air tawar.

Selain itu, penggunaan pasir laut juga perlu mematuhi kaedah dan SOP tertentu supaya memberikan kualiti setanding pasir air tawar.

Pasir laut selalunya menjadi pilihan dalam pembinaan struktur biasa seperti jalan ataupun permukaan berturap untuk mengurangkan kebergantungan kepada pasir sungai.

BACA: Tak Ada Kaitan Dengan Musang, Ini Asal Usul Nama Durian Musang King Yang Ramai Tak Tahu

Sumber: We Civil Engineers, YouTube/Engineering Infinity

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka