Siakap Keli
pembukaan kantin sekolah ramadan
Kredit: BERNAMA

Pembukaan Kantin Sekolah Di Bulan Ramadan, Ini Hukum Berkaitan Dijelaskan Mufti WP

Pembukaan Kantin Sekolah Di Bulan Ramadan, Ini Hukum Berkaitan Dijelaskan Mufti WP

Seperti yang diketahui, setiap anak-anak diwajibkan untuk dihantar ke sekolah bagi mendapatkan pendidikan. Insitusi ini juga menjadi tempat kepada pelbagai bangsa dan agama untuk menuntut ilmu.

Meskipun ketika bulan Ramadan tiba, sistem pembelajaran masih dijalankan seperti biasa dan hanya murid yang beragama Islam sahaja akan berpuasa.

Namun, baru-baru ini kecoh isu berkaitan pembukaan kantin sewaktu bulan suci ini susulan mengambil kira nasib golongan yang tidak beragama Islam.

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan tampil dengan beberapa penjelasan yang boleh dirujuk mengenai perkara ini di bawah. Semoga bermanfaat.

Hukum Khas Ramadan Orang Yang Khas Diberi Keuzuran Makan Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadan

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Mukadimah

Di antara isu yang menjadi perbualan hangat di laman sosial ketika ini adalah berkenaan boleh ataupun tidak seseorang yang tidak boleh berpuasa disebabkan keuzuran makan secara terbuka di siang hari bulan Ramadhan ? Mereka itu termasuklah wanita yang berada dalam keadaan haid, seseorang yang bermusafir, golongan tua yang tidak mampu berpuasa, dan juga orang yang sakit. Justeru, Irsyad al-Fatwa edisi khas Ramadhan kali ini akan membahaskan isu ini secara terperinci.

Siapakah Golongan Yang Diberi Keuzuran Untuk Tidak Berpuasa ?

Berikut kami kongsikan beberapa golongan yang diberikan keizinan oleh syarak untuk tidak berpuasa disebabkan keuzuran. Antaranya:

Pertama: Wanita Yang Dalam Keadaan Haid & Nifas

Para ulama telah bersepakat bahawa wanita yang dalam keadaan haid diharamkan baginya untuk berpuasa. Sekiranya dia tetap berpuasa maka puasanya adalah tidak sah. Sama ada puasa tersebut merupakan puasa wajib, sunat, kaffarah, ataupun nazar. Wajib ke atas mereka untuk menggantikan puasa ini apabila mereka suci dari haid. Ini berdasarkan sabda Nabi S.A.W:

أَلَيْسَ إِذَا حَاضَتْ لَمْ تُصَلِّ وَلَمْ تَصُمْ

Maksudnya: Tidakkah seorang wanita itu apabila dia datang haid dia tidak boleh solat dan tidak boleh berpuasa ?

Riwayat al-Bukhari (1951)

Kedua: Orang Yang Dalam Keadaan Sakit

Orang yang sakit diberikan keringanan untuk berbuka puasa (tidak berpuasa). Apabila dia sihat semula maka wajib ke atasnya untuk menggantikan puasanya yang ditinggalkan tersebut. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

Surah al-Baqarah (184)

Walaupun begitu, ada dhabit (piawaian) bagi kategori sakit yang dibenarkan berbuka dari ayat ini. Antaranya ialah:

  • Sakit tersebut adalah sakit yang teruk (berat) yang mana apabila orang tersebut berpuasa ia akan menambahkan lagi kesakitan ataupun melewatkan kesembuhan yang terdapat pada dirinya.
  • Apabila seseorang yang sakit itu berpuasa ia datang bersamanya masyaqqah (kepayahan) ke atas dirinya.

Ketiga: Orang Yang Sedang Bermusafir

Orang yang sedang dalam permusafiran diberikan rukhsah (keringanan) untuk berbuka (tidak berpuasa). Ini adalah berdasarkan firman Allah S.W.T:

أَيَّامٗا مَّعۡدُودَٰتٖۚ فَمَن كَانَ مِنكُم مَّرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٖ فَعِدَّةٞ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ

Maksudnya: (Puasa) itu adalah bilangan hari-hari yang tertentu. Siapa dari kalangan kalian yang sakit ataupun dalam keadaan bermusafir maka gantikanlah ia (puasa) pada hari yang lain.

