Siakap Keli

Menteri KPKM Adakan Kunjungan Hormat, Mahu Modenkan Sektor Pertanian Di Sarawak

Kunjungan Hormat Menteri Pertanian Dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Terhadap Premier Sarawak

KUCHING, 09 Februari 2024 – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Haji Mohamad Sabu mengadakan kunjungan hormat terhadap YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Haji Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Turut serta Timbalan Menteri KPKM, Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar), Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood.

Menerusi pertemuan ini perbincangan adalah menjurus kepada pelbagai bentuk kerjasama bagi terus memodenkan sektor pertanian di Sarawak sekaligus memajukan sektor agromakanan negara secara keseluruhannya.

Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkongsi aspirasi yang sama serta komited untuk memperkukuh kerjasama khususnya menggalakkan penggunaan teknologi dalam aktiviti pertanian bagi meningkatkan hasil pengeluaran sekali gus memastikan keterjaminan bekalan makanan negara.

Pemerkasaan penggunaan teknologi moden dalam pertanian juga merupakan antara langkah penyelesaian bagi menangani isu dan cabaran yang dihadapi oleh sektor agromakanan di peringkat domestik mahupun global.

Pada pertemuan itu Mohamad menjelaskan bahawa lima hala tuju dan fokus Kementerian yang digariskan pada tahun 2023 akan diteruskan memberi penekanan kepada akuakultur, penternakan lembu secara fidlot, jagung bijian, penglibatan anak muda dan pemerkasaan institut latihan pertanian.

Sementara untuk tahun 2024 Kementerian akan memberi fokus kepada pengukuhan terhadap empat industri meliputi padi dan beras, ayam dan telur, bawang dan industri nanas.

Inisiatif ini akan diperkukuhkan secara holistik dan komprehensif melalui Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR). Aspirasi ini adalah selaras dengan kerangka strategik di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021 – 2030 (DAN 2.0).

Mohamad yang diiringi Timbalannya dan delegasi Pengurusan Tertinggi KPKM dalam rangka lawatan kerja rasmi selama tiga hari bermula Rabu.

Lawatan ini turut menyaksikan beberapa tinjauan ke projek pertanian di bawah seliaan KPKM serta penyampaian pakej bantuan mekanisasi kepada syarikat peneraju di bawah Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

Turut diadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan serta pemain industri merentasi semua subsektor agromakanan di Sarawak bagi mendapatkan input, pandangan dan cadangan untuk terus memperkukuh keterjaminan makanan negara secara mampan.

Terdahulu, Mohamad turut mengumumkan harga lantai belian padi ditetapkan kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang akan dikuatkuasakan bermula 15 Februari ini.

Amira

Love yourself.

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.