Ini Peranan Yang Dipertua Dewan Negara Yang Anda Perlu Tahu
Semalam, bekas Ahli Parlimen Bukit Mas, Datuk Mutang Tagal dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara yang ke-20. Pelantikan tersebut dilakukan selepas Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar meletakkan jawatan pada 26 Januari lepas.
Pelantikan ini sekali gus mencipta sejarah tersendiri, menjadikan Mutang pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
Bercakap mengenainya, mesti ramai yang ingin tahu apa tugas Yang Dipertua Dewan Negara bukan?
Sebelum mengulas lanjut, mari kita selidiki terlebih dahulu mengenai Dewan Negara. Mungkin masih yang keliru antara Dewan Negara dan Dewan Rakyat , malah ada yang menganggapnya satu perkara yang sama.

Apa itu Dewan Negara?
Dewan Negara merupakan komponen kedua di bawah Parlimen Malaysia. Berbeza dengan Dewan Rakyat, ahli Dewan Negara yang digelar sebagai Senator tidak dipilih melalui sistem pilihan raya.
Bilangan Senator yang berkhidmat di Dewan Negara adalah seramai 70 orang dan jumlah ini terbahagi kepada dua jenis lantikan iaitu Lantikan Dewan Undangan Negeri dan Lantikan YDPA.
Bagi Lantikan Dewan Undangan Negeri (DUN), seramai 26 orang senator akan dilantik. Hal ini bermakna, setiap negeri dalam Malaysia akan diwakili dua orang Senator.
Baki 44 orang Senator pula akan dilantik oleh YDPA berdasarkan nasihat daripada Perdana Menteri. Hal ini termasuk dua wakil untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan masing-masing seorang wakil Putrajaya dan Labuan.
Antara syarat-syarat untuk menjadi seorang Senator di Dewan Negara adalah:
1. Warganegara Malaysia
2. Berumur tidak kurang daripada 30 tahun
3. Sempurna akal
4. Tidak muflis
Senator-senator layak untuk memegang jawatan tersebut selama satu penggal, iaitu dalam tiga tahun. Mereka juga boleh dilantik sepenggal lagi melalui mana-mana lantikan di atas.
Individu yang dilantik sebagai senator merupakan golongan yang telah menyumbang perkhidmatan cemerlang kepada negara melalui profesion masing-masing.
Antaranya seperti bidang kesenian, perdagangan, industri, pertanian dan sebagainya serta wakil kumpulan atau kaum minoriti untuk menjaga kepentingan kaum tersebut.
Peranan Yang Dipertua Dewan Negara
Sidang Dewan Negara telah diketuai Pengerusi Dewan Negara yang digelar sebagai Yang Dipertua Dewan Negara. Untuk menjadi seorang Yang Dipertua. individu tersebut mestilah juga seorang ahli yang menganggotai Dewan Negara.
Sama seperti Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan yang membantunya juga hendaklah seorang ahli Dewan Negara.
Secara umumnya, terdapat tiga tugas utama yang digalas oleh individu yang memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Dewan Negara.
Antaranya, beliau merupakan seseorang yang bertanggungjawab untuk mengawasi perjalanan mesyuarat supaya berjalan dengan lancar.
Pada masa yang sama, Yang Dipertua Dewan Negara perlu memastikan perbahasan di Dewan Negara ada berkaitan dengan perkara yang dibahaskan.
Beliau juga akan membuat keputusan bersandarkan Peraturan-peraturan Mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan.
Jika tempoh keahlian di Dewan Negara tamat, Yang di-Pertua dan Timbalan Yang di-Pertua akan melepaskan jawatan sedia ada secara automatik.
Manakala, seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan memegang jawatan sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara hendaklah melepaskan kerusi Dewan Undangan Negeri.

BACA: Tambang RM5 Sehala Tren Shuttle Tebrau Untuk Warganegara Mulai 1 Ogos
Sumber: Portal Parlimen