Surah al-Baqarah (184)

Berdasarkan ayat ini, orang yang sedang bermusafir juga diberikan keringanan untuk tidak berpuasa. Apabila dia berbuka, menjadi suatu kewajipan ke atas dirinya untuk menggantikannya (qadha’) pada hari yang lain. Akan tetapi permusafiran ini juga mempunyai beberapa kriteria untuk menjadikan ia suatu yang mengharuskan berbuka puasa. Antaranya adalah seperti berikut:

  • Permusafiran tersebut merupakan perjalanan panjang yang terdapat masyaqqah (kepayahan) kepada musafir yang berpuasa untuk meneruskan puasanya.
  • Jika orang yang bermusafir itu meneruskan puasa semasa bermusafir, akan tetapi puasanya tidak memberi kemudharatan atau kepayahan kepada dirinya, maka adalah lebih afdhal untuk dia teruskan puasa.

Bolehkah Golongan Yang Disebutkan Di Atas Untuk Makan & Minum Secara Terbuka Di Siang Hari Ramadhan ?

Inilah isu utama yang menjadi tumpuan kami untuk diulas. Kerana ia menjadi isu yang agak hangat dibincangkan. Sebelum kami mengulas lebih lanjut, suka untuk dikongsikan bersama beberapa kisah yang boleh dijadikan pengajaran.

Pertama: Rasulullah S.A.W bersabda:

 أَنَا سَيِّدُ وَلَدِ آدَمَ وَلاَ فَخْر

Maksudnya: Aku adalah ketua (penghulu) bagi seluruh anak Adam dan itu bukan satu kebanggaan.

Riwayat Abu Daud (4308)

Ketika mengulas hadis ini, Sulthan al-Ulama al-Izz Ibn Abd al-Salam (w. 660 h.) berkata: Nabi S.A.W menyebut bahawa hal tersebut bukanlah suatu kebanggaan adalah untuk mencantas sangkaan golongan yang bersangka buruk terutamanya apabila baginda menceritakan berkenaan dirinya.

Sekalipun perbuatan menceritakan kelebihan yang ada pada diri sendiri itu bukanlah satu kesalahan, akan tetapi baginda tetap menyebutkan bahawa itu bukanlah suatu kebanggaan bagi mengelakkan fitnah berlaku ke atas diri baginda S.A.W.

Kedua: Di dalam sebuah hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W dilihat sedang berdua-duan dengan seorang perempuan. Lalu dua orang lelaki dari kalangan Ansar melalui kawasan tersebut. Sebaik sahaja mereka melihat Nabi, keduanya terus berjalan secara laju. Maka sabda Nabi S.A.W:

 عَلَى رِسْلِكُمَا إِنَّهَا صَفِيَّة بِنْت حُيَي فَقَالَا‏:‏ سُبْحَانَ اللَّه يَا رَسُولَ اللَّهِ‏!‏ ‏:‏‏”‏إِنّ الشَّيطَانَ يجَرِي مِن ابنِ آَدَمَ مَجْرَى الدَّم وَإِنِّي خَشِيْت أن يَقْذِفَ فِي قُلُوبِكُمَا شَرَّا

Maksudnya: Nanti dahulu wahai kamu berdua, sesungguhnya wanita ini adalah isteri aku Safiyyah binti Huyaiy. Lalu keduanya berkata: Maha Suci Allah wahai Rasulullah. Maka sabda Nabi S.A.W: Sesungguhnya Syaitan itu mengalir dalam tubuh badan manusia mengikut saluran darah dan aku takut dia mencampakkan keburukan dalam hati kamu berdua.

