Ramai Tak Perasan, Rupanya Nozel Pam Petrol & Diesel Tak Sama Saiz, Ini Sebabnya
Ketika dunia secara perlahan-lahan mula beralih kepada kereta elektrik (EV), kereta berenjin bahan api fosil atau petrol masih menjadi pilihan ramai pengguna.
Selain harganya lebih mampu milik, kenderaan jenis enjin pembakaran dalaman (ICE) ini dianggap lebih praktikal kepada majoriti pengguna.
Sewaktu mengisi minyak kereta di stesen minyak, biasanya kita akan menggunakan minyak petrol dan bukannya minyak diesel.
Oleh sebab itu, hampir pasti majoriti daripada kita tidak pernah mengangkat nozel pam diesel, walau sekali, di stesen minyak, kan?
Jadi, tentu anda juga tidak tahu atau tidak perasan perbezaan saiz corong nozel kedua-dua jenis minyak, petrol dan diesel.
Seperti video yang dikongsikan oleh Pakcik Shell di Instagram, corong nozel pam diesel sebenarnya lebih besar berbanding corong nozel pam petrol.
Lalu timbul pertanyaan, mengapa saiz corong berkenaan berbeza? Menurut Pakcik Shell, perbezaan itu sebenarnya berhubung kait dengan perbezaan lubang tangki minyak kenderaan.
Daimeter saiz nozel pam diesel lebih besar dan hanya sesuai untuk corong lubang tangki minyak kenderaan enjin diesel. Jadi, rekaan itu turut dapat membantu mengelak pengguna daripada tersilap isi minyak.
Jika anda mendapati nozel tidak muat untuk masuk lubang tangki minyak kenderaan anda, mungkin ada tersilap memilih jenis pam.
Pakcik Shell juga mengingatkan, jika kesilapan tetap berlaku, anda perlu mengelak daripada menghidupkan kenderaan.
Sebaiknya, minta bantuan petugas untuk menolak kereta ke kawasan tepi dan panggil mekanik untuk buat pemeriksaan.
Mekanik boleh membuka nut pada tangki minyak untuk mengeluarkan diesel daripada bahagian berkenaan.
Pernah tak terfikir, kenapa kenderaan kecil jarang pakai enjin diesel?
Dalam pada itu, pernah tak anda terfikir mengapa minyak petrol hanya dipakai oleh kenderaan kecil seperti kereta dan motosikal?
Manakala minyak diesel pula diisi oleh sesetengah kenderaan besar seperti trak dan treler?
Menurut portal Science ABC, diesel dan petrol kedua-duanya adalah produk sampingan penapisan minyak mentah, tetapi mempunyai ciri pembakaran yang agak berbeza.
Oleh itu, setiap fungsinya adalah berbeza dan tidak sesuai untuk kegunaan secara umum. Diesel lebih kondusif sekiranya digunakan pada kenderaan yang lebih berat.
Nisbah mampatan yang lebih tinggi
Diesel dinyalakan oleh proses pemampatan, berbeza dengan proses ‘percikan’ pada enjin petrol. Nisbah mampatan yang lebih tinggi memastikan kecekapan terma yang lebih tinggi dan pembakaran bahan api yang lengkap.
Kenderaan-kenderaan yang menggunakan enjin diesel diketahui selalu digunakan untuk perjalanan jarak jauh. Jadi jika perlu kerap berhenti mengisi minyak, maka boleh mengganggu perjalanan.
Lebih-lebih lagi jika kenderaan melalui kawasan yang tiada stesen minyak.
Bahan api yang padat tenaga
Walaupun mempunyai nilai kalori yang setara dengan petrol, sebenarnya diesel lebih padat tenaga. Ini bermaksud lebih banyak tork untuk enjin.
Bahan bakar yang perlahan
Kenderaan yang membawa banyak muatan memerlukan lebih banyak tenaga. Pembakaran diesel yang lebih perlahan memastikan tenaga terus tersedia sebagai tork untuk kenderaan, biarpun pada kelajuan rendah.
Ini menjadikan bahan bakar diesel kondusif untuk kenderaan besar yang selalu membawa muatan berat dan menempuh permukaan jalan yang tidak rata.
Reka bentuk enjin
Enjin diesel direka untuk memanfaatkan tiga ciri di atas. Enjin diesel mempunyai ‘bore’ dan ‘stroke’ yang lebih panjang dan sering dibantu oleh pengecasan turbo untuk memaksimumkan tork yang tersedia pada kenderaan.
Namun begitu, enjin diesel ada kelemahannya iaitu tahap NVH (kebisingan, getaran dan kekerasan) yang lebih tinggi, penyelenggaraan yang lebih tinggi, malah masalah berkaitan pelepasan bahan pencemaran.
BACA: Manis Dan Lembut, Ini Resipi Puding Jagung Kastard
Sumber: scienceabc, aochenggroup, Shairan Huzani via Instagram