Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang merupakan salah sebuah universiti terbaik dunia sentiasa memberikan keutamaan dalam aspek kebajikan buat seluruh kakitangannya.
Naib canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM sentiasa prihatin dan cakna kepada seluruh jentera sumber manusia terutamanya dalam aspek kebajikan kakitangan.
Jelasnya, lantaran itu UTeM telah mengumumkan 6 inisiatif pakej bantuan tambahan dalam konteks pelbagai buat kakitangan UTeM yang sentiasa dinamik bersama memajukan universiti.
Ujarnya, dalam aspek kesihatan kakitangan, UTeM telah menaikkan kadar Klinik Panel bagi setiap sesi rawatan daripada RM 50.00 kepada RM 80.00 dan kadar siling per staf dan tanggungan adalah sebanyak RM1,200.00 setahun
“Bagi meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anak kakitangan maka bantuan persekolahan berjumlah RM300.00 akan diberikan bagi staf berkelayakan dan sumbangan projek ini merupakan dana daripada UTeM Holdings Sdn Bhd.
“Pada masa yang sama UTeM dalam proses sedang usahakan untuk memberi subsidi sebanyak RM 180.00 bagi seorang anak kepada staf UTeM yang menghantar anak ke Taska UTeM,” ujarnya.
Massila berkata, selari dengan usaha menyemarakkan agenda pendigitalan nasional, tentunya UTeM senada dengan hasrat negara justeru UTeM akan membuat penggantian sebanyak 602 unit komputer baharu buat kakitangan.
“Sehubungan dengan itu, UTeM turut akan memberikan subsidi sebanyak RM 2,500.00 bagi pembelian komputer / komputer riba kepada staf gred 41 dan ke atas dan ini merupakan pilihan,” katanya.
Inisiatif selanjutnya ialah memperkasakan tadbir urus cemerlang Koperasi UTeM Berhad dan agenda ini tentunya memberikan impak pelbagai serta lebih menyeluruh manfaat buat kakitangan UTeM.
Beliau berkata, antara pakej tawaran menarik yang bakal ditawarkan menerusi Koperasi UTeM Berhad buat kakitangan yang menjadi ahli antaranya adalah kemudahan pinjaman peribadi maksimum RM10,000 (tertakluk terma & syarat).
“Antara lain adalah tawaran pakej Umrah percutian, pinjaman pembelian peralatan perabot/ emas elektrik/ elektronik, pinjaman bermusim bagi perayaan dan persekolahan.
“Untuk terus mewarnai kepelbagaian penjualan barangan dan perkhidmatan dalam kampus maka proses naiktaraf CoopMart akan dilaksanakan dengan konsep fungsi dan ruang seperti Family Mart,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, aktiviti perniagaan juga akan diperhebatkan seperti tempahan barangan berlogo UTeM, air mineral, baju korporat, tshirt dan cenderahati
agar Koperasi UTeM terus berdaya maju dalam jangka masa panjang.
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dalam Majlis Amanat Naib Canselor 2024 baru-baru ini bertempat di Dewan Canselor, Kampus Induk UTeM, Durian Tunggal.
Majlis tersebut dihadiri seramai lebih 1,800 kakitangan universiti termasuk kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM.
Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Zulkifilie Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Ir Dr Ghazali Omar dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif.