Siakap Keli
pemilu indonesia
Kredit: Bernama

Mengundi Hari Ini, Begini Rupanya Pemilu & Pilpres Indonesia Berjalan

Mengundi Hari Ini, Begini Rupanya Pemilu & Pilpres Indonesia Berjalan

Baru-baru ini, tular gambar-gambar yang menunjukkan warga Indonesia memenuhi perkarangan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Kehadiran ribuan rakyat Indonesia disana adalah untuk memenuhi tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

Mereka yang hadir di WTCKL merupakan pengundi awal di luar negara sempena Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024.

Selain WTCKL, terdapat lima lagi pusat pengundian awal yang turut dibuka di Malaysia bagi memenuhi keperluan rakyat Indonesia di sini.

Lokasi-lokasi tersebut adalah di Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Tawau dan Kuching di Sarawak.

Menariknya, proses Pemilu Indonesia 2024 sering mendapat perhatian kerana melibatkan jumlah pengundi luar negara yang besar.

Untuk makluman, Pemilu Indonesia telah ditetapkan pada 14 Februari, iaitu bakal mengambil tempat di Indonesia pada hari ini.

Pemilu menghimpunkan semua jenis pilihan raya dalam satu masa

Berbeza dengan Pilihan Raya Umum (PRU) di Malaysia, Pemilu menghimpunkan beberapa pilihan raya yang berlaku pada masa yang serentak.

Tujuannya adalah bagi memudahkan rakyat Indonesia untuk keluar mengundi dalam satu masa.

Seperti negara lain yang dipimpin oleh Presiden, di Indonesia juga terdapat satu pilihan raya bagi memilih Presiden berserta timbalannya.

Perkara tersebut turut termaktub dalam Seksyen 6A dan Seksyen 22E Undang-Undang Dasar Negara Republik Indonesia dan Undang-Undang tentang Pemilihan Umum.

Selain Pilpres, Pemilu juga memberikan ruang kepada rakyat bagi menentukan komposisi Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR).

MPR pula terdiri daripada Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dan Dewan Perwakilan Daerah (DPD).

Jika dibandingkan dengan struktur pentadbiran Malaysia, komponen DPR dan DPD boleh diibaratkan seperti Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada masa yang sama, pengundi akan memilih ahli legislatif bagi setiap pihak berkuasa tempatan di lokaliti masing-masing.

Berbeza dengan Indonesia, negara kita tidak menjalankan pilihan raya tempatan bagi menentukan tampuk kepimpinan di PBT tempat masing-masing.

Jenis-jenis pilihan raya yang diadakan dalam Pemilu

Untuk makluman, terdapat tiga pilihan raya yang biasanya diadakan serentak dalam Pemilu 2024.

1. Pemilihan Umum Legislatif (Pileg)

Pemilihan Umum Legislatif  (Pileg) atau juga dirujuk sebagai Pemilu Legislatif dijalankan bagi memilih calon untuk mengisi kerusi DPR, DPD dan Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD).

Kerusi-kerusi itu merupakan kerusi yang ditawarkan di peringkat kebangsaan, provinsi dan daerah.

Misalnya dalam DPR, terdapat 580 kerusi yang dipertandingkan di bawah Pileg yang mewakili seluruh wilayah di Indonesia.

Terdapat juga pertambahan lima kerusi baharu selepas empat wilayah diwujudkan.

Untuk Pileg 2024, seramai 9,917 calon daripada 18 parti politik bertanding dalam DPR kali ini.

2. Pemilihan Umum Presiden (Pilpres)

Pilpres adalah singkatan dari Pemilihan Umum Presiden dan Wakil Presiden Negara Kesatuan Republik Indonesia.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, Pilpres memberi hak kepada setiap rakyat Indonesia yang layak mengundi untuk memilih sendiri pemimpin nombor satu negara mereka.

3. Pemilihan Umum Kepala Daerah (Pilkada)

Pemilihan Umum Kepala Daerah atau singkatannya Pilkada memberi ruang kepada rakyat Indonesia untuk memilih Ketua Daerah di kawasan lokaliti masing-masing.

Disebabkan banyak pilihan raya yang dijalankan, semakin banyak badan yang ditubuhkan bagi melancarkan proses pilihan raya umum di Indonesia.

Pilpres dan Pileg telah dikelolakan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU), Badan Pengawas Pemilu (Bawaslu) dan Dewan Kehormatan Penyelenggara Pemilu (DKPP).

Manakala, Pilkada pula diuruskan oleh oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) Provinsi, Komisi Pemilihan Umum (KPU) Daerah.

Pilihan raya pada peringkat ini juga dipantau Panitia Pengawas Pemilihan Umum (Panwaslu) Provinsi dan Panwaslu Daerah.

Pilpres menyaksikan persaingan tiga penjuru daripada tiga gabungan parti politik

Pilpres 2024 menyaksikan perebuatan tiga penjuru melibatkan kerusi Presiden dan timbalannya.

Pemilu indonesia
Kredit: X
1. Anies Baswedan & Muhaimin Iskandar

Mantan Gabenor Jakarta merangkap mantan Menteri Pendidikan Budaya, Anies Baswedan telah dicalonkan buat kali pertama sebagai Presiden oleh Parti Nasional Demokrat (NasDem).

Seterusnya, pencalonan calon bebas itu telah disahkan gabungan parti politik iaitu, Koalisi Perubahan (Gabungan Perubahan).

Gabungan parti politik ini diterajui empat parti utama seperti Parti NasDem, Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Parti Ummat.

Selain Anies, Koalisi Perubahan turut menamakan mantan Timbalan Speaker Dewan Perwakilan Rakyat dan bekas Menteri Buruh dan Transmigrasi, Muhaimin Iskandar sebagai calon Timbalan Presiden.

2. Prabowo Subianto & Gibran Rakabuming

Pemangku Menteri Pertahanan Indonesia pada masa ini, Probowo Sobianto yang sangat terkenal dengan tindakan populisnya telah dicalonkan sebagai calon Presiden oleh partinya, Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra).

Pada masa yang sama, gabungan parti politik, Koalisi Indonesia Maju turut menamakan anak sulung Joko Widodo sebagai calon Timbalan Presiden.

Anak Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming merupakan pemegang jawatan Datuk Bandar Surakata pada masa ini.

Manakala, Koalisi Indonesia Maju diterajui dengan banyak parti iaitu Gerindra, Parti Golongan Karya (Golkar), Demokrat, Parti Amanat Nasional (PAN), Parti Solidariti Indonesia (PSI), Parti Bulan Bintang (PBB), Parti Pengawal Perubahan Indonesia (Garuda) dan Parti Gelombang Rakyat (Gelora).

3. Ganjar Pranowo &  Mahfud MD

Mantan Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Parnowo telah dinamakan sebagai calon Presiden oleh partinya, Parti  Perjuangan Demokrasi Indonesia (PDI-P).

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik, Perundang-undangan, dan Keselamatan, Mahmud MD turut dicalonkan sebagai calon Timbalan Presiden oleh parti yang sama.

Kedua-dua calon ini merupakan wakil daripada gabungan parti politik Kerjasama Parti Politik.

Gabungan ini dianggotai PDI-P, Parti Persatuan Pembangunan (PPP),  Parti Persatuan Indonesia (Perindo) dan Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura).

Manakala, Parti Demokrasi Rakyat Indonesia (PDRI) telah menjadi sebahagian daripada gabungan ini secara tidak rasmi.

Apa yang menjadikan pilihan raya di Indonesia menarik selain pelbagai parti politik dan kerusi dipertandingkan adalah tempoh perjalanan pilihan raya itu sendiri.

Pilihan raya umum Indonesia ambil masa setengah tahun

Menurut laman web Komisi Pemilihan Umum, proses dari awal pilihan raya di Indonesia mengambil masa hampir setahun setengah.

Tempoh yang panjang diperlukan selepas mengambil kira saiz negara dan jumlah penduduknya.

Jumlah kerusi yang dipertandingkan juga lebih banyak jika dibandingkan dengan kerusi Dewan Rakyat dan DUN di Malaysia.

Malah tempoh pencalonan bagi setiap kerusi yang dipertandingkan juga mengambil masa kira-kira lebih dari satu bulan.

Contohnya, proses pencalonan bagi DPD telah dibuka sejak 6 Disember 2022, manakala bagi DPR dan DPRD pula dibuka pada 24 April 2023.

Seterusnya, pencalonan bagi presiden dan timbalannya pula dibuka bermula pada 10 Oktober 2023.

Kesemua pencalonan ditutup secara rasmi pada 25 November 2023.

Selepas sesi penamaan calon tamat dan pengesahan calon yang bertanding dibuat, calon-calon Pemilu dibenarkan untuk menjalankan kempen.

Kempen Pemilu berlangsung bermula dari 28 November sehingga 10 Februari, untuk tempoh lebih dari dua bulan.

Sebagai perbandingan, tempoh berkempen di Malaysia hanya berjalan selama dua minggu sahaja.

Manakala, tiga hari sebelum tarikh mengundi pada hari ini pula ditetapkan sebagai tempoh bertenang.

Kredit: Bernama

Dalam tempoh ini, pengundi awal misalnya rakyat Indonesia di luar negara dibenarkan menjalankan tanggungjawab mereka.

Manakala hari mengundi di Indonesia pula ditetapkan pada hari ini. Ia sekaligus menjadi pilihan raya sehari yang terbesar di dunia.

Tempoh pengiraan undi pula berjalan selama sebulan iaitu bermula pada 15 Februari sehingga 20 Mac.

Sungguhpun pengiraan undi berakhir pada bulan Mac, kebanyakan penduduk Indonesia akan mengetahui keputusan pilihan raya pada bulan Oktober.

Ahli MPR yang baru dipilih secara rasmi akan menyandang jawatan mereka pada 1 Oktober 2024.

Manakala, presiden dan naib presiden akan mengangkat sumpah pada 20 Oktober 2024.

BACA: Jangan Panik “Roadtax” Mati, “Renew” Dekat MyJPJ Sekelip Mata

Sumber: Komisi Pimilihan Umum , Tribun News, Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma