Wan Zack Ajak Peminat Sertai Fenomena Subuh Macam Jumaat
Kempen Geng Subuh Macam Jumaat yang dimulakan oleh penyanyi terkenal Alif Satar kini telah disertai oleh pemain bola sepak Perak FC, Wan Zack Haikal.
Baru-baru ini, pemain bola sepak itu telah berkolaborasi bersama jawatankuasa Surau Raja Hairani, Taman Meru Perdana 2 bagi melaksanakan program Geng Subuh Macam Jumaat pada Ahad serta mengajak orang ramai untuk menyertainya.
Wan Zack berkata program tersebut merupakan program pertama yang pernah disertai olehnya bersama komuniti setempat dan juga peminat bola sepak.
Beliau turut menjelaskan mengajak orang ramai untuk melakukan kebaikan untuk agama dengan menyertai program itu adalah sesuatu yang membanggakan.
“Kita ajak orang nak buat baik, tidak perlu nak tiru sesiapa. Bila dipanggil untuk sertai program ini, saya amat bangga sebab bukan senang orang nak jemput kita untuk ajak orang solat Subuh berjemaah di surau.
“Bagi saya, ini adalah satu program yang baik dan perlu diikuti orang lain sebab kita ajak orang buat kebaikan dan seperti yang diketahui solat Subuh berjemaah itu adalah perbuatan yang amat baik,” katanya kepada Sinar Harian.
Program Disambut Baik
Dalam pada itu, Wan Zack Haikal turut berharap agar rakan-rakan pemain bola sepak atau atlet sukan yang lain yang mempunyai nama atau pengaruh yang besar untuk mengajak peminat melakukan program bermanfaat ini.
Dalam pada itu, pengerusi Surau Raja Hairani, Ariffin Shariff berkata bahawa program itu disambut baik oleh orang ramai dengan kira-kira 400 orang jemaah hadir untuk menunaikan solat Subuh di surau itu.
“Sebenarnya, Wan Zack merupakan ahli kariah kami dan Alhamdulillah, beliau setuju untuk berkolaborasi dengan kami di surau ini.
“Ini merupakan satu petanda yang baik kerana kehadiran ikon sepertinya dapat menarik ramai remaja dan anak muda ke surat untuk menunaikan Subuh,” kata Ariffin Shariff.
Katanya, walaupun program itu pertama kali diadakan dan juga merupakan surau pertama yang di kawasan Meru Raya yang mengadakannya, sambutan ahli kariah amat baik.
“Kejayaan program ini tidak akan terhenti di sini dan kami akan teruskan dengan program yang lain,” katanya.
Selain daripada menunaikan solat Subuh, program itu turut dimeriahkan lagi dengan aktiviti selain makanan juga disediakan.
Sumber: Sinar Harian