KK Mart Kuching Dibaling “Molotov Cocktail”, Polis Giat Kesan Suspek
Selepas dua insiden serupa, kali ini kejadian membaling molotov cocktail berlaku di KK Mart cawangan Kuching, Sarawak pada Ahad lepas.
Difahamkan, kejadian yang berlaku di sana merupakan insiden ketiga yang melibatkan kedai serbaneka tersebut, lapor Astro Awani.
Menurut Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah, insiden berkenaan dilaporkan berlaku pada Ahad lepas.
Beliau turut memaklumkan bahawa pihak polis telah menerima laporan daripada pekerja di kedai berkenaan.
“Kejadian kebakaran kotak mengandungi air minuman di kaki lima hadapan kedai serbaneka tersebut akibat dibaling menggunakan botol kaca berisi minyak tanah dan kain berwarna kuning (molotov cocktail),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Ahsmon memaklumkan pihak polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes ini.
Sehubungan itu, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sehingga tujuh tahun, atau denda.
Mengulas lanjut, Ahsmon turut meminta kerjasama orang ramai untuk tampil menyalurkan sebarang maklumat berhubung insiden terbabit.
“Boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Ceremona Anak Nasim di talian 013-8554168 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.
“Orang ramai juga diingatkan tidak melakukan perbuatan diluar batas undang-undang dalam hal ini, dan memberikan ruang proses perundangan yang sedia ada,” ujarnya.
Terdahulu, kedai serbaneka KK Mart di Kuantan, Pahang diserang dengan ‘molotov cocktail‘ pada jam 5.14 pagi pada 30 Mac. Kedai serbaneka berkenaan difahamkan baharu sahaja beroperasi dalam lingkungan dua minggu.
Berdasarkan kenyataan polis, ketika dua pekerja sedang berada di dalam premis tersebut, tiba-tiba berlaku satu balingan ‘molotov cocktail’ terbabit yang dilempar dari luar premis dan mencetuskan kebakaran kecil.
Namun kebakaran tersebut berjaya dipadamkan dari terus merebak oleh pekerja premis dengan mengguna alat pemadam api.
Ekoran kejadian itu, empat rak jualan termasuk beberapa barang jualan telah mengalami kerugian dalam lingkungan RM500.
Insiden tersebut berlaku lima hari selepas insiden pertama berdekatan KK Mart di Jalan Bruseh, Bidor pada 25 Mac.
BACA: Kurangkan Kesesakan, Ini Tip Guna “Smart Lane” Dengan Betul
Sumber: Astro Awani