Ini Cara Dapatkan Saringan Kesihatan Percuma Di Bawah Perkeso
Setiap manusia digalakkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi memastikan keadaan kesihatan dalam keadaan baik.
Menurut Healthline, kadar kekerapan bagi setiap manusia untuk menjalani pemeriksaan kesihatan adalah berbeza, bergantung pada usia, risiko penyakit dan tahap kesihatan sedia ada.
Jika anda merupakan seorang yang bertubuh sihat dan berusia di bawah 50 tahun, anda digalakkan untuk menjalani pemeriksaan sekali bagi setiap tiga tahun.
Manakala, jika anda sudah berusia 50 tahun dan ke atas, walaupun berbadan sihat anda masih disarankan untuk berbuat demikian sekali setahun.
Namun, jika anda menghidapi penyakit kronik seperti diabetes atau COPD, anda perlu berjumpa doktor dengan lebih kerap, tanpa mengenal usia.
Doktor yang merawat anda akan mencadangkan waktu pemeriksaan kesihatan, berdasarkan risiko kes, keputusan ujian saringan dan keadaan kesihatan terkini.

Akan tetapi, tidak semua orang mampu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala disebabkan faktor kekangan kewangan.
Ini menyebabkan segelintir rakyat kita hanya dapat mengetahui keadaan kesihatan sebenar pada waktu yang agak lewat.
Dengan menjalani pemeriksaan secara berkala, kita dapat mengelakkan daripada mendapat komplikasi penyakit yang lebih serius. Dengan erti kata lain, mencegah lebih baik daripada merawat.
Saringan kesihatan percuma
Bagi yang mungkin masih berkira-kira berkenaan dengan kos, jangan risau. Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah tampil memberikan kemudahan kepada pihak anda.
Untuk makluman, PERKESO telah menawarkan satu program yang dipanggil sebagai Program Saringan Kesihatan (HSP).
Program ini akan menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada pekerja bagi pengesanan awal beberapa jenis Penyakit Tidak Berjangkit (NCD).
Antara penyakit tidak berjangkit adalah seperti kencing manis (diabetes), darah tinggi, kanser dan risiko penyakit jantung.
Menurut PERKESO, program yang bermanfaat ini telah dijalankan bermula pada 16 Mei 2023 lalu.
Selain itu, PERKESO turut menambahbaik program ini, yang turut dikenali sebagai HSP Fasa 3 (HSP 3.0).
Melalui penambahbaikan ini, pihak nya telah meningkatkan parameter saringan kesihatan dengan menawarkan ujian pemeriksaan yang lebih menyeluruh bagi pengesanan lebih banyak faktor risiko.
Syarat kelayakan HSP 3.0
Untuk menyertai program ini, anda perlulah merupakan seorang warganegara Malaysia yang berusia dalam lingkungan 40 hingga 59 tahun.
Anda juga perlu menjadi seorang pencarum aktif PERKESO di bawah Skim Keilatan, sekurang-kurangnya satu caruman terkini dalam tahun semasa.
Dengan erti kata lain, anda telah mencarum selama sekurang-kurangnya 12 bulan di bawah skim berkenaan.
Cara-cara mohon dan semak kelayakan HSP 3.0
Jika anda memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, apa tunggu lagi? Anda boleh membuat permohonan dan melihat status kelayakan anda menerusi laman web Perkeso https://sehati.perkeso.gov.my/check.
Selain itu anda juga boleh muat turun aplikasi mudah alih SEHATi menerusi platform Google Play Store atau Apple App Store.
BACA: Belajar Jahit Kasut Dari Bekas Banduan, Bisnes Abang Ni Dah Bertahan 2 Dekad
Sumber: Portal Rasmi Manfaat, Healthline