Siakap Keli
Gambar: Sinar Harian

Tanam Betik Sebagai Hobi, Kini Dapat Jana Pendapatan RM20,000 Sebulan

Tanam Betik Sebagai Hobi, Kini Dapat Jana Pendapatan RM20,000 Sebulan

PASIR PUTEH – Dari hanya bermula sekadar hobi, bapa kepada tujuh anak ini tidak menyangka tanaman betik yang diusahakan mampu memberikan pulangan lumayan sehingga mencecah RM20,000 sebulan.

Memetik Sinar Harian, Mohamed Omar, 66, berkata, dia mula menanam betik jenis Callina sebanyak 30 pokok pada 2019 bagi mengisi masa di waktu lapang.

Gambar: Sinar Harian

Selain itu, dia yang tinggal di Kampung Lepah, Selising itu terkejut apabila betik yang mempunyai isi tebal, berwarna merah dan berbau harum ini mendapat permintaan tinggi apabila ia mula dijual kepada orang ramai.

“Situasi itu menyebabkan saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia yang juga bekas kontraktor itu memberanikan diri mengusahakan tanaman itu secara komersial apabila melihat terdapat potensi dan mendapat permintaan yang tinggi.

Ia pada awalnya hanya bermula daripada 30 pokok, tetapi kini dia memiliki lebih 2,500 pokok yang ditanam di tanah seluas 1.6 hektar.

Namun, dia akan membuka lagi tanah seluas 1.6 hektar bagi mengusahakan tananam betik pada Mac ini dan akan dibantu oleh anak lelakinya.

“Setakat ini permintaan terhadap buah betik sangat tinggi namun bekalannya terhad.

“Walaupun saya berjaya mengeluarkan 1,000 kilogram (kg) sehari namun ia masih belum dapat memenuhi pasaran tempatan,” katanya.

Menurutnya lagi, permintaan tinggi disebabkan oleh tiada persaingan daripada pihak yang mengusahakan betik secara komersial.

Dalam pada itu, dia juga memiliki gerai khas yang terletak berhampiran kebunnya dan menjual pada harga RM10 bagi 3kg betik.

Gambar: Sinar Harian

BACA: Ketahui 7 Perkara Boleh Berlaku Pada Tubuh Jika Menjamah Betik

Tambahnya, mengusahakan tanaman tersebut bukanlah perkara sukar tetapi memerlukan ilmu kerana ia sering berdepan dengan risiko penyakit terutama semasa musim tengkujuh atau hujan lebat.

“Jika cuaca panas dan kering, isi serta kualiti buah akan menjadi lebih baik. Bagaimanapun ia tetap memerlukan air yang cukup.

“Hujan akan menyebabkan buah betik cepat rosak, pada Februari tahun lalu saya berdepan kerugian besar sehingga mencecah puluhan ribu ringgit apabila tanaman ditenggelami air,” ujar Mohamed Omar.

Dia juga memaklumkan, pokok betik dapat bertahan sehingga tiga tahun dan boleh diremajakan semula.

Lebih menarik, pokok betik sesuai ditanam di semua jenis tanah kecuali berpasir. Difahamkan sebatang pokok boleh menghasilkan sekitar 40 biji buah dalam satu masa.

Gambar: Sinar Harian

“Sepanjang tahun sebatang pokok boleh mengeluarkan buah sekitar 120 biji. Alhamdulillah dengan bantuan RISDA (Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah) saya ingin mengembangkan lagi tanaman ini.

“Saya juga bersedia berkongsi kepakaran dengan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburi tanaman pokok betik,” jelasnya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian

Athirah

When nothing goes right, go left.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.