Siakap Keli

Hannah Dedah Sebab KBS Beri Dana Sukan Hampir RM100k Untuk Sekolah Agama Kedah

Menteri Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh sebelum ini telah menarik perhatian ramai apabila dilihat muncul di sebuah sekolah agama tahfiz di Kedah.

Difahamkan, kehadiran beliau di sekolah tersebut merupakan sebahagian daripada program Penyerahan Peruntukan Dana Sukan Komuniti (DSK) dan Peralatan Sukan bagi 28 buah Sekolah Agama Rakyat di Negeri Kedah.

Sumbangan itu telah disampaikan dalam satu acara di SM Sains Tahfiz Alor Setar (SEMESTI) beberapa hari lalu di mana sebanyak RM47,000 telah diserahkan untuk membiayai Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama negeri berkenaan.

Sementara itu, sebanyak RM30,000 telah diberikan di bawah Peruntukan Menteri untuk pembelian peralatan sukan ping pong dan memanah manakala RM20,000 diberikan sebagai geran pentadbiran Persatuan Pengetua Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.

hannah yeoh tahfiz

Murid berpotensi tinggi, tetapi wujud kekangan

Jelas Hannah, beliau sebelum ini telah menerima kunjungan hormat daripada persatuan tersebut pada 27 Julai lalu di kementeriannya di Putrajaya. Bertitik tolak daripada itu, Kementerian Belia dan Sukan telah meluluskan beberapa peruntukan bagi menyokong usaha membangunkan sukan di sekolah terlibat.

“Saya turut dimaklumkan oleh Persatuan Pengetua bahawa pelajar-pelajar sekolah agama rakyat negeri Kedah ini mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan, namun kekangan peralatan dan kemudahan menjadi penghalang bagi mereka untuk terus berkembang dan menonjolkan kemampuan mereka pada tahap maksimum,” ujar Hannah.

hannah yeoh tahfiz

“Melihatkan kepada kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan pelajar-pelajar ini, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk pembelian peralatan sukan seperti meja pingpong dan alat memanah sebagai persediaan kejohanan yang akan datang,” tambah beliau.

“Syukran jaziilan (terima kasih) atas kerjasama semua dalam menyediakan ruang atau platform untuk kita sama-sama menyempurnakan penyerahan peruntukan DSK dna peralatan sukan kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah hari ini,” ujarnya dalam majlis tersebut.

Terima respon positif warga maya

Sementara itu, usaha itu telah mendapat sambutan positif dalam kalangan orang ramai yang memuji tindakan beliau turun padang dan memberi sumbangan secara terus kepada institusi terlibat.

Diharapkan usaha ini dapat membuka ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah terbabit untuk terus menonjolkan bakat masing-masing dalam bidang sukan yang diminati.

hannah yeoh tahfiz
Hannah sempat beramah mesra dengan para pelajar dalam sesi tersebut.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.