Pasangan Cina Curi Tumpuan, Agih Makanan Untuk Iftar Di Masjid Muhammadi
Sepanjang bulan Ramadan ini, tentunya ramai yang mengambil kesempatan untuk berbuka (iftar) di luar sama ada di perkarangan terbuka ataupun masjid serta surau bagi mengimarahkan bulan suci ini.
Tidak seperti bulan lain, Ramadan ibarat “syurga bulan makanan” kerana terdapat bazar dan ramai umat Islam bersedekah makanan kepada orang ramai.
Baru-baru tular dua individu berbangsa Cina terdiri daripada seorang lelaki dan wanita mencuri perhatian ramai selepas memberikan makanan kepada golongan muslim untuk berbuka puasa.
Kisah ini dikongsikan oleh seorang pemilik akaun Facebook Muhammad Rusydi sewaktu berada di perkarangan Masjid Muhammadi Kota Bharu.
Menurutnya dalam hantaran itu, dia melihat seorang lelaki Cina membahagikan bungkusan nasi untuk orang Muslim yang berbuka puasa sambil dibantu seorang wanita. Tidak lama kemudian, dia pergi menyapa mereka.
“Saya perhati dari jarak 2 meter dari mereka. Penerima bungkusan tersebut beratur dalam satu saf, ada yang Muslim dan ada yang bukan Islam sekitar 20 orang.
“Selesai mereka bahagikan bungkusan itu, saya merapati mereka. Saya tanya nama mereka dan lelaki itu menjawab ‘saya Chua’, kita Tan, sahut perempuan Cina itu dalam loghat Kelantan yang cukup pekat,” katanya.

Kongsi rezeki bersama
Sementara itu, lelaki terbabit memberitahu bahawa dia memberikan makanan kepada mereka yang berbuka di masjid tersebut.
“Saya ni tukang bagi je, bos suruh bagi, saya hantar masuk ke dalam (kepada urus setia buka puasa Masjid Muhammadi), satu plastik besar. Dua plastik lagi saya sendiri.
“Kita selalu datang berikan (makanan) yang dia punya (bos). Kita suka tengok orang Melayu buka puasa,” kata lelaki itu.
BACA: Apa Hikmah Kisah Dalam Al-Quran? Ini Penjelasan Dr Zulkifli
Jelas Rusydi lagi, difahamkan kesemua nasi itu ditempah di kedai Melayu yang popular di daerah Kota Bharu.

“Saya pun tak tanya bos lelaki itu Cina Muslim ke atau bukan Islam, cuma agakkan bosnya bukan Islam sebab dia sebut nasi-nasi tersebut ditempah di kedai orang Melayu. Dia sebut tiga kedai muslim yang agak popular di KB ini,” tulisnya di platform itu.
Melihatkan tindakan mereka yang baik hati itu, dia mengajak kedua-dua insan itu berbuka puasa bersama-sama di perkarangan masjid.
Walau bagaimanapun, lelaki yang dikenali sebagai Chua itu menolak ajakannya kerana memakai pakaian tidak menutup aurat.
“Encik Chua menolak dengan penuh beradab, ‘saya malu abang Aji (Rusydi) pakai seluar pendek ni. Takpa lah, abang Aji, pergi lah berbuka dulu,” katanya sambil melihat riak wajah auntie Tan yang seolah-olah memahaminya.
Meskipun hanya terserempak dalam situasi itu, dia menyifatkan ia memberikannya satu pelajaran baharu buatnya.
“Manis dan nikmat Islam jika kita ikut pedoman Rasul. Tiada kebencian, hilang permusuhan, bertambah sasaran dakwah kita. Allahu,” coretnya di Facebook.
Sumber: Muhammad Rusydi