Orang Bekerja Sendiri Boleh Dapat Rawatan Percuma Di Klinik & Hospital, Ini Cara Nak ‘Claim’
Setiap bidang pekerjaan menawarkan pelbagai kelebihan dan manfaat tersendiri. Langkah seterusnya hanya terletak pada individu tersebut sama ada mahu kerja makan gaji ataupun bekerja secara sendiri.
Kebiasaannya bagi golongan kerja makan gaji, syarikat sudah menyediakan pelbagai kemudahan termasuklah perlindungan insurans.
Namun, bagaimana pula dengan nasib golongan yang bekerja sendiri? Bagaimana mereka mendapat perlindungan jika berlaku kemalangan sewaktu bertugas?
Lebih-lebih lagi kos mendapatkan rawatan di hospital atau klinik terpaksa ditanggung semua oleh mereka. Bahkan kos tersebut mampu mencecah ribuan ringgit jika nasib tidak baik.
“Mana nak cari duit bayar bil hospital ni”
Disebabkan itulah, wujudnya Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) ni.

Skim ini telah mula berkuatkuasa pada 1 Jun 2017 dan diguna pakai sehingga kini di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017.
Skim ini merangkumi 20 sektor pekerjaan sendiri yang layak kepada mereka di luar sana bagi menikmati pelbagai faedah dan elaun yang ditawarkan oleh PERKESO.
Dapatkan rawatan percuma di klinik panel PERKESO
Skim ini menawarkan pelbagai faedah kepada pencarum seperti berikut;
Antara faedah yang bakal dinikmati oleh pencarum termasuklah Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Elaun Layanan Sentiasa, Faedah Pengurusan Mayat dan Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional serta Faedah Pendidikan.
Bagi Faedah Perubatan, pencarum boleh mendapatkan rawatan secara percuma di hospital dan klinik panel PERKESO. Pencarum hanya perlu membawa dokumen di bawah sebelum mendapatkan rawatan,
- Borang Butiran Notis & Tuntutan Faedah (download)
- Borang PKS(P)68 (download)
- Surat pengenalan (download)

Pakej Pelan Caruman Yang Ditawarkan
Terdapat empat pakej pelan caruman yang ditawarkan oleh PERKESO mengikut jumlah pendapatan pencarum. Berikut adalah kadar caruman yang ditawarkan;

Rebut Peluang Yang Tersedia
Lebih menarik lagi untuk tahun 2024, Kerajaan memperuntukkan RM100 juta dengan peningkatan pembiayaan sebanyak 90 peratus kepada mereka yang mencarum SKSPS dengan baki 10 peratus lagi ditanggung oleh syarikat. Jadi secara praktikalnya anda hanya perlu mencarum SKSPS secara percuma kerana caruman ditanggung kerajaan dan syarikat.
Sekiranya pencarum meninggal dunia akibat bencana pekerjaan, waris keluarga pencarum layak menerima Faedah Orang Tanggungan (FOT) sebanyak 90 peratus daripada pilihan pendapatan bulanan yang diinsuranskan.

“Siapa Je Yang Layak?”
Skim ini layak dinikmati oleh warganegara Malaysia atau pemastautin tetap tanpa mengira had umur.
Setiap individu mestilah menjalankan pekerjaan sendiri untuk mencari nafkah dalam 20 sektor yang dinyatakan PERKESO.
Dokumen Yang Diperlukan
Untuk memohon skim ini, terdapat beberapa dokumen yang perlu dilampirkan oleh pemohon seperti salinan kad pengenalan (IC) dan salinan kad PSV atau profil e-hailing atau permit atau lesen, atau sijil atau surat pengesahan dari persatuan atau agensi yang berkaitan tertakluk kepada jenis sektor yang dipilih.
Macam Mana Nak Daftar SKSPS?
Caranya mudah sahaja, pemohon hanya perlu memuat turun aplikasi Prihatin untuk mendaftar di bawah Skim Pekerjaan Sendiri untuk menguruskan pelan caruman. Aplikasi ini boleh didapatkan di Google Play dan Apple Store.
Langkah kedua, pemohon boleh membuat pendaftaran dan pembayaran melalui portal MATRIX.

Pendaftaran di portal MATRIX
Pertama, layari portal MATRIX dan klik pada Daftar (sign up account). Isi maklumat diri seperti yang diminta pada ruangan. Bagi yang telah mempunyai akaun hanya perlu memasukkan nombor kad pengenalan (IC).
Kedua, anda akan menerima kod OTP untuk pengesahan menerusi emel. Kemudian, semak semula maklumat diri dan buat pengesahan kata laluan. Lepastu anda dah boleh guna portal MATRIX.
Proses Pembayaran Di MATRIX
Setelah mempunyai akaun, pemohon perlu log in ke MATRIX seperti biasa, isi maklumat dan kata laluan yang telah didaftarkan.

Cari dan pilih mode korang iaitu I’m Self-Employed dan cari bidang yang telah disediakan dalam senarai.

Seterusnya, isi maklumat berkaitan sektor yang telah dipilih dan buat pembayaran. Pembayaran hanya boleh dilakukan menerusi perbankan atas talian (online banking).
Pilih bank untuk buat pembayaran, cetak resit dan selesai.

Semak cara pendaftaran dan pembayaran di portal MATRIX di sini.
Pembayaran secara dalam talian juga boleh dibuat melalui rakan strategik PERKESO di https://tango.net.my. Selain itu, PERKESO juga menerima pembayaran secara tunai dan boleh dibuat di semua pejabat PERKESO.
Golongan Penjaja Amat Digalakkan

Bagi golongan penjaja dan peniaga, ini adalah skim yang patut korang carum sebab korang boleh mencarum dengan harga yang rendah. Bukan itu sahaja, pelbagai manfaat yang boleh dinikmati bawah SKSPS ini.
Kerajaan Negeri Melaka dan Terengganu pun menyokong inisiatif ini dengan mewajibkan penjaja negeri mereka mencarum skim ini.
Ini kerana setiap pekerjaan mempunyai risiko yang menanti kita bila-bila masa tanpa disedari, kerana malang tidak berbau.
Oleh itu, lebih baik kita ambil langkah perlindungan lebih awal menerusi insurans, bak kata pepatah sediakan payung sebelum hujan.
Caruman PERKESO ini bukan sahaja dapat bantu kita sewaktu ditimpa musibah, tetapi ia juga beri manfaat kepada ahli keluarga sekiranya pencarum meninggal dunia.
Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai caruman ini, boleh layari laman web rasmi PERKESO atau klik di sini.