PADU: Kementerian Ekonomi Akan Anjur Sesi Taklimat Bersama Wakil Kerajaan Negeri Sarawak
PUTRAJAYA — Satu sesi taklimat akan dianjurkan bersama wakil kerajaan Sarawak berkenaan isu keselamatan dan perlindungan data, Pengkalan Data Utama (PADU) dalam masa yang terdekat.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini berkata kementerian komited dalam menjawab segala persoalan dan kebimbangan yang telah dibangkitkan oleh kerajaan negeri Sarawak.
Ia susulan satu kenyataan media Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Negeri Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkenaan pelaksanaan PADU di Sarawak.
Tiada Isu Kebocoran Maklumat
Jelas Rafizi, sehingga kini, tiada isu kebocoran maklumat dilaporkan walaupun terdapat 2 hingga 2.3 juta kali cubaan serangan ke atas PADU dalam tempoh seminggu.
Pembangunan PADU juga mematuhi piawaian antarabangsa dan prinsip-prinsip amalan terbaik yang ditetapkan untuk memastikan keselamatan terjamin.
“Sistem PADU dibangunkan secara dalaman menggunakan kepakaran penjawat awam sedia ada tanpa melibatkan lantikan daripada perunding luar. Keputusan ini mengurangkan risiko kebocoran maklumat memandangkan pihak luar tidak mempunyai akses secara langsung kepada PADU.
“Bagi memastikan integriti data dan kebocoran maklumat tidak dilakukan oleh pegawai yang mempunyai akses kepada data, penilaian tahap integriti pegawai telah diambil kira melalui proses tapisan keselamatan oleh CGSO.
“Akses kepada data hanya dibenarkan kepada pegawai yang dilantik terhad kepada peranan masing-masing sahaja. Aturan ini merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard pengurusan sistem PADU,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Rafizi, maklumat yang berada dalam sistem PADU merupakan maklumat rasmi Kerajaan yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan tertakluk kepada semua arahan perlindungan keselamatan yang dikeluarkan oleh CGSO.
BACA: Subsidi Tiket Penerbangan RM600 Diberikan Secara “One-Off” Kepada Pelajar IPT Sabah
“Oleh itu, mana-mana perbuatan mengakses, memuat naik, memuat turun, meminda, menambah atau menyebarkan apa-apa dalam PADU tanpa kebenaran adalah suatu kesalahan jenayah dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara, denda atau kedua-duanya sekali.
“Selain daripada Akta 88, data termasuk peralatan komputer juga dilindungi di bawah Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563) yang secara amnya menyatakan bahawa apa-apa akses, penggunaan tanpa kebenaran terhadap mana-mana peranti, maklumat (data) atau sistem komputer adalah satu kesalahan.
“Hal ini termasuk juga kepada mana-mana orang yang mengakses sistem atau menggunakan, mendapatkan, memuat naik, memuat turun tanpa kebenaran daripada sistem PADU,” maklumnya lagi.
Sehubungan itu, kerajaan akan sentiasa memastikan pengendalian data yang selamat, termasuk keselamatan sistem, rangkaian dan data yang melindungi maklumat peribadi.
“Saya memberikan jaminan bahawa dengan PADU, setiap rakyat akan menerima manfaat yang adil dan wajar melalui perancangan dan pelaksanaan dasar yang lebih baik serta berkesan berpandukan data,” katanya lagi.
BACA JUGA: Malaysia-Oman: Pan Gon Tuntut Janji Padang Dalam Keadaan Terbaik
Sehingga kini, Pangkalan Data Utama (PADU) telah menyaksikan peningkatan yang mendadak dalam kadar pendaftaran sepanjang minggu lalu. Setakat 11.59 malam semalam, bilangan pendaftaran meningkat kepada 7.7 juta daripada 5.4 juta direkodkan pada 17 Mac 2024.
Sistem PADU
Sistem PADU dibangunkan dengan mengintegrasi pelbagai sumber data pentabiran daripada lebih 400 agensi sektor awam, termasuk kerajaan negeri dan tempatan serta GLC dan GLIC bagi membentuk data yang komprehensif mengikut individu dan isi rumah.
Katanya lagi, sehingga 12 Mac 2o24, PADU telah mengintegrasikan 314 set data pelbagai agensi yang menjadi asas untuk membentuk profil individu yang komprehensif.
Sepanjang proses pembangunan PADU, pelan risiko dan perlindungan, keselamatan, serta melindungi data terperingkat daripada diceroboh dan bocor, akan sentiasa diberi keutamaan oleh semua pihak.
“Pasukan pembangunan sistem PADU sentiasa bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi yang menguruskan keselamatan siber dan privasi data negara seperti Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO), Agensi Keselamatan Siber Negara (NASCA), CyberSecurity Malaysia, (CSM), Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) dan Kementerian Komunikasi,” jelasnya.
Sumber: Kementerian Ekonomi