Riwayat Muslim (2175)

Hadis ini juga turut menunjukkan bahawa baginda S.A.W berusaha untuk mengelakkan fitnah ke atas diri baginda serta sangkaan buruk yang mungkin boleh terhasil ke atas orang lain melalui perbuatan baginda. Sekalipun berdua-duaan dengan isteri itu merupakan suatu yang dibolehkan, akan tetapi sekiranya ia boleh mendatangkan fitnah maka perlu diberikan penjelasan keadaan yang sebenar.

Ketiga: Kisah Ibrahim Nakhaie Dengan Anak Muridnya Sulaiman al-A’masy

Diriwayatkan bahawa Ibrahim al-Nakha’ie adalah seorang yang buta dan anak muridnya, Sulaiman bin Mehran al-A’masy pula seorang yang rabun. Satu hari keduanya berjalan bersama-sama menuju ke masjid. Kata Ibrahim: “Sulaiman, apa kata kamu ikut jalan yang lain manakala aku pula ikut jalan yang lain kerana aku takut nanti orang ramai melihat kita lalu mereka berkata:  Si buta dipimpin si rabun.  lalu mereka mengumpat kita dan mendapat dosa”.

Kata Sulaiman: “Wahai guruku, apa salahnya kita akan mendapat ganjaran pahala dan mereka (yang mengumpat) berdosa”. Jawab Ibrahim: “Tidak, kita selamat dan mereka juga selamat itu lebih baik dari kita diberi ganjaran pahala sedangkan mereka mendapat dosa”. [Lihat al-Muntazom fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam karya Ibn al-Jawzi, 7/22]

Lihatlah akhlak yang telah ditonjolkan oleh Ibrahim al-Nakha’ie yang mana beliau bertanggungjawab ke atas perbuatannya. Boleh saja mereka berdua berjalan bersama untuk pergi ke masjid. Namun, apabila memikirkan mulut dan hati manusia lain yang tidak boleh di kawal dari mengumpat dan mencaci, maka mereka menggunakan jalan yang lain agar jauh dari manusia yang lain. Mungkin kita lebih suka untuk mendapat pahala hasil daripada umpatan orang lain sedangkan tanpa kita sedari perbuatan kita itu sendiri yang telah mengundang cacian dan umpatan. Ini tidak disukai oleh Ibrahim al-Nakha’ie dan baginya jika kedua-duanya terselamat adalah lebih baik.

Keempat: Bolehkah Seseorang Yang Melihat Anak Bulan Syawal Untuk Tidak Berpuasa ?

Diriwayatkan dari Ibn Umar R.anhuma beliau berkata, aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا وَإِذَا رَأَيْتُمُوهُ فَأَفْطِرُوا

Maksudnya: Apabila kalian melihatnya (anak bulan) maka berpuasalah dan apabila kalian melihatnya (anak bulan syawal) maka berbukalah (raya sudah tiba).

Riwayat Muslim (1080)

Ketika mengulas hadis ini, kata Imam al-Son’aani Rahimahullah: Jika seseorang yakin dia telah melihat anak bulan Syawal, maka dia boleh untuk berbuka (tidak berpuasa), dan sebaiknya dia sembunyikan hal itu, bertujuan untuk memelihara hamba (orang ramai) dari mereka berburuk sangka dengannya lalu mendapat dosa. Rujuk Subul as Salam, al-Son’aani (2/422).

Penutup

Akhir kalam, kami berpendapat bahawa hukum seseorang yang ada keuzuran untuk tidak berpuasa makan di siang hari bulan Ramadhan adalah HARUS. Adalah lebih afdhal ianya dilakukan di tempat yang sunyi dari penglihatan orang ramai bagi menjaga dan memelihara diri kita dari fitnah serta menyelamatkan orang ramai dari sangkaan buruk lalu mereka mendapat dosa. Semoga pencerahan ini dapat difahami dengan sebaiknya. Kami berdoa kepada Allah S.W.T agar menerima segala ibadah kita di bulan Ramadhan ini, seterusnya menjadikan kita tergolong dalam kalangan mereka yang bertakwa. Ameen.

Akhukum fillah.

Hukum Memberi Makan Kepada Non Muslim Pada Siang Hari Di Bulan Ramadan

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Assalamualaikum. Saya seorang warden di sekolah. Setiap pagi daripada membiarkan nasi yang berlebihan sewaktu sahur pada bulan Ramadhan dibuang, saya akan membawanya ke sekolah rakan yang bukan Islam dan guru wanita Islam yang tidak dapat berpuasa supaya mereka dapat menjamu selera daripada makanan itu dibuang. Tetapi adakah saya dikira bersubahat kerana memberi makan kepada orang bukan islam, dimana seakan-akan saya menggalakkan mereka supaya tidak berpuasa?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Memberi makan kepada wanita yang mempunyai uzur syar’ie di siang hari pada bulan Ramadhan adalah harus tanpa khilaf, kerana mereka termasuk golongan yang tidak diwajibkan berpuasa, contohnya wanita haid dan wanita yang mengandung dan ditakuti puasa akan menjejaskan kandungan.

Adapun memberi makan kepada non-Muslim di siang hari pada bulan Ramadhan, maka berlaku khilaf dalam kalangan ulama’ kepada dua pandangan:

Pandangan yang Mengharamkan

Pandangan ini dipegang oleh para ulama’ Syafi’iyyah iaitu Imam Syihabuddin Ar-Ramli, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Syeikh Abu Bakar ad-Dimyathi. (Nihayatul Muhtaj, 5/273; Tuhfatul Muhtaj, 3/427-428; I’anatu At-Thalibin, 3/30; Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh Manhaj at-Thullab, 10/310)

Antara hujah yang mereka gunakan ialah golongan non-Muslim juga tertakluk kepada hukum syarak, dan apabila kita memberi mereka makan di siang hari pada bulan Ramadhan, maka kita dianggap bersubahat dalam perkara maksiat. Namun begitu mereka menegaskan bahawa jika ada non-Muslim yang makan, maka kita tidak boleh mencegah dan melarang mereka.

Pandangan yang Mengharuskan 

1. Syeikh Sulaiman al-Majid, qadhi di Riyadh, Arab Saudi (Rujuk fatwa penuh beliau pada pautan berikut: https://bit.ly/2IDGbh6 ). Menurut beliau, non-Muslim tertakluk kepada taklifan syarak dalam erti kata mereka akan dihukum dan dipertanggungjawabkan di akhirat. Adapun dalam konteks kehidupan di dunia, mereka tidak diminta untuk melaksanakan tuntutan syarak. Bahkan kekufuran mereka menjadi penghalang kepada pelaksanaan hukum-hakam syariat. 

2. Dr. Khalid al-Mosleh (Rujuk fatwa beliau pada pautan berikut: https://bit.ly/2ki8gfb). Menurut beliau, adalah harus untuk memberi makan kepada golongan yang tidak boleh / tidak diwajibkan berpuasa seperti wanita haid, musafir dan non-Muslim.

Adakah Non-Muslim Dituntut untuk Berpuasa?

Isu ini banyak ditemui dalam kitab-kitab Usul Fiqh, Fiqh dan Ilmu Kalam, berkenaan persoalan apakah orang bukan Islam juga tertakluk kepada hukum syarak atau tidak? Jumhur ulama’ berpendapat bahawa orang bukan Islam juga tertakluk dengan hukum syara’. (Rujuk Imam Az-Zarkasyi, Al-Bahru al-Muhith, 2/128)

Namun menurut Syaikh Zakariyya al-Ansari, tuntutan itu bermaksud mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak akan keengganan mereka untuk memeluk Islam dan beramal dengan tuntutan syari’at, dan ia tidak bermaksud mereka diminta untuk beramal dengan tuntutan syari’at kerana jika mereka beramal sekalipun, amalan mereka tidak sah dan tidak diterima kerana salah satu syarat sah ibadah ialah Islam. (Asna al-Mathalib fi Syarh Raudh at-Thalib, 1/121).

Dalam isu ini juga, menarik untuk diperhatikan satu hadith daripada Ibn ‘Umar R. Anhuma yang berbunyi:

رَأَى عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ حُلَّةً سِيَرَاءَ عِنْدَ باب الْمَسْجِدِ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَوِ اشْتَرَيْتَهَا فَلَبِسْتَهَا يَوْمَ الْجُمُعَةِ وَلِلْوَفْدِ قَالَ ‏”‏ إِنَّمَا يَلْبَسُهَا مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ فِي الآخِرَةِ ‏”‏‏.‏ ثُمَّ جَاءَتْ حُلَلٌ فَأَعْطَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عُمَرَ مِنْهَا حُلَّةً، وَقَالَ أَكَسَوْتَنِيهَا وَقُلْتَ فِي حُلَّةِ عُطَارِدٍ مَا قُلْتَ‏.‏ فَقَالَ ‏”‏ إِنِّي لَمْ أَكْسُكَهَا لِتَلْبَسَهَا ‏”‏‏.‏ فَكَسَا عُمَرُ أَخًا لَهُ بِمَكَّةَ مُشْرِكًا‏.‏

Maksudnya: ‘Umar bin Al-Khattab telah melihat jubah sutera dijual disisi pintu masjid. Maka dia berkata “Wahai Rasulullah, mengapa tidak engkau beli jubah tersebut dan memakainya pada hari Jumaat dan sewaktu menerima delegasi?” Jawab Baginda “Pakaian ini hanya dipakai oleh orang yang tiada bahagian di akhirat”. Kemudian tibalah beberapa pakaian sutera, dan Baginda memberikan salah satunya kepada Umar. Umar berkata “Mengapa kamu memberinya kepadaku, sedangkan kamu berkata yang (tidak bagus) berkenaan sutera ‘Utarid? Baginda menjawab “Aku tidak memberinya untuk kamu pakai”. Maka ‘Umar pun memberi sutera tersebut kepada saudara lelakinya di Mekah yang masih seorang Musyrik.

(Sahih Bukhari: 2612)

Telah diketahui bahawa seorang lelaki Muslim diharamkan daripada memakai sutera, dan jika berpandukan kaedah ‘orang bukan Islam tertakluk kepada hukum syarak’,  lelaki bukan Islam juga turut dilarang daripada memakai sutera. Namun begitu, hadith diatas jelas menunjukkan keharusan non-Muslim memakai sutera.

Ini menjadi hujjah bahawa non-Muslim secara hakikinya sememangnya tertakluk (mukhatab) dibawah hukum syarak, namun hukum itu tidak terpakai di dunia dan mereka akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.

Adapun firman Allah SWT yang berbunyi:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: …dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan permusuhan.

(Surah al-Ma’idah: 2)

Ayat ini tidak boleh digunakan dalam kes ini, kerana orang bukan Islam dan wanita Muslim yang mempunyai uzur syar’ie tidak ditaklifkan untuk berpuasa. Maka memberi mereka makan meskipun pada siang hari di bulan Ramadhan tidaklah dianggap bersubahat dalam melakukan maksiat, bahkan ia boleh dianggap sebagai satu kerja kebajikan yang berdasarkan konsep belas ihsan, ukhuwwah dan sifat kemanusiaan.

Islam juga melarang keras pembaziran harta, antaranya melalui hadith Baginda Nabi s.a.w:

إِنَّ اللَّهَ كَرِهَ لَكُمْ ثَلاَثًا قِيلَ وَقَالَ وَإِضَاعَةَ الْمَالِ وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT membenci ke atas kamu tiga perkata: bercakap kosong (gosip), pembaziran harta benda dan terlalu banyak bertanya.

(Sahih Muslim: 4259)

Kesimpulan

Kesimpulannya,  kami berpandangan hukum memberi makan kepada non-Muslim dan wanita yang mempunyai uzur syar’ie di siang hari pada bulan Ramadhan adalah HARUS atas dasar tolong menolong dalam perkara kebajikan. Namun kami turut meletakkan beberapa syarat dan garis panduan:

  • Tidak makan di tempat terbuka
  • Hendaklah mengutamakan kepada golongan yang benar-benar memerlukan seperti sanak saudara yang bukan Islam, jiran-jiran yang miskin dan murid-murid di sekolah yang daif

