Siakap Keli
dolar amerika mata wang dunia
Kredit: Investopedia

Hairan, Macam Mana Dolar Amerika Boleh Jadi Mata Wang Dunia? Ini Jawapannya

Hairan, Macam Mana Dolar Amerika Boleh Jadi Mata Wang Dunia? Ini Jawapannya

Duit atau mata wang adalah satu instrumen yang diperlukan jika kita hendak berurusan dalam sebarang bentuk perniagaan.

Setiap negara ada mata wang sendiri dan ada juga mata wang tunggal yang diterima secara umum di seluruh dunia.

Mata wang tersebut boleh disebut sebagai mata wang dunia atau mata wang global.

Mata wang dunia adalah mata wang yang boleh digunakan secara bebas atau ditukarkan dengan mata wang lain di dalam ataupun di luar sempadan negara yang mengeluarkan mata wang tersebut.

Hari ini, secara umumnya mata wang dunia didominasi oleh Dolar Amerika Syarikat (USD/$).

Dolar dicetak buat pertama kali pada tahun 1914, setahun selepas penubuhan Rizab Persekutuan yang bertindak sebagai bank pusat Amerika Syarikat (AS).

Penubuhan Rizab Persekutuan dibuat berdasarkan Akta Rizab Persekutuan 1913.

Tiga dekad kemudian, Dolar secara rasmi menjadi mata wang rizab dunia.

Sejarah macam mana Dolar Amerika jadi mata wang dunia

Penggunaan mata wang kertas di AS pertama kali didokumentasikan pada tahun 1690, selepas nota kolonial dikeluarkan oleh Massachusetts Bay Colony.

Di peringkat awal, nota ini dikeluarkan bertujuan untuk membiayai operasi ketenteraan. Pada 1776, institusi yang sama kemudian mengeluarkan bil $2.

Seterusnya pada 1785, AS secara rasmi menggunakan simbol Dolar untuk mata wang mereka, yang menjadikan Spanish-American Peso sebagai panduan.

Lanjutan daripada itu, AS menubuhkan Pejabat Pengawal Mata Wang (OCC) serta Biro Mata Wang Negara pada tahun 1863.

Kedua-dua agensi ini bertanggungjawab mengendalikan wang kertas baru. Pada 1869, operasi mencetak mata wang dipusatkan kepada Biro Ukiran dan Percetakan.

Sebelum penubuhan biro berkenaan, Dolar dicetak oleh syarikat swasta.

Seterusnya pada 1890, Perbendaharaan AS mengeluarkan legal tender negara, kira-kira lebih sedekad sebelum Rizab Persekutuan ditubuhkan.

Bagaimana Dolar menggantikan emas sebagai mata wang rizab utama

AS menubuhkan Rizab Persekutuan sebagai respon terhadap ketidakpercayaan dan ketidakstabilan sistem mata wang yang sebelumnya berdasarkan mata wang kertas diterbitkan oleh bank-bank individu.

Ekonomi AS juga mula mengatasi ekonomi United Kingdom (UK) biarpun banyak aktiviti perniagaan masih tertumpu di UK dan dalam mata wang Pound.

Majoriti negara maju ketika itu juga menambat mata wang mereka kepada emas sebagai cara untuk menstabilkan pertukaran mata wang.

Apabila Perang Dunia Pertama meletus pada tahun 1914, banyak negara menggantung Piawaian Emas masing-masing dan membiayai peperangan menggunakan wang kertas.

Keadaan itu menyebabkan nilai mata wang mereka menyusut.

Britain bagaimanapun mengekalkan Piawaian Emasnya bagi memastikan mata wang Pound kekal sebagai mata wang dunia.

Namun begitu, memasuki tahun ketiga peperangan, Britain terpaksa membuat pinjaman buat kali pertama.

AS kemudian muncul sebagai pemberi pinjaman pilihan untuk negara-negara luar yang ingin membeli bon AS dalam denominasi Dolar.

Akhirnya, Britain meninggalkan Piawaian Emas pada tahun 1931, sekali gus memberi kesan besar kepada pedagang-pedagang antarabangsa yang berdagang dalam Pound.

Dolar AS kemudian secara perlahan-lahan mengambil alih posisi sebagai mata wang dunia.

Perjanjian Bretton Woods mengkuatkan lagi mata wang dolar

Sebelum Perang Dunia Kedua meletus, AS bertindak sebagai pembekal barangan dan senjata kepada negara-negara sekutu.

Majoriti negara-negara sekutu ini membuat pembayaran kepada AS menggunakan emas. Keadaan itu menyebabkan AS muncul sebagai pemilik emas terbesar apabila perang tamat.

Manakala hasrat untuk negara-negara sekutu pulang semula kepada Piawaian Emas menjadi sukar apabila rizab emas masing-masing berkurangan.

Kemudian, 44 delegasi negara-negara sekutu bertemu di Bretton Wood, New Hampshire pada 1944 untuk mewujudkan satu sistem pertukaran mata wang asing yang tidak merugikan mana-mana negara.

Hasil pertemuan itu, semua delegasi sepakat yang mata wang  global selepas ini akan ditambat kepada mata wang Dolar, bukan lagi kepada Piawaian Emas.

Melalui Perjanjian Bretton Woods ini, tertubuhlah kekuasaan bank pusat yang bertindak mengawal kadar pertukaran tetap mata wang dengan Dolar.

Sebagai balasan, AS boleh menebus Dolar dengan emas berdasarkan permintaan. Manakala negara-negara lain ada kuasa ke atas mata wang masing-masing, terutamanya dalam situasi nilai mata wang mereka terlalu lemah atau terlalu kukuh secara relatif kepada Dolar.

Mereka boleh membeli atau menjual mata wang mereka untuk mengawal bekalan wang.

Daripada perjanjian ini, AS yang juga pemilik rizab emas terbesar dunia menyaksikan mata wangnya, Dolar dimahkotakan sebagai mata wang dunia.

Negara-negara mula beralih daripada rizab emas kepada mengumpul rizab dalam Dolar AS.

Apabila negara-negara memerlukan tempat untuk menyimpan Dolar, mereka membeli sekuriti daripada Perbendaharaan AS. Sekuriti yang dikeluarkan pula dianggap sebagai tempat simpanan wang yang selamat.

Sumber: Investopedia

Athirah

When nothing goes right, go left.