Siakap Keli
perak bawang tempatan
Gambar: BERNAMA

Perak Negeri Pertama Tuai Hasil Bawang Tempatan, Babitkan 2.3 Tan Metrik

Perak Negeri Pertama Tuai Hasil Bawang Tempatan, Babitkan 2.3 Tan Metrik

TAPAH, 3 April (Bernama) — Perak menjadi negeri pertama di Malaysia menuai hasil bawang tempatan jenis BW1 sekitar 2.3 tan metrik di kawasan seluas 0.6 hektar menerusi Projek Pembangunan Tanaman Bawang di Kampung Ladang Bikam.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Arthur Joseph Kurup berkata projek kerjasama dengan Jabatan Pertanian Negeri itu sebelum ini dilaksanakan secara tiga fasa di kawasan seluas satu hektar, menyasarkan pengeluaran hasil kira-kira empat tan metrik per hektar.

“Untuk penuaian pertama ini ia melibatkan fasa satu dan hanya membabitkan kawasan seluas 0.6 hektar dengan hasil pengeluaran sekitar 2.3 tan metrik. Selepas itu, penuaian akan bersambung kepada fasa dua dan fasa tiga.

“Saya yakin projek rintis ini mampu menjadi pencetus kepada pengeluaran bawang dalam negara sekali gus memenuhi keperluan rakyat Malaysia, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import,” katanya ketika ditemui pada Majlis Tuaian Hasil Projek Rintis Tanaman Bawang Secara Besar-Besaran di sini, hari ini

Turut hadir Ketua Setiausaha KPKM Datuk Lokman Hakim Ali, Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Christopher John Biai dan Pengarah Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman.

Dalam pada itu katanya semua hasil pengeluaran tersebut akan dipasarkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke mana-mana lokasi yang mempunyai permintaan tinggi.

Selain itu, beliau berkata Perak merupakan antara enam negeri yang akan menjadi hab pengeluaran tanaman bawang tempatan jenis BW1 di Malaysia bagi kegunaan domestik.

Beliau optimis perkara itu dapat direalisasikan memandangkan kerajaan negeri turut menyokong usaha berkenaan untuk diperluaskan di seluruh Perak.

“Pihak kementerian telah mengenal pasti enam negeri iaitu Perak, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan. Semua ini adalah perancangan dan sasaran kita untuk mencapai kadar sara diri (SSL) bawang tempatan sebanyak 30 peratus menjelang 2030.

Sumber: BERNAMA

Athirah

When nothing goes right, go left.