Siakap Keli
fungsi proses sulh
Kredit: MSWP

Ini Fungsi Proses Sulh Yang Perlu Anda Tahu

Ini Fungsi Proses Sulh Yang Perlu Anda Tahu

Orang ramai biasanya mendengar istilah jawatankuasa pendamai, hakam dan beberapa istilah asing dalam Mahkamah Syariah di Malaysia.

Sungguhpun begitu, istilah sulh kedengaran agak janggal dalam kalangan penganut agama Islam. Secara literalnya, sulh merupakan perkataan yang berasal dari bahasa Arab yang bermaksud pendamaian.

Manakala, definisi sulh secara teknikal pula adalah  sesuatu perjanjian yang menamatkan sesuatu pertikaian.

Untuk makluman, Seksyen Sulh merupakan salah satu seksyen yang diletakkan di bawah Bahagian Pendaftaran dan Pengurusan Kehakiman Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP).

Selain itu, perkhidmatan sulh turut ditawarkan di semua Mahkamah Syariah di setiap negeri di Malaysia bagi melicinkan proses penyelesaian kes.

Seperti sulh itu sendiri yang membawa maksud kepada pendamaian, objektif  seksyen ini adalah untuk menyediakan perkhidmatan sulh kepada pihak-pihak yang bertikai.

Menurut MSWP, fungsi seksyen sulh ini adalah sebagai satu alternatif untuk menyelesaikan kes dengan kadar yang lebih cepat.

Bilakah proses sulh dilakukan?

Sebelum kes dibicarakan di mahkamah, kes-kes yang dirasakan sesuai akan didaftarkan dan perlu menjalani proses sulh terlebih dahulu.

Proses ini bertujuan untuk membincangkan pertikaian-pertikaian yang dibangkitkan oleh pihak-pihak yang terlibat dalam kes ini.

Sekiranya pihak-pihak yang terlibat ketika sesi Majlis Sulh berjaya mencapai persetujuan terhadap pertikaian secara damai, Pegawai Sulh akan menyediakan perjanjian penyelesaian untuk ditandatangani oleh semua pihak.

Seterusnya, perjanjian penyelesaian yang telah ditandatangani itu akan dihantar ke Yang Arif Hakim di Mahkamah.

Hakim pula akan mengakui perjanjian berkenaan sebagai satu perintah mahkamah yang mengikat pihak-pihak yang terlibat.

Melalui seksyen ini, kita dapat melihat penyelesaian kes dapat berlaku dengan cepat. Perkara ini sekaligus menjimatkan masa daripada berdepan dengan proses perbicaraan yang panjang.

MSWP menjelaskan bahawa perkhidmatan ini turut ditawarkan di ketiga-tiga wilayah persekutuan iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Baca: Mahkamah Sepanyol Putuskan Stampa Bersalah Hina Mahkamah, Dihukum Penjara Enam Bulan

Kelebihan proses sulh

Terdapat pelbagai kebaikan yang boleh diperolehi daripada proses sulh ini. Antaranya, perundingan adalah bersifat terpimpin dan bukannya dominasi sebelah pihak.

Selain itu, perbincangan bersifat kerahsiaan dan menjaga maruah serta aib-aib bagi pihak yang terlibat. Pihak yang terlibat juga dapat menyelesaikan konflik dengan cara yang baik dan dapat memulihkan hubungan yang retak sebelum ini.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, proses sulh ini dapat menjimatkan kos dan masa serta mengelakkan pihak terlibat daripada menjalani proses pembicaraan yang biasanya memakan tempoh yang agak panjang.

Dengan ini, penyelesaian kes menjadi lebih cepat dan semua pihak yang terbaik dalam konflik terbabit dapat menyelesaikannya dengan baik.

Akhir sekali, proses ini dapat memberikan kebebasan kepada pihak-pihak yang terlibat untuk berbincang serta mengurangkan trauma, khususnya golongan kanak-kanak.

Kadar kejayaan proses sulh

Sungguhpun begitu, proses sulh ini akan membuahkan hasil jika pihak-pihak yang terlibat bersungguh-sungguh untuk menyelesaikan pertikaian mereka di luar mahkamah.

Proses ini juga berkesan bagi kes yang melibatkan pihak-pihak yang inginkan penyelesaian secara damai demi kepentingan di masa hadapan.

Ada sesetengah kes yang mana, kes sulh gagal memberikan resolusi dan terpaksa membawa kes tersebut ke sesi pembicaraan di mahkamah.

Kegagalan proses ini biasanya disebabkan tiada komitmen diberikan untuk menyelesaikan pertikaian serta tiada persediaan sebelum sesi sulh bermula.

Selain itu, pihak-pihak yang terlibat juga telah dipengaruhi pihak ketiga ketika diminta untuk membuat keputusan berkenaan kes tersebut.

Tuntutan yang boleh dibawa ke Majlis Sulh

Berdasarkan laman web MWSP, terdapat beberapa tuntutan yang boleh dibawa ke Majlis Sulh. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Ganti rugi pertunangan

2. Muta’ah

3. Harta sepencarian

4. Nafkah isteri

5. Nafkah kepada pihak tidak upaya

6. Cagaran nafkah

7. Nafkah ‘iddah

8. Mengubah perintah nafkah

9. Tunggakan nafkah

10. Nafkah anak

11. Mengubah perintah jagaan anak atau nafkah anak

12. Mengubah perjanjian jagaan anak atau nafkah anak

13. Hadhanah

14. Ganti rugi perkahwinan

15. Hak tempat tinggal

16. Perintah supaya hidup bersama semula

17. Perintah supaya isteri kembali taat kepada suami

18. Mas kahwin; atau

19. Mana-mana kes yang diperintahkan oleh Hakim yang pada pendapatnya perlu untuk dirujukkan kepada Majlis Sulh.

BACA: Eskalator Rosak Tak Dibaiki, Pengguna Letak Kalung Bunga Tanda “Berkabung”

Sumber: Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma