Peruntukan KPKT RM7 Juta Bakal Manfaat 672 Peserta PEKB 2024
PUTRAJAYA, 30 Januari 2024 – Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), YBhg. Datuk Wira M Noor Azman Bin Taib telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) tahun 2024 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Berlian, KPKT petang ini.
Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pelaksanaan Program PEKB tahun 2024 diadakan bagi melantik Badan Bukan Kerajaan (NGO) sebagai pelaksana yang akan diberi tanggungjawab dalam melatih peserta PEKB. Bagi tahun 2024, KPKT telah memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi pelaksanaan Program PEKB yang dijangka akan memberi manfaat kepada 672 peserta program tersebut.
Program PEKB melalui kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) merupakan satu program yang efektif dan langkah progresif KPKT dalam membantu merealisasikan hasrat Kerajaan MADANI untuk membendung isu kemiskinan tegar di bandar. Justeru, semenjak Program PEKB mula dilaksanakan pada tahun 2013 dan sehingga kini KPKT telah berjaya melatih seramai 16,294 orang usahawan PEKB.
Melalui program ini, peserta PEKB yang terdiri daripada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) akan diberikan latihan keusahawanan selama tujuh (7) hari untuk meningkatkan kemahiran dalam pengendalian perniagaan dan keusahawanan. Ia bertujuan untuk memastikan peserta PEKB mampu mengusahakan perniagaan dan menghasilkan pendapatan yang lebih tinggi seterusnya meningkatkan kualiti hidup agar keluar daripada kepompong kemiskinan.
Di samping itu, para peserta juga diberikan peralatan perniagaan sejurus selepas tamat menjalani latihan tersebut bagi membolehkan peserta untuk terus memulakan perniagaan. Selain itu pihak NGO pula akan memantau aktiviti perniagaan peserta PEKB selama enam (6) bulan bagi memastikan mereka mampu menjana pendapatan bulanan sekurang-kurangnya RM750.00 iaitu di atas Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Per Kapita yang terkini.
Selaras dengan usaha Kerajaan MADANI untuk memastikan tiada rakyat yang terpinggir, KPKT dengan kerjasama NGO akan terus komited untuk melahirkan lebih ramai usahawan PEKB seterusnya mengurangkan masalah kemiskinan bandar yang semakin meruncing demi kesejahteraan rakyat.