Senarai Kereta Audi Dipanggil Semula, Untuk Periksa Beg Udara Takata
Pengedar rasmi jenama kenderaan Audi, PHS Automotive Malaysia (PHSAM) baru-baru ini telah mengeluarkan satu notis pesanan kepada pemilik Audi.
Notis berkenaan bertujuan untuk meminta semua pemilik segera memeriksa sama ada kenderaan terlibat dengan program panggilan semula yang sedang dijalankan sekarang.
“Panggilan semula itu melibatkan 2,297 unit kenderaan, terdiri daripada model Audi Q5, A5 Cabriolet dan A5 Sportback yang dihasilkan di antara tahun 2009 dan 2012, di samping model Audi TT dan R8 yang dikilangkan bermula tahun 21014 hingga 2017 yang mana beg udara Takata dipasang pada bahagian pemandu.
“Program ini juga merangkumi beg udara Takata untuk penumpang hadapan pada model Audi A4, A4 Cabriolet dan A6 yang dihasilkan di antara tahun 2005 dan 2011. Setakat ini, tahap penukaran hanyalah 25% iaitu 569 unit daripada jumlah keseluruhan 2,297,” kata PHSAM.
Menurut maklumat daripada pengeluar Takata, program panggil balik ini disebabkan generator gas pada beg udara hadapan Takata yang terjejas mungkin pecah apabila beg udara diaktifkan semasa kemalangan.
Penukaran perlu dilakukan sekiranya bahan dorong di dalamnya menunjukkan tanda-tanda dimakan usia disebabkan kesan keadaan sekeliling yang ekstrem.
“Akibatnya, serpihan-serpihan besi daripada gas generator boleh masuk ke dalam kabin dan mendatangkan kecederaan parah kepada penumpang,” kata PHSAM lagi.
Perlu tukar secepat mungkin bagi keselamatan pemilik kelak
Menurut notis PHS Automotive Malaysia (PHSAM) lagi, pemilik dinasihatkan supaya memeriksa dan menggantikan beg udara segera di pusat servis Audi, sekaligus untuk memastikan kenderaan dapat berfungsi pada standard keselamatan terbaik.
Difahamkan, pemasangan beg udara Takata dan model kereta, komponen bahan dorong atau model penuh pemacu beg udara terbabit akan diganti tanpa sebarang kos.
Dalam masa sama, para pemilik akan menerima pemeriksaan 20 poin secara percuma sebagai tanda penghargaan.
Boleh semak kenderaan yang terlibat di laman web Audi
Pelanggan PHS Automotive Malaysia (PHSAM) boleh menyemak di laman web Audi sekiranya kenderaan mereka terlibat atau tidak dengan program ini.
Semakan boleh dibuat dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (Vehicle Identification Number, VIN) yang boleh didapati pada bahagian kiri cermin utama.
Dalam pada itu, notis turut memaklum bahawa pemilik juga boleh menghubungi Audi Customer Service di talian 1-800-22-2834 atau emel ke [email protected]
Selain itu, mereka turut boleh mengunjungi mana-mana Audi Centre terdekat dan dapatkan temu janji untuk pemeriksaan percuma dan penggantian jika perlu.
BACA: Dipanggil Untuk Tukar, Naik Taraf CCU, Ini Senarai No. Chasis Yamaha NVX & R15M Terlibat
Sumber: Audi