Siakap Keli
Gambar: Bernama

Dapat Banyak Faedah, Ketahui Apa Itu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 

Dapat Banyak Faedah, Ketahui Apa Itu Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah 

Belanjawan 2024 yang turut dipanggil sebagai Belanjawan MADANI Kedua telah dibentang oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober 2023.

Anwar yang juga merangkap Menteri Kewangan telah membentangkan bajet bagi memenuhi keperluan kehidupan rakyat dari segenap lapisan masyarakat.

Antara golongan yang tidak terkecuali daripada menerima manfaat belanjawan ini adalah golongan suri rumah yang tidak memiliki pendapatan bulanan.

Menerusi belanjawan yang dibentang, salah satu skim yang memberi perlindungan kepada golongan ini diteruskan dengan menerima peruntukan sebanyak RM50 juta.

Peruntukan besar ini dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih dari 400,000 suri rumah yang berdaftar di bawah e-Kasih.

Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah

Untuk makluman, Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) merupakan salah satu skim perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Berbeza dengan skim-skim lain, skim ini tertumpu kepada golongan suri rumah yang rata-rata tidak memiliki sumber pendapatan bulanan.

Skim ini telah berkuat kuasa pada 1 Disember 2022 dan diperkenalkan di bawah Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022.

Tujuan skim ini diperkenalkan adalah untuk memberikan perlindungan keselamatan sosial kepada golongan suri rumah.

Caruman dari skim ini dapat melindungi golongan ini ketika dilanda bencana domestik dan kemalangan semasa menguruskan rumah tangga.

Menariknya, takrifan suri rumah yang layak untuk mendaftar caruman ini tidak terhad terhadap golongan isteri semata-mata sahaja.

Skop ‘suri rumah’  adalah luas kerana terbuka kepada wanita sama ada berkahwin atau belum dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau tidak.

Hal ini merangkumi isteri, janda atau balu dan ibu kepada seorang anak atau lebih termasuk ibu tunggal.

skim Keselamatan Sosial Suri Rumah
Kredit: Bernama

Untuk memenuhi syarat kelayakan menerima faedah, caruman berjumlah RM120 setahun bagi seorang suri rumah. Ia perlu dibayar secara in advance atau pre-paid bagi tempoh 12 bulan berturut-turut

Caruman tersebut boleh dibuat secara sukarela oleh para suami, suri rumah itu sendiri, ahli keluarga seperti abang, adik, saudara dan sebagainya.

Selain ahli keluarga, caruman juga boleh dibuat oleh mana-mana pihak ketiga bagi suri rumah terbabit seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Manakala, prinsip ‘once in, always in‘ akan diguna pakai bagi suami yang memilih untuk membuat caruman buat isterinya.

Jenis perlindungan yang ditawarkan SKSSR

SKSSR memberi perlindungan bencana domestik kepada suri rumah yang mengalami kemalangan atau apa-apa insiden ketika menguruskan rumah tangga.

Selain dari bencana domestik, SKSSR juga melindungi suri rumah yang ditimpa penyakit atau keuzuran yang berlaku di luar jangkaan.

Antara perlindungan yang ditawarkan adalah seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Kekal, Elaun Layanan Sentiasa dan Faedah Pengurusan Mayat.

Pencarum juga menerima faedah berupa Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Dialisis dan Pencen Penakat.

Adakah anda layak untuk mendaftar SKSSR ini?

Syarat kelayakan untuk memohon skim ini adalah, pemohon mestilah seorang Warganegara Malaysia atau pemastautin tetap di Malaysia.

Selain itu, ia juga terbuka untuk suri rumah yang belum mencapai usia 55 tahun.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, pihak berkenaan perlu membayar caruman untuk tempoh 12 bulan terlebih dahulu sebelum memperoleh manfaat daripada pelan skim ini.

Bagi memperoleh maklumat lanjut, anda boleh melayari laman sesawang rasmi Perkeso di atau menghubungi khidmat pelanggan Perkeso di talian 1-300-22-8000.

BACA: Eskalator Rosak Tak Dibaiki, Pengguna Letak Kalung Bunga Tanda “Berkabung”

Sumber: PERKESO

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma