Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (National Semiconductor Strategic Task Force – NSSTF) akan mentransformasi industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) Malaysia dengan menumpukan dan memacu penambahbaikan kepada tiga aspek, iaitu insentif, bakat, dan ekosistem.
NSSTF telah ditubuhkan melalui Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara pada 9 Januari 2024. Ia merupakan satu platform khusus untuk membincang dan melaksanakan hala tuju pembangunan ekosistem industri semikonduktor Malaysia, termasuk usaha menarik pelaburan strategik dan berkualiti ke dalam sektor ini.
Sektor E&E Malaysia, di mana semikonduktor merupakan pengeluaran utama, menyumbang lebih kurang 40% kepada jumlah eksport Malaysia pada tahun 2023.
Industri semikonduktor Malaysia juga memiliki lebih kurang 7% pasaran global, dan menyumbang 13% kepada aktiviti pembuatan back-end dalam industri semikonduktor dunia.
Bagi memastikan pendekatan yang holistik, keanggotaan NSSTF terdiri daripada wakil beberapa Kementerian, Jabatan Kerajaan, Institusi Pengajian Tinggi dan Persatuan Industri, di mana ramai ahli-ahlinya merupakan pemain industri di peringkat global.
Mesyuarat NSSTF pertama dipengerusikan oleh YB Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz yang berkata, “Pembangunan industri E&E Malaysia perlu disusun secara lebih strategik dan sistematik untuk membentuk satu ekosistem yang kondusif bagi pelaburan dan pertumbuhan seterusnya.
“Ini penting kerana semikonduktor merupakan bahan asas bagi pelbagai sektor berteknologi tinggi – termasuk kenderaan elektrik (EV) dan sektor berasaskan kecerdasan buatan (AI) – bagi merealisasikan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Master Plan – NIMP) 2030.
“Justeru, antara perkara yang akan diutamakan oleh MITI dan NSSTF termasuk kajian dan pembaharuan dasar insentif, bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dalam menarik pelaburan langsung (FDI) asing mahupun domestik (DDI) bagi menjana pertumbuhan sektor E&E ini.
“Selain itu, pembangunan dan penghasilan bakat berkualiti juga akan diutamakan untuk memenuhi permintaan yang dinamik oleh industri agar kedudukan Malaysia sebagai pusat inovasi dan kecemerlangan kekal kukuh.
“NSSTF juga akan mengenalpasti sektor-sektor bersesuaian untuk membentuk asas pertumbuhan yang mampan, contohnhya melalui program pembangunan vendor tempatan, kerana kita juga perlu membuka peluang kepada syarikat dan PKS tempatan untuk menerima manfaat dari perkembangan ekosistem industri E&E Malaysia,” sambung Tengku Zafrul.
Mesyuarat pertama turut memperkenalkan secara rasmi 10 pakar industri yang menjadi ahli Panel Penasihat Khas kepada NSSTF. Mereka terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai rantaian nilai dan bekalan dalam industri semikonduktor di Malaysia, mewakili syarikat tempatan dan juga Multinational Corporation (MNC).
Panel Penasihat Khas NSSTF berperanan dalam memberi pandangan dan maklumbalas kepada NSSTF mengenai strategi dan dasar bagi membolehkan Malaysia terus berkembang dan meningkatkan kedudukannya di dalam industri semikonduktor global.
Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) sebagai sekretariat akan menyelaras aktiviti perkongsian pengetahuan dan perancangan strategik melalui NSSTF tersebut.
Encik Jaffri Ibrahim, Ketua Pegawai Eksekutif CREST, berkata, “CREST berbesar hati dan komited untuk menyokong NSSTF dalam memajukan ekosistem industri semikonduktor Malaysia.
“Bersama-sama dengan MITI dan pihak berkepentingan lain, kami yakin NSSTF akan dapat memacu perkembangan industri semikonduktor Malaysia secara strategik dan sistematik untuk terus meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan industri semikonduktor global.”
Penubuhan NSSTF mencerminkan komitmen serius Kerajaan dalam membentuk ekosistem semikonduktor yang dinamik di Malaysia dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui inovasi dan kerjasama di pelbagai peringkat, selaras dengan pemacuan industri semikonduktor Malaysia ke arah kecemerlangan seperti yang digariskan melalui NIMP 2030.