PERKESO Santuni Waris Lagenda Bola Sepak Negara, Mokhtar Dahari
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah membayar sejumlah RM272,533.57 kepada waris keluarga lagenda bola sepak negara Dato’ Mohamad Mokhtar bin Dahari sejak 1992 selepas beliau meninggal dunia akibat penyakit Neuron Motor.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, allahyarham yang lebih dikenali dengan nama Mokhtar Dahari merupakan pencarum PERKESO bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 sejak 1974 hingga 1990 sebelum beliau disahkan meninggal dunia pada 11 Julai 1991 di Pusat Perubatan Universiti Malaya.
“Allahyarham yang terkenal dengan jolokan SuperMokh ini adalah penerima faedah bawah Skim Keilatan serta Pencen Penakat dan warisnya telah menerima faedah ini sejak 19 Jun 1992.
”Jumlah bayaran Pencen Penakat yang telah dibayar sehingga kini berjumlah RM272,533.57, kini hanya balu yang menerima manfaat
berkenaan berikutan tiga orang anaknya telah mencapai umur 21 tahun,” jelas beliau.
Balu Mokhtar Dahari, Datin Tengku Zarina Tengku Ibrahim,68 masih menerima bayaran bulanan berjumlah RM708.20 dan akan terus dibayar sepanjang hayatnya.
Pengerusi Lembaga PERKESO, Dato’ Sri Subahan Kamal turut hadir menyantuni waris keluarga Dato’ Mokhtar Dahari di kediaman meraka dalam Ziarah Prihatin hari ini.
PERKESO sentiasa berusaha memastikan no one is left behind dan memburu peluang membawa sinar baharu buat seluruh rakyat Malaysia, berteraskan kempen PERKESO 2024 dan agensi ini bertekad menyebar berjuta kebaikan untuk kehidupan insan.