Siakap Keli
padi nmr 12
Kredit: Bernama

Dihasilkan Melalui Teknologi Nuklear, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Padi NMR 152

Dihasilkan Melalui Teknologi Nuklear, Ini Yang Anda Perlu Tahu Mengenai Padi NMR 152

Nasi merupakan makanan ruji di Asia, dan Malaysia merupakan salah satu negara yang kerap mengambil nasi dalam diet sehariannya.

Jika tidak memakan nasi dalam sehari, segalanya serba serbi tidak lengkap. Rasa cepat laparlah, tidak rasa puaslah dan sebagainya.

Sudah pasti nasi yang sedap datangnya daripada beras yang baik, dan beras yang baik hasilnya datang daripada benih padi yang berkualiti. Berita baik untuk rakyat Malaysia kerana kita bakal melihat satu inovasi bagi industri makanan ruji di negara kita.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bersama Agensi Nuklear Malaysia telah bekerjasama bagi menghasilkan varieti benih padi baharu tahan kepada tekanan iklim.

Tindakan ini adalah untuk bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi dalam menyokong keselamatan dan kecukupan makanan negara serta mentransformasikan negara menerusi kaedah efisien yang telah dikenal pasti iaitu biak baka mutasi.

BACA: Bolehkah Bakteria Dalam Badan Pengaruhi Mood Seseorang? Ini Apa Yang Anda Perlu Tahu

Ketua Pengarah Agensi Nuklear Negara, Dr. Rosli Darmawan berkata bahawa ini selaras dengan Undang Malaysia iaitu Akta Biokeselamatan 2007, Akta 678, P.U.(A) 367).

Biji benih baharu yang dihasilkan melalui aplikasi teknologi nuklear melalui kaedah mutasi aruhan merupakan kaedah yang selamat untuk digunakan.

“Teknologi biak baka mutasi ini telah digunakan secara meluas di seluruh dunia, menurut FAO/ IAEA Mutant Variety Database sebanyak 873 mutan padi telah didaftar dan digunapakai dari seluruh dunia.

“Selain itu, Malaysia juga telah menyertai IAEA Mutation Breeding Network (MBN) untuk Asia Pasifik pada tahun 2019 yang dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang mutasi aruhan, pembiakan dan penanaman.

“Di antara negara-negara yang sangat aktif menghasilkan varieti baharu menerusi aplikasi teknologi nuklear ialah China, Jepun, India, Rusia, Belanda, Amerika Utara, Afrika dan lain-lain lagi.” kata Dr. Rosli Darmawan.

Di sebalik kisah penghasilan biji benih padi NMR 152

Gambar: Bernama

Baka baharu benih padi NMR 152 merupakan antara pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi di Malaysia dan telah melalui Ujian Distinctness, Uniformity dan Stability (DUS) pada 2015.

Hal ini kerana biji benih ini mempunyai ciri-ciri agronomi yang sangat diperlukan dalam industri padi negara bagi mencapai matlamat sekuriti makanan negara pada masa ini.

Fokus utama dalam pelaksanaan biak baka mutasi tanaman di Agensi Nuklear Malaysia adalah menggunakan kaedah mutasi aruhan melalui penyinaran gamma secara akut dan kronik.

Ini adalah untuk menghasilkan benih baru tanaman yang mempunyai daya ketahanan yang lebih baik terhadap tekanan abiotik dan biotik.

Hampir dua dekad, projek penyelidikan dan pembangunan benih padi telah dilakukan di Agensi Nuklear Malaysia. Pemfokusan penyaringan kepada penghasilan baka baharu NMR152 ini bermula sejak tahun 2005. Induk asal ialah baka daripada benih baka MR219 yang diperolehi daripada MARDI.

Melalui penyinaran gamma akut pada 300Gy, proses penyaringan dan pemilihan bermula mengikut SOP yang ketat. Selepas hampir 4 tahun penyaringan dilakukan, beberapa puluhan titisan mutan telah dikenal pasti. Maka lahirlah titisan terpilih yang diberi nama NMR152.

Titisan mutan NMR152 ini stabil setelah 6 generasi penanaman dilakukan di plot kajian. Projek ini turut mendapat perhatian pelbagai pihak seperti universiti-universiti awam dan pelbagai agensi kerajaan.

Susulan itu, biji benih NMR 152 telah mendapat pensijilan Certification of Registration of New Plant Variety and Grant of Breeder’s Right. (Reg Number PBR 0156.) secara rasmi pada 20 Mei 2020.

Dari segi penerimaan dan pengesahan mutu pula, padi NMR152 ini telah mendapat bantuan teknikal daripada International Atomic Energy Agency (IAEA).

Jenis padi ini telah diluluskan di peringkat Jawatankuasa Dasar Bantuan Kerajaan kepada Industri Padi dan Beras (BKKIPB).