Alangkah eloknya juga jika diundang juga mereka untuk sama-sama berbuka puasa, seperti yang telah kami jelaskan akan keharusannya dalam artikel kami bertajuk Hukum Menjemput Non Muslim Berbuka Puasa. (Boleh dilayari pada pautan https://bit.ly/2sqE5WT )

Selain itu, perbuatan ini juga merupakan salah satu bentuk kaedah dakwah kepada saudara kita yang bukan Islam dalam menzahirkan sikap penyayang dan prihatin yang amat dituntut dalam Islam. Oleh itu, inisiatif saudara yang bertanya amatlah terpuji dan wajar dijadikan contoh oleh kita semua. Perbuatan ini juga tidak boleh dianggap sebagai mencemarkan kesucian bulan Ramadhan kerana perbuatan itu sendiri merupakan manifestasi kepada sifat rahmah dan taqwa yang begitu ditekankan dalam Islam dan menjadi objektif yang perlu dicapai dalam bulan Ramadhan ini. Akhir sekali, pembaziran harta dalam apa jua bentuk juga wajib dielakkan.

Wallahu a’lam.

Hukum Menjual Makanan Pada Tengah hari Ramadan

Gambar: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Apakah hukum menjual makanan pada waktu tengahari pada bulan Ramadan?

Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Isu menjual makanan pada waktu tengahari pada bulan Ramadhan adalah isu kontemporari yang wujud akibat kegiatan sebahagian orang Islam yang tidak segan-segan enggan untuk berpuasa dalam bulan Ramadhan tanpa keuzuran dan kadang-kadang dilakukan secara terbuka. Sewaktu umat Islam melaksanakan Rukun Islam keempat ini dengan penuh keimanan dan mengharap pahala dari sisi Allah ﷻ, ada dalam kalangan peniaga yang tidak sensitif membiarkan orang-orang yang tidak berpuasa ini untuk makan dan minum di dalam premis mereka. Oleh itu, adalah menjadi kesalahan Syariah di kebanyakan negeri-negeri di Malaysia untuk menjual makanan dan minuman pada waktu siang bulan Ramadhan dengan tujuan makan serta merta pada waktu tersebut kerana dianggap tidak menghormati bulan Ramadhan.

Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] memperuntukkan bahawa:

“Mana-mana orang yang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadhan-

  • menjual kepada mana-mana orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan, diminum atau dihisap serta-merta dalam waktu itu; atau
  • secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok atau benda lain yang seumpamanya,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.”

Justeru, sekalipun dalam hukum hakam berkaitan jual beli Islam pada asalnya tidak melarang perbuatan jual beli makanan pada waktu siang bulan Ramadan, tetapi pihak pemerintah umat Islam berhak untuk mengenakan sekatan dan kawalan terhadap aktiviti jual beli tersebut apabila terdapat tujuan-tujuan yang dibenarkan oleh Syariah. Rujuk artikel kami yang bertajuk Irsyad Usul Fiqh Siri Ke-50: Hak Pemerintah Untuk Mengehadkan Perkara Yang Harus (Taqyid Al-Mubah)[1]. Secara ringkas kami menyebut:

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa kaedah taqyid al-mubah ini merupakan satu qaedah yang sahih dan mu’tabar disisi syarak, dan ia juga bertepatan dengan contoh-contoh dalam hukum-hakam fiqh serta kaedah syarak yang lain. Namun demikian, penetapan syarat atau penyempitan terhadap perkara-perkara yang harus ini tidaklah bersifat mutlaq, dan ia hanya terhad kepada skop yang dibenarkan bagi pemerintah untuk campur tangun, serta ia mestilah bertujuan untuk mencapai maslahah umum dan mengelakkan mudharat.”

