Jurusolek Ubah Nenek 72 Tahun Jadi Puteri
BEIJING — Kepakaran seorang jurusolek dari China dalam menukarkan wajah pelanggan kembali muda menjadi bualan warga maya meskipun mereka telah dimamah usia, lapor South China Morning Post.
Mempunyai lebih 5.5 juta pengikut di Douyin (TikTok), jurusolek yang dikenali sebagai Tuzi atau Arnab itu tak menang tangan apabila menerima sambutan hangat daripada pelanggan.
Bahkan sesetengah pelanggan yang datang adalah daripada golongan artis, pelawak dan pengacara yang mahu mendapatkan khidmat solekannya.
Salah satu videonya yang menarik perhatian ramai adalah Tuzi mengubah rupa paras seorang nenek berusia 72 tahun yang juga selebriti terkenal di internet tak ubah seperti seorang anak gadis muda.
Jurusolek tersebut telah mengubah nenek menjadi seorang puteri dengan gaya Eropah dan telah menarik hampir 800,000 tanda suka.
“Tuzi membantu nenek mengembalikan semula zaman muda remajanya,” tulis video tersebut.
Sementara itu, Tuzi juga mengubah seorang pelakon komedi klasik, 57, hingga membuatka isterinya terpegun dan hampir tidak mengenali suaminya.
Klip itu mendapat 1.1 juta tanda ‘suka’.

BACA: Wang Tabung Haji Tak Hilang, Dipindah Masuk Dalam Akaun Bank Pengadu Sendiri
Untuk makluman, kedai Starlight Rabbit Portrait Studio miliknya itu berpengkalan di wilayah Yunnan di barat daya China.
Kedai yang menawarkan perkhidmatan tersebut mempunyai 17 cawangan di seluruh negara Tembok Besar China itu dan studio utama terletak di wilayah Xishuangbanna, Yunnan.
Difahamkan, setiap studio menawarkan gaya solekan yang pelbagai termasuk menggabungkan ciri-ciri tempatan, seperti gaya etnik minoriti, estetika ratu ais, penampilan berinspirasikan Hanfu dan banyak lagi.
Harga untuk pakej solekan bermula antara 699 hingga 2,888 yuan (RM456 hingga RM1,888).
Menurut tinjauan oleh Syarikat Latihan Mekap Ruishang Chuangmei, terdapat lebih 20 juta jurusolek di China yang berumur antara 20 hingga 25 tahun.
Pendapatan bulanan jurusolek yang diraih 6,300 yuan (RM4,111) dan boleh melebihi 20,000 yuan (RM13,000) sebulan.
Jurusolek “Makeup” Nenek 60 Tahun Jadi Seperti Anak Dara, Semua Kedutan Hilang
Terdahulu, seorang jurusolek dari Indonesia Ari Izam menjadi bualan ramai di internet kerana kebolehannya mengubah penampilan seorang nenek berusia 60 tahun kelihatan seperti seorang gadis remaja.
Melalui perkongsian di laman Instagramnya, Ari Izam berkongsikan proses transformasi nenek 60 tahun tersebut agar nampak lebih muda.
Menurut jurusolek tersebut, beliau sering mendapatkan permintaan dari pengikutnya untuk menyolek seseorang yang berumur agar memandangkan dia kerap berkongsikan video makeover penampilan seseorang.
Sumber: South China Morning Post