Manakala, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah mengiktiraf varieti padi ini sebagai benih padi sah negara pada 29 Januari 2021 dan menyenaraikannya dalam skim subsidi padi sah negara.

Dengan ini, pesawah boleh mendapatkan benih padi jenis ini pada harga kawalan yang ditetapkan oleh KPKM menerusi skim subsidi ini.

Gambar: Bernama
Keistimewaan yang dimiliki biji benih padi NMR 152.

Pertama sekali, benih padi ini memiliki daya ketahanan tinggi terhadap perubahan cuaca yang tidak menentu seperti kemarau dan banjir kilat.

Benih padi ini juga mempunyai daya rintangan terhadap beberapa penyakit utama padi yang sering menjangkiti tanaman dan merugikan pesawah.

Bukan itu sahaja, baka padi NMR 152 turut berpotensi memberi hasil tuaian yang tinggi dan dapat meningkatkan pendapatan para pesawah jika diurus dengan baik mengikut garis panduan yang disyorkan kerajaan.

Selain itu, NMR 152 mampu mengeluarkan hasil padi dalam lingkungan tujuh hingga sembilan tan per hektar berdasarkan kawasan penanaman dan kaedah pengurusan sawah padi yang baik.

Jumlah ini dianggap lebih baik berbanding dengan purata hasil padi negara yang hanya dalam lingkungan empat tan per hektar.

Seperti yang dinyatakan sebelum ini, padi jenis ini memiliki sifat daya tahan yang tinggi dan sekali gus mengurangkan kos penanaman.

Kos penanaman dapat dikurangkan sebanyak 10 hingga 20 peratus kerana penggunaan baja dan racun perosak yang kurang.

Manakala, hasil tuaian juga boleh meningkat sebanyak 40 sehingga 60 peratus, bergantung kepada kaedah penjagaan dan pengurusan sawah yang baik.

Benih padi ini turut mendapat pelbagai pengiktirafan

Benih padi ini telah menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak. Antaranya, pengiktirafan dari International Atomic Energy Agency (IAEA) dan Food and Agriculture Organisation sempena Persidangan Agung kali ke-65 di Vienna, Austria pada September 2021.

Hasil kajian ini juga telah merangkul Anugerah ‘Excellent Research Team of The Year Award‘ sebanyak dua kali oleh negara anggota Forum for Nuclear Cooperation in Asia (FNCA).

Produk Benih Padi Varieti Baharu Malaysia ini juga telah memenangi Anugerah Tahun Pengkomersilan Malaysia (MCY) 2021.

Bagi anugerah ini, Nuklear Malaysia berjaya merangkul tempat pertama bagi Kategori Usahawan Penyelidik dan Pemenang Keseluruhan (Supreme Award).

Hala tuju MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia terhadap biji benih padi baharu NMR 152.

Gambar: Bernama

Pada 20 September 2023, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang telah melancarkan Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).

Dasar ini membolehkan Malaysia memaksimumkan manfaat penggunaan teknologi nuklear secara aman untuk tujuan pembangunan sosioekonomi.

Pelaksanaan dasar ini sekali gus menjadikan negara kita setanding dengan negara-negara maju di dunia.

Melalui dasar ini, MOSTI berharap agar dapat membantu kerajaan mencapai hasrat negara meningkatkan 40 peratus penggunaan teknologi nuklear dalam bidang khusus Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) menjelang 2030.

Manakala inisiatif menghasilkan varieti benih padi baharu NMR 152 ini adalah salah satu usaha pelengkap dalam meletakkan teknologi nuklear dalam arus perdana bagi sektor makanan dan pertanian.

“Maka, sejajar dengan ini, MOSTI dan Agensi Nuklear Malaysia berhasrat untuk memperluaskan penanaman biji benih baharu NMR 152 ke seluruh negeri termasuk Sabah dan Sarawak bagi menyahut hasrat kerajaan bagi meningkatkan tahap sara diri (self-sufficient level/ SSL) padi negara, seterusnya mampu mengurangkan kebergantungan kepada beras import pada masa hadapan,” ujar Dr Rosli.

Jabatan-jabatan dan agensi-agensi Kerajaan yang terlibat akan terus bekerjasama bagi memastikan sekuriti dan kecukupan makanan serta kemampanan negara ke arah kesejahteraan rakyat Malaysia adalah terjamin.

“Sebagai agensi yang melaksanakan R&D&C, Nuklear Malaysia mempelawa rakan-rakan kerjasama yang berminat, berpengalaman dan yang mempunyai fasiliti, untuk bekerjasama dengan Nuklear Malaysia bagi mengkomersialkan hasil R&D kami,” katanya.

Surat permohonan secara rasmi boleh dihantar kepada Ketua Pengarah, Agensi Nuklear Malaysia atau e-mel kepada [email protected].

BACA: Bila Al-Quran Diturunkan, Malam Nuzul Al-Quran Atau Malam Lailatul Qadar?

Sumber: Agensi Nuklear negara

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma