Siakap Keli
Gambar: Blog SBJK

Sekolah Ini Bantu Murid Tercicir, Bagi Makan 4 Kali Sehari & Yuran Percuma

Yuran Free & Makan 4 Kali, Sekolah Ni Bantu Murid Tercicir, Ada Yang Gagal SPM Kini Jadi Pengurus Kedai Di KL

Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) merupakan harapan bagi banyak kanak-kanak yang tercicir dari mendapat peluang pendidikan. Di tengah kesibukan kota, masih ada segelintir anak-anak yang tidak dapat ke sekolah disebabkan keluarga terlalu miskin atau berpecah belah.

Malah, ada antara mereka yang menjadikan kaki lima sebagai tempat untuk melepaskan lelah setelah seharian bekerja di usia muda. Atas dasar keprihatinan dan tanggungjawab, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menubuhkan SBJK bagi memberi bimbingan dan pendidikan buat anak-anak ini.

Seorang guru, Nurul Fazidah binti Othman telah mengecapi kejayaan besar dalam membimbing dan membentuk masa depan seorang belia yang kini menjadi inspirasi dalam kalangan rakan sebaya.

Guru Nurul Fazidah telah memberikan sumbangan sebagai pendidik di SBJK sejak tahun 2013. Kesungguhan beliau dalam memberikan pendidikan kepada anak-anak yang tercicir telah membuka mata masyarakat akan wujudnya sekolah yang ikhlas membantu anak-anak yang kurang bernasib baik supaya tidak ketinggalan dalam mendapat pendidikan.

sbjk makanan percuma
Salah seorang guru yang berkhidmat di SBJK, Pn Nurul Fazidah binti Othman

Dari Gagal SPM, Kini Jadi Pengurus Kedai di KL

Salah satu kejayaan SBJK adalah kisah seorang murid berusia 17 tahun berasal dari Sabah pada awalnya hanya ingin mengikuti kakaknya bekerja di Kuala Lumpur. Beliau yang pada mulanya hanya ingin bekerja membantu keluarga, tetapi dengan sukarela mendaftar di SBJK.

Dengan tidak memiliki kemahiran asas membaca, mengira, dan menulis (3M), usaha gigih Cikgu Fazidah dan guru-guru di SBJK berhasil mengatasi ketidakmahiran tersebut. Hasil didikan para guru, kini beliau dapat menulis, mengira dan membaca dengan lancar. Beliau juga diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan ketua pengawas di SBJK.

Walaupun pencapaian dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pertamanya kurang memuaskan, keazaman tidak padam dalam dirinya. Pada usia 18 tahun, beliau mengambil keputusan untuk menduduki peperiksaan SPM sekali lagi dan hasilnya menunjukkan peningkatan yang ketara.

Kini, sebagai bukti kesungguhan dan kejayaan beliau, beliau telah menjadi pengurus di sebuah kedai kasut di KL, memberikan inspirasi kepada anak-anak SBJK yang lain.

Gambar hiasan. (Kredit: Bernama)

Tiada Yuran, Makan Percuma 4 Kali Sehari

SBJK adalah sebuah sekolah yang diwujudkan oleh KPM dengan tujuan untuk memberikan peluang pendidikan kepada kanak-kanak yang tercicir dari peringkat sekolah rendah hingga menengah.

Sekolah menawarkan akses pendidikan kepada kanak-kanak yang tidak memiliki dokumen dan salah seorang ibu bapa kanak-kanak tersebut adalah warganegara Malaysia, atau murid warganegara Malaysia yang tercicir persekolahan atas faktor ekonomi dan sosial keluarga.

Sekolah ini mendapat keistimewaan seperti makanan disediakan sebanyak empat kali sehari dan tiada yuran dikenakan kepada anak-anak murid. Apa yang lebih menarik lagi mereka tidak perlu berbelanja pada pakaian seragam sekolah kerana mereka mendapat kelonggaran memakai pakaian biasa.

Pihak Sekolah juga menjalin hubungan dengan ibu bapa dan mereka juga menerima kehadiran SBJK sejak 10 tahun. Ibu Bapa juga turut serta membantu kawan-kawan senasib dengan mereka untuk sama-sama daftar anak mereka masuk ke sekolah SBJK supaya anak-anak ini tidak ketinggalan.

Pada 23 Oktober lalu, KPM telah meluaskan program SBJK ke negeri Sabah, khususnya di SK Sembulan, Kota Kinabalu bagi memberi fokus kepada kanak-kanak tercicir berpanjangan di arus perdana. Murid ini terdiri daripada keluarga miskin tegar dan kanak-kanak warganegara tanpa dokumen pengenalan diri.

“Pendidikan Untuk Anak di Usia Awal Hingga Akhir Itu Adalah Sangat Penting” – Cikgu Nurul Fazidah binti Othman

Kejayaan Alumni SBJK

SBJK telah mencapai kejayaan gemilang dengan menghasilkan alumni yang berjaya dalam pelbagai bidang. Ada antara mereka yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang automotif serta menjejakkan kaki ke universiti terkemuka seperti UKM dan UUM.

Antaranya Alma Nur Fajrina yang kini sedang melanjutkan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia, Sintok Kedah serta Puteri Nur Arissa dan Puteri Umira yang telah meneruskan pengajian di peringkat ijazah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

sbjk makanan percuma
Naib Canselor UKM, Prof. Dato’ Gs. Ts. Dr. Mohd Ekhwan Hj. Toriman menyerahkan kad matrik kepada Arisa dan Umirah.

sbjk makan percuma

sbjk makanan percuma
Alma Nur Fajrina semasa sesi pendaftaran di UUM pada 2021. (Kredit: Nadiatul Farhana Mat Sihap)

Ada juga yang telah membuka perniagaan sendiri seperti Atikah yang menjual desert ais krim di Kampung Baru, dan Munir yang membuka kedai bakery di sekitar Chow Kit. Zaleha, yang dulunya merupakan murid SBJK, kini menjadi seorang guru tadika sejak tahun 2022.

Berdasarkan bukti kejayaan murid ini, maka usaha untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak yang tidak bernasib baik dilihat sebagai satu usaha murni KPM untuk memberi kesaksamaan dalam pendidikan. Selain itu, turut memastikan kanak-kanak ini dapat meneruskan kelangsungan hidup sehingga mereka tamat Program SBJK kelak.

Untuk maklumat lebih terperinci tentang SBJK boleh melayari laman web rasmi KPM di sini.

Antara pencapaian para murid SBJK, pernah jadi johan antarabangsa

Bukan sahaja aktif pada peringkat sekolah, murid SBJK juga pernah beberapa kali menjadi johan dalam pertandingan peringkat antarabangsa. Kejayaan ini membuktikan mereka mempunyai potensi yang boleh digilap sekiranya mendapat peluang sama rata dengan rakan sebaya yang lain.

Penulis – Mohd Irfan bin Abdul Wahid

Amira

Love yourself.