Helikopter APMM Buat Pendaratan Kecemasan, Semua Kru Telah Diselamatkan
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengesahkan sebuah helikopter miliknya, AW139 melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada jam lebih kurang 9.55 pagi.
Menerusi satu kenyataan media, APMM berkata maklumat kejadian membabitkan pesawat dengan nombor pendaftaran M72-01 itu diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) kemudian telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordinate Centre (MRCC) Putrajaya pada jam 10.15 pagi tadi.
Dalam pada itu, APMM memaklumkan helikopter tersebut diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Bin Tengku Zakaria dan Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Bin Saidi.
Seorang kru udara Pegawai Waran I (M) John Bin Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat bin Hashim turut menaiki helikopter berkenaan.
Semua kru telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3
“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot PENGAWAL 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS)
“Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS,” ujar APPM.
Menurut APMM lagi, bot pemancing yang berada berkedekatan lokasi kejadian turut memberi bantuan awal kepada kru penerbangan berkenaan.
Pihaknya mengerahkan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.
“Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjutan untuk mengenalpasti punca-punca kejadian
“Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu CARILAMAT kejadian ini.
“Operasi CARILAMAT telah ditamatkan oleh CAMM pada jam 11.15 pagi sebentar tadi,” tambah kenyataan itu lagi.
BACA: Helikopter APMM Buat Pendaratan Kecemasan, Semua Kru Telah Diselamatkan
Sumber: Laman Rasmi Maritim Malaysia