Kanak-Kanak Lima Tahun Maut Motosikal Masuk Parit
IPOH, 31 Jan (Bernama) — Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut apabila motosikal dinaiki bersama tiga individu lain terbabas ke dalam parit selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Alor Pongsu, Kampung Matang Jelutong dekat Bagan Serai malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai digegaskan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.41 malam.
“Kejadian melibatkan sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang lelaki telah melanggar belakang motosikal ditunggang seorang wanita berusia 32 tahun berserta tiga pemboncengnya menyebabkan motosikal itu terbabas memasuki parit,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati tiga mangsa telah dibawa oleh ambulans ke Hospital Parit Buntar, manakala wanita berkenaan dibawa oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke hospital sama.
“Kanak-kanak perempuan itu disahkan meninggal dunia di hospital manakala seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dan seorang kanak-kanak lelaki tujuh tahun cedera,” katanya.
Sabarodzi berkata operasi berkenaan tamat sepenuhnya pada 10.10 malam.
BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu
Sumber: BERNAMA