Wanita Simpan Taugeh Guna Cara Ini, Tak Sangka Tahan Sampai Sebulan
Taugeh adalah antara ramuan yang diperlukan ketika kita menyediakan hidangan seperti kuey teow goreng, soto ayam atau mi goreng.
Ada individu lagi banyak taugeh diletak, lagi sedap makanannya. Rasa taugeh yang rangup dikatakan dapat menambah rasa sedap juadah yang sedang dinikmati.
Namun begitu, sayur ini boleh menjadi ‘musuh’ bagi segelintir orang.
Apabila terjumpa taugeh dalam hidangan yang dipesan, mereka sanggup mengasingkannya satu persatu dari pinggan walaupun perut sedang lapar.
Antara pelbagai manfaat sayur taugeh
Menurut Hello Doktor, taugeh mempunyai dua kali ganda lebih banyak protein berbanding daging lembu dan ayam.
Selain itu, taugeh mengandungi 100 kali ganda enzim di mana ia penting untuk fungsi tubuh badan semasa proses pencernaan.
Dalam pada itu, taugeh yang kaya antioksidan dan asid amino mampu melawan kanser dan memperbaiki fungsi otak. Kemudian, ia sebenarnya bagus untuk amalan awet muda.
Namun begitu, sayur taugeh merupakan sayuran yang mudah rosak dan lebam, malah ia sememangnya tidak tahan lama walaupun disimpan di dalam peti ais.
Apabila ditambah dalam masakan, taugeh yang lebam tadi akan menjadi sangat lembik dan sudah tidak rangup lagi.
Cara simpan taugeh, mudah dan senang, tahan sampai sebulan
Jadi, seorang pengguna TikTok (@Anihmsk) berkongsi tip untuk menyimpan taugeh supaya tidak lebam apabila disimpan dalam jangka masa yang lama.
Pertama sekali, cuci kesemua taugeh dengan bersih, kemudian ambil taugeh tadi dan masukkan ke dalam bekas makanan.
Seterusnya, isi air menggunakan air paip sehingga bekas makanan berisi taugeh direndami air. Setelah selesai, tutup rapat penutup bekas makanan dan simpan dalam peti sejuk, bahagian chiller.
Menurut @Anihmsk, apa yang dilakukan selepas ini amat penting dan menentukan sama ada taugeh yang disimpan dapat bertahan lama atau tidak.
Katanya, anda perlu menukar atau menyalin air dalam bekas taugeh itu tadi seminggu sekali.
Jika dibuat secara konsisten, anda akan mendapati taugeh yang disimpan masih segar dan keras sekurang-kurangnya untuk tempoh sebulan.
Menjengah ke ruang komen, rata-rata warga maya berterima kasih dengan perkongsian yang dibuat oleh pengguna TikTok berkenaan. Semoga bermanfaat.
BACA: Wanita Kongsi Tips Hilangkan Hanyir Ikan Keli Dengan Mudah
@anihmsk Replying to @Mummy-ji 🇸🇬 sy simpan dlm bekas isi air. Seminggu sekali sy tukar air dia. Tahan almost 1 bulan. #tipssimpansayur #barangdapur #foodprep #prepsayur