Siakap Keli

TPM Umum Bantuan Khas Aidilfitri Untuk Peneroka Di 317 Tanah Rancangan FELDA

TPM Umum Bantuan Khas Aidilfitri Untuk Peneroka Di 317 Tanah Rancangan FELDA

SUNGKAI, 19 Mac – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengumumkan pemberian bantuan khas bersasar sebanyak RM300 kepada peneroka FELDA yang berpendapatan RM1,000 ke bawah.

Bantuan kepada setiap peneroka di 317 Tanah Rancangan FELDA seluruh negara itu akan disalurkan sebelum sambutan Aidilfitri. 

Selain itu, peneroka berpendapatan RM1,000 ke bawah dan peneroka yang berpendapatan RM1,001- RM2,000 pula akan mendapat penangguhan potongan hutang (tidak termasuk Kos Operasi Ladang) untuk hasil bulan Mac.

bantuan felda 

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, KKDW turut berkata Kementerian telah meluluskan projek membina jalan dari Felda Trolak Selatan ke Pekan Trolak, Muallim, Perak pada tahun lepas dengan kos RM35 juta.

“Projek di bawah Program Jalan Luar Bandar (JALB) ini sedang dalam peringkat rekabentuk dan dijangka ditender pada Oktober 2024. Skop projek ini adalah membina jalan sepanjang 2.3km dengan spesifikasi JKR R1. Agensi pelaksana projek ini adalah Jabatan Kerja Raya dan bakal memberi manfaat kepada penduduk di Felda Trolak dengan menjimatkan masa perjalanan ke pekan Trolak dari 30 minit kepada 10 minit sahaja”

Beliau berkata demikian di Program Iftar Majlis Santunan Kasih Ramdan di MRSM Felda di sini hari ini.

Tambah beliau bagi memberi peluang kepada generasi ke-4 dan 5 FELDA, Majlis TVET Negara diarahkan  untuk menyelaraskan program TVET khususnya TVET Generik dan TVET Aras Tinggi bagi meningkatkan kemahiran dan menjana pendapatan.

Ini termasuk tawaran kursus oleh Institusi TVET Awam seperti GiatMARA, Akademi Binaan Malaysia, Institut Latihan Perindustrian, Kolej Yayasan Felda dan Kolej Komuniti.

TVET Generik merangkumi skop kursus seperti eknologi Mekanisasi Ladang, bidang pertanian dan penternakan, teknologi kimpalan dan pendawaian, manakala TVET Aras Tinggi seperti Teknologi Aeroangkasa, Digital, Rel, EV dan Mikroelektronik (Chip Design).

Menurutnya, tahun lepas UniKL  sebagai salah satu Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) menerima  29 anak FELDA (13 Ijazah, 16 Diploma). 

“Saya ingin menawarkan untuk lebih ramai anak-anak FELDA, khususnya generasi 4 dan 5 untuk menyertai UniKL  bagi menyertai industri termaju termasuk Telekomunikasi, Tenaga boleh diperbaharui, Kecerdasan Buatan, Industri Aeroangkasa, Marin dan Rel.

Saya mensasarkan sekurang-kurangnya 50 orang anak FELDA untuk menyambung pengajian di UniKL khususnya kursus TVET pada sesi pengambilan akan datang. InsyaAllah MARA akan membantu dari segi kesesuaian pinjaman pelajaran.” katanya.

Pada majlis itu juga Datuk Seri Zahid menyerahkan sumbangan berjumlah RM66,050 kepada 307 orang  anak yatim  dan golongan asnaf  dari sekitar Trolak termasuk pemberian duit raya kepada pelajar Maahad Tahfiz.

bantuan felda

Sumbangan ini disalurkan oleh FGV Holdings Bhd berjumlah RM50,000, RM13,000 dari Waqaf FELDA dan baki RM3,050 dari JKKR Gabungan Wilayah Trolak. 

bantuan felda

Yayasan FELDA dan FELDA Global Venture Holdings Berhad turut menjalankan tanggungjawab sosial (CSR) mengagihkan barangan kelengkapan persekolahan di setiap sekolah di kawasan tanah rancangan FELDA menerusi “Program Welcome To School”.

Jumlah agihan tersebut melibatkan 270 buah sekolah kebangsaan termasuk 20 buah sekolah di Wilayah Trolak dengan jumlah 656 murid dengan peruntukan RM98,400. 

Agihan itu juga akan diteruskan kepada 14,500 pelajar iaitu 11,500 semua pelajar tahun 1/2024 di seluruh sekolah di kawasan tanah rancangan FELDA dan 3,000 set diedarkan kepada warga FELDA yang menetap di Luar Tanah Rancangan (Lembah Klang, Shah Alam, Johor Bahru, Ipoh & Kuantan) dengan peruntukan RM2,175,000.  

Datuk Seri Zahid turut menyerahkan hasil pendapatan projek  Program Pembangunan  Peneroka (PPP) yang diperolehi dalam tempoh setahun berjumlah RM400,000. 

bantuan felda

Model PPP bersama AgroBank (Plasma/ Koperasi) ini melibatkan penyertaan AgroBank sebagai rakan pelaksana dan pembiaya projek. 

Manakala operator projek ini ialah  AQINA Fruits Sdn Bhd  melalui projek tanaman Nanas MD2. Projek yang bermula pada tahun 2022 ini dikendalikan oleh Koperasi Besout 1, 2 dan 3.

 Dalam pada itu, Maktab Rendah Sains MARA Felda (MRSMF) yang merupakan MRSM kelima di Negeri Perak turut menerima peruntukan berjumlah RM280.000 melalui  peruntukan Tabung Khas Penyelenggaraan IPMA di bawah Rancangan  Malaysia Ke-12. (RP4 2024).

Melalui kerjasama di antara MARA dan FELDA, Program Ulul Albab akan diwujudkan di MRSM FELDA  bagi melahirkan “Imtiaz Firdaus” atau generasi FELDA yang cemerlang menjelang 2050. 

Program ini adalah  pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada (Sains Tulen) dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran. 

bantuan felda

Hampir 2,000  komuniti Felda Trolak , pelajar MRSMF,   anak yatim dan  pelajar tahfiz diraikan di Majlis Santunan Kasih Ramadan anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. 

Program Iftar yang memasuki tahun kedua penganjurannya ini untuk merapatkan ukhwah antara pihak Kementerian dengan warga Felda  dan masyarakat setempat.

Majlis berikutnya akan diadakan di Nibong Tebal, Pulau Pinang; Labuan; Pendang, Kedah; Kuala Langat, Selangor dan berakhir di Bagan Datuk, Perak. 

Nota: Jumlah peneroka di Felda Trolak ialah 7,846 orang manakala jumlah peneroka FELDA seluruh Malaysia ialah 112,638 orang. 

Nurul Naqiyah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.