Siakap Keli
malaysia ikat syria
Gambar: FAM/Facebook

Ikat Syria 2-2, Pan Gon Yakin Malaysia Bersedia Untuk Piala Asia

Ikat Syria 2-2, Pan Gon Yakin Malaysia Bersedia Untuk Piala Asia

Skuad Harimau Malaya berada dalam landasan yang baik menjelang sepak mula Piala Asia yang berbaki beberapa hari lagi.

Ia selepas pasukan kebangsaan berjaya mengikat pasukan di ranking ke-91, Syria 2-2 dalam aksi persahabatan pada awal pagi Selasa, lapor Stadium Astro.

Perlawanan yang diadakan di Stadium Grand Hamad, Doha, Qatar itu menyaksikan Harimau Malaya mendahului dengan jaringan Arif Aiman Md Hanapi pada minit ke-39.

Bagaimanapun pada minit ke-70, Syria berjaya menyamakan kedudukan menerusi Pablo Sabbag.

Ibrahim Hesar seterusnya meletakkan pasukan lawan di hadapan berselang empat minit kemudian.

Kemudian pada babak kedua, skuad negara memperbaiki retak permainan dan melakukan beberapa asakan untuk mencari gol penyamaan.

Hasil semangat juang yang tinggi yang dipamerkan, Paulo Josue berjaya mendapatkan gol kedua untuk Malaysia pada minit ke-78.

Keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Berpuas hati, beri keyakinan hadapi Jordan

Pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon berkata beliau berpuas hati dengan persembahan yang  ditunjukkan oleh anak buahnya dari awal hingga ke akhir perlawanan.

Jelasnya, perlawanan menentang pasukan di ranking lebih baik adalah tidak mudah tetapi skuad negara berjaya menunjukkan kualiti yang dimiliki untuk bangkit menyamakan kedudukan.

“Permulaan yang bagus. Kita dapat bersaing dengan pasukan ke-91 dunia (Syria).

“Saya sangat gembira dengan persembahan yang ditunjukkan terutamanya semasa perlawanan separuh masa pertama.

“Hari ini kita memberi minit permainan kepada ramai pemain dan membuat banyak pertukaran pada babak kedua.

“Saya fikir perlawanan ini bukan mudah dan banyak pertukaran berlaku. Pada minit ke-65, kita membuat pertukaran ramai pemain.

“Jadi ini bukan perlawanan yang mudah tetapi saya gembira walaupun ketinggalan satu gol, kita berjaya menjaringkan gol dan menjadikan keputusan 2-2,” katanya kepada FAM TV.

Mengulas lanjut, Pan-gon berkata beliau percaya perlawanan persahabatan itu akan memberi keyakinan tambahan kepada anak buahnya.

Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan E menentang Jordan pada 16 Januari depan.

Sumber: FAM Malaysia, Stadium Astro, Youtube FAM 

BACA: Skuad Harimau Malaya Benam Hong Kong Dengan Bergaya

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana