Siakap Keli
Kredit: Bernama

Nak Kurangkan Import Makanan Dari Luar, Ini Apa Peladang Kita Dah Buat

Sudah menjejaki 2024, namun negara kita masih bergantung kepada makanan asas dari luar negara dengan kos tahunan mencecah puluhan billion ringgit. Daripada bawang India, tepung gandum Australia, hatta beras sekalipun kita masih bergantung kepada Thailand.

“Malaysia ini mempunyai hujan, air, kesuburan tanah, namun kita import produk makanan amat besar sehingga RM70 billion setahun,” ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos tahun lalu, seperti dilapor Astro Awani.

Kebergantungan yang tinggi terhadap produk luar negara ini pastinya akan memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat tempatan.

“Kerajaan India juga dilaporkan akan naikkan cukai eksport bawang merah dan bawang putih sehingga 40 peratus, ia bukan di bawah kawalan kita,” ujar Anwar dalam program Bantuan Bakul Rahmah pada tahun lalu.

Malah, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kos import negara kita melebihi pendapatan yang kita perolehi menerusi eksport dengan jurang perbezaan berjumlah RM25 billion.

import makanan malaysia

Menyedari krisis ini, kerajaan melalui kementerian dan agensi di bawahnya berganding bahu untuk membangunkan industri pertanian di negara kita.

Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dalam Pelan Korporat ke-7 (2021-2025) telah merancang fokus strategik bagi memastikan bekalan negara kita mencukupi melalui usaha sama dengan para peladang tempatan.

Antara fokus utama pelan tersebut merangkumi penggunaan teknologi tinggi, pertanian pintar, pengukuhan pemasaran dalam talian, pemasaran tanpa tunai serta pengurangan import. LPP juga mengoptimumkan penggunaan sumber mentah negara selain memfokuskan kepada penggunaan inovasi meliputi Artificial Intelligence (AI), Robotic Process Automation dan Internet of Things (IoT).

Sejak ditubuhkan pada 14 Februari 1973, LPP berperanan menerajui sektor agro makanan negara dengan memperkasakan para peladang, nelayan dan penternak agar mampu berkembang seiring penggiat industri lain.

import makanan malaysia

“Peladang dan institusi peladang perlu dinamik dalam menempuhi cabaran semasa agar terus lestari menerajui sektor agro makanan. Sesungguhnya peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang perlu dibela.” – Ketua Pengarah LPP, Dato’ Azulita Salim

Pelbagai insentif diberikan, tak perlu bayar cukai pendapatan

Bagi memberi galakan buat para pengeluar makanan, kerajaan melalui Belanjawan 2023, telah bersetuju untuk melanjutkan insentif bagi projek pengeluaran makanan sehingga akhir 2025 akan datang.

Melalui inisiatif itu, syarikat pengeluar makanan diberi pengecualian cukai pendapatan 100 peratus ke atas pendapatan berkanun sepanjang 10 tahun bagi projek baharu, manakala lima tahun bagi membangunkan projek pembesaran syarikat sedia ada.

Malah, syarikat yang melabur dalam projek ini turut diberikan potongan cukai bersamaan dengan jumlah yang dilaburkan dengan maksimum tiga tahun taksiran.

Setelah 51 tahun tempoh penubuhan, seramai 965,195 orang peladang, 2,595 orang anggota LPP serta 3,532 orang anggota lantikan Pertubuhan Peladang telah direkodkan di seluruh negara.

Dengan jumlah hampir satu juta peladang dan anggota LPP yang semakin meningkat, diharapkan sektor pertanian di negara kita dapat berkembang dengan baik, sekaligus mencapai visi LPP sebagai “Peneraju Kecemerlangan Pertubuhan Peladang Bagi Meningkatkan Sumbangan Berkesan Dalam Sektor Agromakanan Negara”.

Namun, aspirasi ini memerlukan kerjasama dan kesediaan anak muda kita untuk bergiat dalam industri pertanian. Jika anak muda kita enggan bergelumang dengan tanah, terpaksalah menanggung harga makanan asas yang ‘melangit’ pada masa akan datang.

“Whoever controls the food supply controls the people; whoever controls the energy can control whole continents; whoever controls money can control the world.”

import makanan malaysia

Amira

Love yourself.