Jurgen Klinsmann Tidak Lagi Bersama Skuad Korea Selatan
Jurulatih skuad kebangsaan Korea Selatan, Jurgen Klinsmann dilaporkan telah dipecat pada Jumaat susulan prestasi kurang memuaskan skuad berkenaan dalam Piala Asia AFC baru-baru ini.
Difahamkan, pemecatannya berpunca daripada kekalahan Korea Selatan kepada Jordan dan pendedahan berkenaan pergaduhan antara pemain bintang skuad itu.
Beliau merupakan bekas pemain bola bagi skuad kebangsaan Jerman pada posisi penyerang, serta pernah memenangi Piala Dunia sebanyak sekali.
Sungguhpun begitu, khidmat jurulatih yang berusia 59 tahun dalam tempoh setahun itu tidak dapat memenangi hati peminat bola sepak mahupun media di Korea Selatan.
Oleh sebab itu, Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) telah membuat keputusan untuk memecatnya.
Badan berkenaan dilaporkan berada dalam tekanan untuk memecat Klinsmann apabila jawatankuasa skuad kebangsaan menjelaskan keperluan untuk menukar kepimpinan.
“KFA telah membuat keputusan untuk menukar jurulatih kebangsaan selepas membuat penelitian secara menyeluruh.
“Klinsmann telah gagal untuk mempamerkan kebolehan sebagai seorang pengurus dan pemimpin seperti yang diharapkan dari seorang jurulatih skuad kebangsaan,” kata Presiden KFA, Chung Mong-gyu.
Chung menjelaskan kekurangan daripada pelbagai aspek yang mana sangat diperlukan untuk membawa sifat daya saing kepada pasukan.
Manakala, Klinsmann memberitahu bahawa kerjayanya sebagai jurulatih merupakan satu perjalanan yang luar biasa.
Beliau juga sempat mengucapkan terima kasih kepada pemain-pemain yang berada di bawah pimpinannya menerusi media sosial, sebelum berita pemecatannya diumumkan secara rasmi.
Untuk makluman, kontrak Klinsmann dijangkakan bakal habis menjelang Piala Dunia 2029. Beliau sebelum ini turut berjanji untuk mengembalikan gelaran juara kepada Korea Selatan dalam Piala Asia AFC setelah mengalami kemarau selama 64 tahun.
Konflik antara pemain bintang mengeruhkan lagi keadaan bola sepak di Korea Selatan
Selain itu, terdapat pendedahan yang mendakwa berlakunya perselisihan antara pemain-pemain bintang dalam skuad kebangsaan.
Pendedahan ini telah mengeruhkan keadaan bagi kemelut yang dihadapi Klinsmann, selain prestasi pasukan tersebut baru-baru ini.
Pergaduhan ini dikatakan telah menyebabkan Son Heung-min mengalami kecederaan pada bahagian jarinya sebelum Korea Selatan kalah di tangan Jordan 2-0 dalam Piala Asia AFC baru-baru ini.
Salah seorang pemain bintang, Lee Kang-in telah membuat pemohonan maaf secara terbuka selepas agensi berita Yonhap melaporkan berita berkenaan dakwaan pemain itu cuba untuk menumbuk Son.
Namun begitu, jurucakap Lee menjelaskan bahawa pemain itu tidak memberikan penumbuk kepada pemain bintang Tottenham itu.
BACA: Jangan Biar Kereta Tersadai, “Check” Tiga Benda Ni Lepas Lalui Perjalanan Jauh
Sumber: AFP