Contohnya, dalam kes penentuan harga barang, kami berpendapat, t erdapat hadith Nabi ﷺ di mana orang ramai meminta Nabi ﷺ untuk mengawal harga barangan di pasar yang melambung tinggi pada waktu itu, namun Nabi ﷺ enggan dan bersabda:

إِنَّ اللَّهَ هُوَ الْمُسَعِّرُ الْقَابِضُ الْبَاسِطُ الرَّازِقُ وَإِنِّي لأَرْجُو أَنْ أَلْقَى اللَّهَ وَلَيْسَ أَحَدٌ مِنْكُمْ يُطَالِبُنِي بِمَظْلَمَةٍ فِي دَمٍ وَلاَ مَالٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah lah yang menetapkan harga barang, Dia yang Maha Menyekat, Maha Memberi dan Menyediakan; dan aku harap untuk bertemu dengan Allah dalam keadaan tiada seorangpun daripada kamu yang menuntut haknya disebabkan kezaliman yang aku lakukan dari sudut nyawa atau harta benda.”

Riwayat Abi Dawud (3451), al-Tirmizi (1314) dan Ibn Majah (2200)

Hadith ini secara zahirnya mengisyaratkan bahawa para peniaga berhak menetapkan harga barang yang dijual dan kerajaan tidak berhak campur tangan. Namun menurut Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah, hadith ini tidak boleh digunakan sebagai hujjah untuk mengharamkan penetapan harga oleh pemerintah kerana ia merupakan kes khusus dan tidak terpakai dalam semua situasi. Bahkan dalam sebahagian keadaan, penetapan harga merupakan satu keadilan, namun ia menjadi satu kezaliman dalam keadaan yang lain.

Rujuk Majmu’ al-Fatawa 28/95; dan al-Turuq al-Hukmiyyah (hlm. 217)

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata ijtihadnya:

“Hari ini boleh bagi seorang mujtahid untuk membenarkan penetapan harga barang apabila melihat kepada berubahnya keadaan-keadaan dan situas-situasi masyarakat. Ini untuk mentahqiqkan maslahah awam pada penetapan harga barang. Terdapat pendapat yang membenarkan penetapan harga barang ketika waktu al-ghala’ (krisis ekonomi) ke atas barang makanan. Justeru apabila pemerintah sudah menetapkan harga syiling, lalu penjual ingkar, maka menjadi hak pemerintah untuk mengenakan ta`zir (hukuman) ke atas pembeli, sekalipun jual beli itu asalnya adalah sahih.”

Rujuk al-Mu`tamad fi al-Fiqh al-Syafie  (3/65-66)

Selain itu, kaedah fiqh menyebut:

الإِعَانَةُ عَلَى المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Menolong atas perlakuan maksiat ialah maksiat.”

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666); Ihya’ Ulumiddin (2/144) oleh al-Ghazali

Kaedah lain menyebut:

ما أَدَّى إلى الحَرَامِ فَهُو حَرَامٌ

Maksudnya: “Perkara yang membawa kepada perlakuan yang haram maka perkara itu juga haram.”

Rujuk Ma`lamah Zayed (no.666); Qawa`id al-Ahkam (2/218) oleh Imam Izz bin Abdissalam

Berdasarkan fakta dan kenyataan di atas, kami berpendapat seperti berikut:

  • Haram hukumnya untuk menjual makanan pada waktu siang bulan Ramadhan dengan tujuan untuk memberi makan kepada orang yang tidak berpuasa, bukan disebabkan suatu keuzuran, dan dimakan serta merta, seperti mana yang termaktub di dalam akta. Namun apabila sudah termeterai akad, maka sahlah jual beli itu beserta dengan dosa.
  • Perbuatan jual beli tersebut juga dianggap sebagai maksiat kerana tolong menolong dalam melakukan maksiat adalah maksiat jua.
  • Dikecualikan daripada kes di atas ialah kepada individu-individu yang mendapat uzur Syarie seperti wanita berhaid, orang yang sakit, kanak-kanak dan orang yang tua tidak mampu berpuasa.
  • Polisi yang diletakkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti had masa tertentu untuk berniaga, adalah amat baik dan sesuai dalam mengimbangi keperluan dan mengawal kerosakan yang wujud dalam isu ini. Pelanggaran terhadap peraturan ini boleh dikenakan hukuman ta’zir oleh pihak berkuasa.

Wallahua`lam.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?