myTukar Tukar Nama Ke Carro Selari Dengan Matlamat Global, Lantik Phei Yong Sebagai Duta Jenama Pertama
KUALA LUMPUR, 11 Mac 2024 — myTukar Powered by Carro, ekosistem kereta terpakai paling pesat berkembang di Malaysia, memulakan perjalanan baharu yang mengujakan dengan penjenamaan semula kepada Carro sebagai langkah yang bakal membawa lebih banyak teknologi canggih, produk dan perkhidmatan Carro kepada pelanggan di Malaysia.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carro, Aaron Tan berkata, langkah penjenamaan semula ini secara rasminya menyaksikan ‘Carro’ diimplementasikan dalam rangkaian produk dan perkhidmatan myTukar. Ia bahan pemasaran serta papan tanda fizikal di seluruh Malaysia.
Walau bagaimanapun, ia merupakan satu proses yang akan memakan masa beberapa bulan.
“Usaha menjenamakan semula myTukar menandakan satu kejayaan besar dalam penyepaduan jenama kami, dan kami lebih bersemangat untuk terus mencapai semua matlamat seterusnya dalam pelan hala tuju kami.
“Kami mencapai keuntungan sebagai sebuah kumpulan syarikat and bersedia untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk menyenaraikan syarikat kami sebaik sahaja mendapat peluang untuk melakukannya.
“Kami teruja dengan perancangan baharu akan datang yang menarik bukan sahaja untuk Malaysia, malah seluruh pasaran kami,” katanya.
Dalam pada itu, Pengasas myTukar dan Ketua Pegawai Eksekutif Pasaran Antarabangsa Carro, Fong Hon Sum berkata, beliau telah memasang impian dan menantikan saat-saat ini tiba.
“Saya sentiasa mempunyai impian dan bermatlamat untuk mentransformasikan industri kereta terpakai dan menitikberatkan proses yang telus serta jujur demi manfaat pelanggan.
“Hari ini, saya sangat berbesar hati untuk mengumumkan bahawa kami telah mencapai impian dan matlamat tersebut, malah lebih dari itu. Pertumbuhan hebat myTukar tidak mungkin mampu dikecapi tanpa mereka yang percaya pada impian dan matlamat kami, serta semua kerja keras yang dilakukan untuk mencapainya.
“Kini, saya teruja untuk terus meneroka potensi dalam pasaran ini dan menawarkan perkhidmatan yang tiada tandingan kepada para pemandu di Malaysia serta seisi keluarga mereka,” katanya.
Tambah Hon Sum, myTukar sebelum ini memulakan fasa pertama penjenamaan semula pada Jun 2022 dan menukar penampilan korporatnya, dengan beralih daripada skema warna biru kehijauan dan kelabu kepada warna utama Carro iaitu jingga untuk papan tanda dan bahan pemasaran.
Turut hadir dalam majlis penjenamaan semula aplikasi itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia, Derrick Ang.
“Sebagai sebahagian daripada jenama global, fokus utama kami adalah untuk memacu pertumbuhan yang mampan untuk Kumpulan sambil terus menyediakan kereta terpakai berkualiti. Sebaik Yang Baru kepada rakyat Malaysia.
“Saya teruja untuk mengukuhkan Carro sebagai sebuah jenama di negara ini,” katanya.
Phei Yong Duta Pertama Carro
“Kami sememangnya mengalu-alukan kehadiran Phei Yong. Dengan kejayaan pengembaraan jalan raya yang epik, dan populariti Phei Yong di Malaysia, kami yakin beliau mampu membawakan sesuatu yang unik, dan membantu menyebarkan mesej bahawa kereta Carro Certified adalah sebaik yang baru,” kata Ang lagi.
Turut meraikan kejayaan ini adalah duta pertama Carro, Phei Yong yang menzahirkan kegembiraan dengan hubungan kerja baharu ini.
“Terdapat banyak platform kereta terpakai, tetapi saya memilih untuk bekerjasama dengan Carro kerana yakin dengan proses mereka yang jujur dan telus. Ada banyak kempen menarik yang akan datang dan saya tidak sabar untuk berkongsi lebih banyak lagi dengan semua,” ucap Yong.
Sejarah myTukar ke Carro
Sejak penubuhan myTukar pada 2017 di lot kedai Glenmarie pada 2017, syarikat ini telah mencatatkan pencapaian yang mengagumkan, termasuk pelaburan AS$30 juta daripada Carro untuk merevolusikan dan mendigitalkan industri kereta terpakai yang berpotensi tinggi di Malaysia.
Jenama ini telah berkembang menjadi ekosistem kereta terpakai dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan jual beli, insurans, pembiayaan dan selepas jualan, serta telah berkembang menerusi penubuhan 11 pusat jualan, 27 pusat pemeriksaan, lima bengkel dan dua pusat baik pulih.
Segmen jualan myTukar merekodkan prestasi terbaiknya pada Januari 2024, dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 55 peratus dan turut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 40 peratus pada suku lepas.